Thursday, November 25, 2010

Kepekaan gender pelajar


Para pelajar tekun mendengar ceramai yang disampaikan Suzanna Ghazali.


JIKA ditanya kepada anda apakah perbezaan di antara gender dan jantina, mampukah anda memberikan jawapan yang tepat?

Sedar atau tidak, kebanyakan orang mungkin termasuk diri anda menganggap gender dan jantina membawa maksud yang sama.

Namun,perkataan gender dan jantina mempunyai definisi serta huraian yang berbeza.

Gender adalah persepsi, pandangan, gambaran, perlakuan atau tindak tanduk seseorang yang terhasil daripada proses sosialisasi iaitu pergaulan dalam sesebuah masyarakat yang membezakan peranan, tanggungjawab serta pengagihan hak antara lelaki dan perempuan.

Maka, gender tidak ditentukan secara biologi, berbeza daripada sudut budaya dan boleh berubah mengikut masa, tempat, dasar, polisi serta kuota.

Jantina pula bermaksud perbezaan di antara lelaki dan perempuan daripada segi luaran serta dalaman tubuh seperti rupa paras, bentuk badan, kromosom dan hormon. Ia ditentukan secara biologi dan tidak boleh berubah.

Pemahaman yang kurang mengenai apa itu jantina dan gender mampu melahirkan masyarakat yang tidak stabil, tiada kerjasama dan menindas.

Keadaan itu juga akan mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai andaian yang menunjukkan lelaki paling layak menguasai banyak aspek utama kehidupan berdasarkan fizikal, menyebabkan kepentingan perempuan sering dinafikan.

Andaian itu termasuk semua kerja berat sepatutnya dilakukan lelaki, ketua rumah tangga hanya lelaki dan kerja yang melibatkan kuasa dan sumber kewangan adalah tugasan lelaki.

Selain itu, ketua persidangan mestilah lelaki serta memasak dan mengemas rumah bukan tanggungjawab lelaki.

Justeru, bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan terperinci mengenai kesaksamaan gender, Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Seminar Kepekaan Gender kepada pelajar sekolah, baru-baru ini.

Pengarahnya, Norhafiza Halim Faisal berkata, seminar itu bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai kepentingan kepekaan gender.

Katanya, ia juga bertujuan menyebarkan maklumat berhubung kesaksamaan gender kepada pelajar sekolah.

"Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Maka kami memilih menganjurkan seminar ini kepada pelajar sekolah kerana golongan berkenaan bakal menjadi pemimpin negara dan masyarakat.

"Seminar dengan tajuk ini adalah pertama kali dianjurkan. Biasanya ia dilancarkan di peringkat kebangsaan, jadi untuk kali ini, kami mensasarkan pelajar sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Kepekaan Gender di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar hampir empat jam yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu disertai 200 pelajar sekolah berkenaan.

Pada seminar itu, dua penceramah iaitu Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzanna Ghazali dan Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Shaiful Azli Jamaludin dijemput memberi penjelasan berhubung isu kepekaan gender.

Kedua-dua penceramah itu mengetengahkan pelbagai maklumat berkaitan isu kepekaan gender termasuk tanggungjawab, peranan serta hak setiap wanita dan lelaki dalam mana-mana status yang dipegang mereka.

Norhafiza memberitahu, kegagalan seseorang untuk memahami isu kepekaan gender boleh menyebabkan kepincangan bukan sahaja sesama individu tetapi juga dalam sesebuah keluarga dan masyarakat apabila wujudnya diskriminasi daripada kaum lelaki terhadap wanita.

Kebiasaannya, seseorang yang tidak memahami isu kepekaan gender juga akan menafikan kepentingan atau potensi wanita dalam sesuatu bidang terutamanya bidang pekerjaan.

Sebenarnya, kedua-dua, lelaki atau wanita memerlukan antara satu sama lain untuk bekerjasama mengukuh dan memantapkan kehidupan diri, keluarga serta negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: