Thursday, November 18, 2010

Alumni UIAM Vietnam ditubuh


NIK Ahmad Kamal bergambar kenangan dengan alumni UIAM-Vietnam di Bandar Ho Chi Min, Vietnam, baru-baru ini.


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setiap tahun melahirkan graduan yang cemerlang dari seluruh dunia.

Kebanyakan mereka datang dari 100 buah negara termasuk Asia Barat, Arab, Amerika, Amerika Latin dan Asia Tenggara.

Graduan antarabangsa ini selepas menamatkan pengajian di UIAM, akan kembali ke negara masing-masing untuk berkhidmat dan berbakti di tanah tumpah darah mereka.

Sesungguhnya kepulangan mereka dinantikan-nantikan dan merupakan keperluan untuk membantu dan menyumbang ke arah pembangunan negara masing-masing.

Namun cinta mereka di universiti yang pernah menjadi tempat menimba ilmu pengetahuan sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah tidak dilupakan.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini UIAM telah melancarkan alumni Vietnam yang merupakan alumni ke-13 yang ditubuhkan universiti Islam tersohor ini.

Majlis itu disempurnakan, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod di Bandar Ho Chi Min, Vietnam baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran seramai 25 bekas pelajar UIAM.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya Dr. Wan Ahmad Yusmawiza dan Presiden Alumni UIAM-Vietnam, Ibrahim Nguyen Dung.

Sejak 2002 hingga 2010, UIAM mempunyai 12 persatuan alumni di 12 negara iaitu Thailand, Indonesia, Bosnia Herzegovina, Maldives, Australia, Arab Saudi, Singapura, Oman, China, Bangladesh, Gambia, Guinea dan terbaharu Vietnam.

Antara bekas alumni yang telah berjaya dan membanggakan UIAM ialah bekas pensyarah universiti ini, Profesor Datuk Dr. Sano Koutub Moustapha yang kini Menteri Hal Ehwal Agama di Guinea manakala, Profesor Dr. Ahmed Dovutoglu dari Turki kini memegang jawatan Menteri Luar Turki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: