Thursday, November 25, 2010

Bilik terapi untuk kanak-kanak istimewa


Zuhaimi Abdul Hamid menyerahkan replika cek kepada Norani Mohd. Hashim.


Procter & Gamble Malaysia (P&G) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya yang dikenali sebagai Open Minds, baru-baru ini menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Ia sebagai memenuhi ikrarnya untuk menyumbang sejumlah RM1 juta yang dibuat sempena meraikan ulang tahun ke-10 program tersebut.

Dana tersebut digunakan untuk membina 40 bilik terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh Malaysia.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Luar P&G, Zulhaimi Abdul Hamid kepada Pengarah di Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Norani Mohd. Hashim.

Menurut Norani, bilik terapi pelbagai pancaindera tersebut dibina di setiap negeri untuk memastikan kanak-kanak istimewa dapat menerima layanan dan manfaat yang sama, tidak kira di mana dan apa juga latarbelakang mereka.

Setiap bilik tersebut diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan ransangan i terhadap deria penglihatan, bunyi dan tekstur disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak yang mempunyai kecacatan deria-deria tersebut.

"Dengan semua kemudahan ini di PDK, kanak-kanak istimewa dapat memanfaatkannya bagi membantu perkembangan pembelajaran mereka.

"Semua ini dilakukan di bawah pengawasan pelatih-pelatih, iaitu individu-individu yang dilatih khas untuk menjaga dan mengambil berat tentang kebajikan kanak-kanak ini," katanya.

Norani berkata, usaha-usaha baik P&G itu akan terus memberi kebaikan kepada lebih ramai kanak-kanak istimewa pada masa akan datang.

"Kami berasa gembira kerana menerima sokongan daripada organisasi korporat seperti P&G yang berkongsi misi yang sama, iaitu meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak istimewa," katanya

Program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat syarikat itu yang memberi fokus terhadap usaha-usaha kemanusiaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: