
JIKA anda ingin berjaya dalam perniagaan, sama ada kecil ataupun besar anda perlu gigih dan mengikuti perkembangan teknologi terbaru. Malah, anda perlu bersedia menukar trend perniagaan agar tidak tertinggal dengan perkembangan dinamik dunia perniagaan hari ini.
Salah satu kemudahan yang perlu diambil perhatian oleh usahawan adalah kemudahan jalur lebar.
Dengan jalur lebar hampir setiap orang boleh mendapat akses kepada Internet, malah ia memberi kelebihan kepada ahli perniagaan untuk sentiasa produktif walau di mana juga mereka berada.
Aktor popular Jehan Miskin misalnya daripada seorang aktor kini adalah penerbit eksekutif dan ahli perniagaan. Dia kini menguruskan sebuah syarikat produksi yang berjaya.
Jehan memajukan kerjayanya sebagai aktor, hos televisyen dan penerbit eksekutif Mastermind Group yang bertapak di Damansara Perdana, Selangor. Beliau berkata jika bukan kerana sambungan jalur lebar, adalah mustahil bagi beliau untuk berlakon, mentadbir dan menguruskan syarikat penerbitan beliau.
"Berlakon mengambil masa saya yang banyak dan ia memerlukan saya berada di lokasi sepanjang masa. Adalah menjadi kebiasaan bagi sesebuah penggambaran filem mengambil masa antara 10 hingga 20 hari. Bagaimanapun dengan kemudahan jalur lebar, saya masih boleh menguruskan projek penerbitan sewaktu rehat di antara slot lakonan.
Bantu perniagaan
"Jalur lebar memungkinkan saya berhubung dengan pasukan Mastermind saya, tidak kira di mana saya berada. Saya tidak perlu berada secara fizikal bagi membincangkan hal perniagaan atau pun membuat keputusan penting berkenaan sesebuah projek bersama pasukan atau para pelanggan saya.
"Saya boleh memuat turun projek yang dihantar oleh pasukan saya, menyunting serta membuat pertukaran sebelum bertemu para pelanggan. Jalur lebar membolehkan saya menjimatkan masa dan bekerja secara efisien tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
"Contohnya baru-baru ini, ketika saya di lokasi penggambaran di Pulau Pinang seorang pelanggan mahukan satu kertas kerja projek yang perlu disiapkan keesokan harinya. Saya tidak perlu risau untuk memenuhi pemintaan mereka malah, tidak perlu mengganggu jadual penggambaran kerana saya hanya perlu menelefon pasukan saya di Kuala Lumpur, memuat naik fail, menyunting dan menghantarkannya semula kepada pelanggan saya menerusi e-mel. Tugasan saya selesai tanpa masalah dan sudah tentu terima kasih kepada sambungan jalur lebar tanpa wayar," kata Jehan yang kini berusia 33 tahun.
Beliau berkata peralatan jalur lebar tanpa wayar sangat mudah kerana gajet yang yang ringan dan mesra mobiliti.

Bagi projek-projek pascapenerbitan beliau, Jehan menggunakan jalur lebar berwayar yang mana memudahkan beliau menyunting bunyi, lagu, grafik dan proses pewarnaan.
Dalam bidang perniagaannya, Jehan menegaskan akan pentingnya perkhidmatan pelanggan yang baik terutama sentiasa tepat pada masa dan bertindak pantas.
Menerangkan dengan lebih lanjut akan kerjayanya sebagai seorang penerbit eksekutif, Jehan berkata apabila pasukan beliau menjalankan sesebuah projek atau pun iklan di atas talian, fail tersebut dihantar ke studio audio bagi bunyi dan muzik sebelum dihantar kembali kepadanya walau di mana dia berada.
Jehan kemudiannya menukar serta menyunting projek tersebut sebelum menghantar kepada pelanggan. Sekiranya pelanggan tersebut memerlukan sebarang pertukaran set, warna ataupun bunyi, fail tersebut akan dihantar semula kepada Jehan bagi penyuntingan semula yang kesemuanya dilakukan di atas talian.
Apa yang pasti ia lebih menjimatkan masa dan wang.
Tingkatkan keupayaan
Bagaimanapun Jehan amat berharap sambungan jalur lebar dapat dipertingkatkan bagi menawarkan lebih keupayaan bagi memuat naik lebih banyak data berbanding pada masa ini.
Berada dalam bidang yang penerbitan, beliau sentiasa mengggunakan fail besar bagi membolehkan sebuah telemovie dipindahkan menerusi Internet.
Beliau berkata, penyaluran secara langsung memerlukan masa yang lama untuk disambung terutamanya kepada YouTube, di mana orang ramai boleh melayarinya bagi menonton drama dan mendengar muzik.
"Facebook bukan lagi sebagai hiburan tetapi satu keperluan. Ia adalah satu landasan untuk berhubung dengan para peminat dan rakan-rakan malah, merupakan sebahagian daripada aspek perniagaan bagi menerima maklum balas, komentar serta cadangan karya anda.
"Kerajaan telah menjalankan kerja yang baik tetapi saya amat berharap kepada satu sambungan jalur lebar yang amat pantas agar filem-filem boleh dimuat turun dalam masa lebih cepat," tambah beliau.
Antara laman sesawang kegemaran Jehan termasuklah laman carian Google, Facebook dan Twitter. Tidak ketinggalan YouTube, laman penyelidikan www.Ted.com dan amazon.com.
Sebagai seorang selebriti yang menjadi ikutan ramai, Jehan menasihati remaja agar menerima perubahan dari segi teknologi, kerana dunia menjadi semakin global.
Dalam konteks ini, konsep jalur lebar Internet bagi perniagaan kecil adalah merupakan satu aplikasi yang amat penting dan tidak boleh dielakkan.
Sekiranya anda belum memiliki jalur lebar daftarlah hari ini! Untuk maklumat lanjut, layari www.broadband.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: