SENTIASA BERSAMA...setiap ahli Curves dibantu dalam mencapai sasaran.
RAMAI yang mahu hak sama rata dengan lelaki, tetapi itu mungkin sekadar membabitkan pembayaran gaji serta kenaikan pangkat semata-mata.
Atas semangat mahukan persamaan, wanita di Malaysia tidak sesekali mahu berkongsi tandas awam dengan kaum Adam!
Wanita bukan hanya mahu gerabak kereta api khas dan bas khas untuk wanita, mereka juga mahu gimnasium khas!
Inilah antara kemahuan ramai wanita di Malaysia kerana kebanyakan kita sudah muak dengan pusat kecergasan yang tidak peka pada keinginan dan sensitiviti kaum hawa yang bukannya semua�nya bersifat terbuka.Walaupun ramai wanita yang berjawatan profesional dan berpelajaran tinggi, sifat pemalu tetap menebal dan tidak mungkin hilang kerana ia fitrah alam.
Seorang teman mengadu, dia akhirnya tidak mengunju�ngi sebuah pusat kecergasan kerana setiap kali sedang berlari di treadmill, beberapa lelaki berhenti bersenam kerana mahu melihat tubuhnya.
Maka, kewujudan pusat kecergasan yang mempunyai rangkaian terbesar di dunia, Curves di negara ini amat sesuai dengan masanya.
“Paling istimewa, pusat kecergasan ini hanya untuk wanita tanpa had usia dan lelaki tidak dibenarkan masuk sama sekali.
“Jadi, sebagai ahli, anda bebas berpakaian apa saja, mengikut keselesaan asal saja mengenakan kasut yang sesuai. Wanita Islam juga tidak perlu risau membuka tudung,” tegas pemilik bersama Curves, Amutha Subramaniam, 35, sambil berkongsi cerita di beberapa negara, ada yang datang bersenam mengenakan blaus dan skirt kembang kerana itu keselesaan mereka.
Amutha yang memang sudah lama bercita-cita mempunyai pusat kecergasan seperti itu gembira dengan kehadiran Audrey Pereira yang bertindak sebagai pengurus kelab. Mereka juga dibantu oleh beberapa jurulatih yang berkelayakan.
“Saya dan Audrey sudah bersahabat sejak kami di sekolah rendah lagi dan kami mempunyai minat yang sama di dalam bidang kecergasan badan. Audrey pula mempunyai latar belakang di bidang arkitek jadi hasilnya, hiasan dalaman dan susun atur kelab ini tampil selesa seperti rumah sendiri,” katanya.
Seperti Amutha, Audrey juga teruja menunggu kehadiran ahli baru di kelab mereka yang beroperasi di Kota Damansara, Petaling Jaya itu.
“Curves pasti sesuai untuk semua kerana peralatan yang ada di sini dicipta khas untuk wanita. Pemakanan sihat memang penting, tetapi ramai yang tidak sedar, senaman sangat diperlukan semua orang supaya kita kekal sihat dan bertenaga sepanjang masa.
“Wanita yang prihatin boleh hadir bersama kawan atau ahli keluarga kerana kita semua akan menjadi seperti ahli keluarga di sini,” ujar Audrey.
Sebaik melangkah masuk ke Curves, warna latar ungu menyambut kedatangan. Senyuman dan keramahan petugasnya juga melegakan perasaan.
“Di sini, kami mahu ahli merasa selesa bagaikan di rumah sendiri. Selain peralatan senaman, kami menyediakan bilik mandi yang lengkap, bilik persalinan dan juga ruang santai,” kata Amutha sambil membawa penulis melawat
ke seluruh sudut Curves.
Menurutnya, Curves di seluruh dunia menjadi sebutan ramai kerana ia memenuhi keperluan kaum wanita yang mahukan privasi.
“Di samping itu, peralatan senamannya serba lengkap sama ada untuk latihan kardiovaskular atau keseluruhan badan, hanya 30 minit untuk tiga kali rutin seminggu. Setiap kali rutin, anda akan kehilangan 500 kalori.
“Kini, alasan tiada masa tidak boleh diguna pakai lagi kerana kita perlu meluangkan masa setengah jam sahaja,” katanya.
Amutha tidak sabar menyambut kedatangan orang ramai yang mahu menjadi ahli pada pembukaan Curves pada 22 November ini dan mensasarkan 500 orang sudi mendaftar.
“Sekiranya anda sering ke luar negeri, jangan risau, beritahu saja kami dan kami akan hubungi tempat yang mempunyai Curves di mana-mana negara yang anda kunjungi itu. Anda kemudian boleh menggunakan Curves di negara itu tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Rangkaian Curves kini berada antaranya di Amerika Syarikat, China, Kanada, Jepun, Singapura, Filipina, Arab Saudi, Turki, Taiwan, Vietnam, Australia, Qatar, Scotland, Jerman dan Perancis.
Pusat kecergasan itu begitu popular sehingga mempunyai lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia di lebih 86 negara dan dipercayai oleh empat juta ahlinya.
Pakar Pembukaan Rang�kaian Curves dari New Zealand, Sonya Marsh yang turut ditemui Harian Metro mengatakan kelebihan Curves memang pelbagai.
“Selain daripada peralatan senaman yang berkesan, Curves juga sangat mementingkan hubungan sesama ahli.
“Pada waktu pendaftaran, anda akan ditemubual bagi mengetahui objektif dan harapan menyertai kelab ini selain latar belakang kesihatan dan permasalahan lain.
“Semuanya demi mendekati ahli dan pada masa sama, ahli yang mendaftar tahu
kesihatan dan keupayaan mereka sangat diambil berat,” katanya.
Selain itu, setiap orang yang sedang melakukan senaman di pusat kecergasan itu akan sentiasa diawasi oleh jurulatih profesional sepanjang masa supaya mereka melakukan cara yang betul dan berjadual.
“Hubungan antara Curves dan ahlinya yang membuatkan ia disukai dan dipercayai
di seluruh dunia. Sekiranya anda tidak datang lama, kami pasti menelefon bertanya khabar dan mengingatkan mengenai jadual senaman seterusnya,” katanya.
Sonya juga memberitahu setiap wanita yang mengunjungi Curves selalunya mempunyai masalah emosinya sendiri dalam proses untuk menurunkan berat badan.
“Kami mendengar masalah mereka dan bersama-sama cuba mengatasinya, pendekatan ini biasanya tidak ada di kelab kecergasan lain. Ramai yang menceritakan kejayaan mereka berubah menjadi insan yang berbeza dan bersemangat.
“Bukan sahaja kesihatan bertambah baik, tetapi juga segala-galanya mengenai diri mereka. Mereka jadi positif, berkeyakinan dan tidak lagi rendah diri.
“Kebanyakan pusat kecergasan hanya memerhati ahlinya bersenam pada kali pertama atau kedua, tetapi tidak di sini. Kami akan sentiasa bersama ahli dan menyokong mereka supaya sasaran tercapai seperti yang dirancang,” tambah Amutha.
Pengarah Curves Malaysia dan Singapura, Alison Chin, berkata selama ini, kita
menggunakan peralatan
senaman khas untuk lelaki, tetapi di pusat kecergasan terbabit, peralatan memang ditujukan untuk wanita sahaja dan paling penting, ia berkesan.
Dia turut mensasarkan 75 rangkaian pusat kecergasan berkenaan akan dibuka
di Malaysia dalam masa lima tahun ini.
“Paling terdekat kami akan membuka Curves di Puchong dan kemudian akan terus membukanya satu persatu supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pusat kecergasan ini,” katanya yang menawarkan potongan 60 peratus harga keahlian bagi 100 ahli pertamanya sempena pembukaan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: