
SEORANG doktor yang menghadiri majlis konvokesyen adiknya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah baru-baru ini memberitahu banjir besar di negeri itu minggu lalu telah menukarkan keretanya kepada sebuah ‘kapal selam’.
“Saya perlu memandu pulang segera ke Johor Bahru selepas menghadiri majlis konvokesyen adik saya.
“Namun, dalam perjalanan pulang sebelum memasuki lebuh raya tiba-tiba sedikit demi sedikit kereta saya ditenggelami air.
“Tidak sampai beberapa minit dalam kepekatan malam itu, di sebelah luar kereta, saya boleh melihat air banjir sudah menghampiri paras cermin tingkap. Di sebelah dalam pula, air yang memasuki kereta sudah mencecah betis.
“Adik saya ketika itu sudah panik, manakala ibu saya sudah menangis teresak-esak. Ketika itu saya sudah tidak boleh berpatah balik kerana bimbang arus yang semakin deras akan menghanyutkan kereta.
“Bayangkan saya memandu kereta sedan dalam keadaan tersebut sejauh dua kilometer,” ungkap Mohd. Harriszamani Abu Bakar, 32, sambil mengakui kejadian itu meninggalkan trauma mendalam kepada emosi ibunya.
Pengalaman Harriszamani seorang doktor muda lulusan Universiti Malaya itu adalah secebis kisah yang berlaku dalam bah besar yang melanda utara Semenanjung Malaysia minggu lalu.
Apa yang pasti ia antara banjir terburuk yang pernah melanda negeri Perlis dan Kedah.
Biarpun banjir besar pada tahun 2005 masih meninggalkan kesan mendalam buat penduduk di kedua-dua negeri itu, namun apa yang berlaku tahun ini ternyata lebih menakutkan.
Berdasarkan maklumat terkini Isnin lalu, jumlah mangsa di Kedah ialah seramai 32,066 orang. Antara kawasan paling hebat dilanda bah ialah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Sementara itu, Perlis pula mencacatkan jumlah mangsa seramai 8,645 orang membabitkan 30 pusat pemindahan.
Faktor-faktor banjir
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, banjir besar yang melanda utara dan Pantai Timur Semenanjung dikatakan berpunca daripada fenomena La Nina atau angin kencang dan hujan lebat yang membawa hujan melebihi keadaan biasa bagi tempoh empat bulan bermula November sehingga April tahun depan.
“Sepanjang tempoh itu bahagian utara Semenanjung dijangka kekal menerima hujan melebihi kadar purata,” jelas kenyataan itu yang boleh didapati di laman web www.met.gov.my.
Sungguhpun Jabatan Meteorologi Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan berkenaan fenomena banjir itu, pelbagai pihak mempunyai jawapan mereka sendiri berhubung penyebab banjir terbesar yang berlaku sejak tahun 2005 itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyalahkan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) di beberapa kawasan di negeri terbabit sebagai antara faktor yang memburukkan lagi keadaan banjir.
“Limpahan air akibat banjir tidak dapat mengalir kerana di tapak projek tersebut tidak terdapat saluran air yang besar,” dakwa beliau.
Bagaimanapun ia dinafikan oleh pihak berkenaan. Ini kerana La Nina bukan sahaja melimpahkan hujan di Kedah dan Perlis tetapi ia juga tidak menunjukkan belas apabila menyebabkan banjir teruk di selatan Thailand.
Setakat laporan 6 November lalu, jumlah mangsa lemas akibat banjir di utara Semenanjung ialah enam orang, manakala di selatan Thailand jumlahnya lebih menakutkan iaitu 140 orang.
Apa yang pasti, bah besar di Kedah dan Perlis hampir melumpuhkan kegiatan harian penduduk di kedua-dua negeri. Bayangkan rumah Azizan sendiri antara yang turut digenangi air sehingga ke paras lutut.

Tidak ketinggalan sidang kedua Majlis Konvokesyen ke-23 UUM terpaksa ditangguhkan akibat bencana itu.
Selain itu, perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) antara bandar dan KTM Kargo juga terpaksa dihentikan sejak 1 November lepas apabila air turut menenggelamkan landasan di beberapa kawasan. Bagaimanapun ia sudah mula beroperasi beberapa hari lalu.
Di Perlis, pembelian panik petrol dan diesel oleh penduduk negeri itu akibat banjir yang melanda menyebabkan beberapa stesen minyak di daerahnya kehabisan bahan api itu sejak hujan lebat bermula.
Bantuan
Apa yang pasti, fenomena banjir terbesar yang berlaku di beberapa negeri itu termasuk di Kelantan menarik pelbagai pihak untuk menghulurkan bantuan.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah misalnya, menghulurkan sumbangan RM500,000 daripada hasil zakat negeri serta berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk membantu mangsa banjir di Kedah.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis yang berdepan kekurangan bekalan makanan pula mendapat perhatian warga universiti itu di seluruh negara.
Sebanyak enam lori membawa bekalan makanan dari kampus induk di Shah Alam, Selangor selain kampus di Kedah, Pulau Pinang dan Perak tiba di Perlis minggu lalu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis. Selain ATM, turut terlibat dalam pasukan khas itu ialah Polis Diraja Malaysia.
“Penubuhan pasukan khas ini merupakan tanggungjawab sosial bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di kedua-dua negeri berkenaan,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyumbangkan bantuan makanan termasuk beras, gula, roti dan air mineral bernilai RM500,000 yang diagihkan kepada negeri-negeri terbabit selama tiga hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: