KONGSI ILMU...menggunakan khidmat pensyarah asing boleh membantu memperbaiki kemahiran bahasa.
AMAT mendukacitakan apabila ada di kalangan ahli akademik institusi pengajian tinggi masih gagal menguasai kemahiran bahasa Inggeris dengan baik hingga mengganggu proses kelancaran sistem pendidikan negara.
Bukan bertujuan menafikan kelayakan diperoleh, kegagalan itu sedikit sebanyak sudah pasti menimbulkan kepincangan dan persoalan mengenai tahap kewibawaan dalam menjalankan tanggung�jawab.
Ini sekali gus mempertikaikan keupayaan mereka memberi sumbangan kepada institusi keseluruhannya dalam proses pengembangan ilmu merangkumi akademik, kemahiran dan penyelidikan.
Felow Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Megawati Omar, berkata masalah penguasaan bahasa Inggeris memerlukan bantuan pelbagai pihak untuk mengatasinya terutama membantu mereka menulis jurnal bertaraf antarabangsa dengan baik.Menurutnya, kelemahan menulis dalam bahasa antarabangsa itu boleh meng�ganggu kelancaran proses pendidikan dan penjanaan ilmu terutama kepada mahasiswa peringkat tinggi.
“Proses pendidikan memerlukan mekanisme terbaik daripada ahli akademik bagi merealisasikan segala proses pembelajaran. Malangnya jika mereka tidak menepati piawaian, ia boleh menjejaskan mutu serta mengundang persepsi negatif serta menyukarkan tanggungjawab dalam penulisan.
“Mereka bertanggungjawab dalam proses pengemblengan ilmu namun sukar melaksanakan kerana kemahiran berbahasa kurang baik.
“Kualiti pendidikan, penyelidikan dan penulisan akan turut terjejas secara automatik,” katanya.
Beliau berkata, impak kelemahan penguasaan bahasa Inggeris turut memberi kesan kepada proses penulisan yang menjadi nadi penilaian dan pengukuhan seseorang ahli akademik dalam perkhidmatan.
Pengukuhan bahasa itu pula, katanya, bukan hanya dinilai melalui keupayaan berkomunikasi namun juga penulisan dan pemahaman yang menjadi inti pati kepada proses penulisan berbentuk ilmiah.
“Sebagai landasan utama dalam menentukan tahap keupayaan pensyarah, penulisan sudah tentu memerlukan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
“Malangnya sukar melaksanakan tugas itu meskipun mempunyai kelayakan akademik yang baik. Bukankah itu sangat mengecewakan kerana mungkin terdiri daripada golongan bijak pandai yang boleh menyampaikan ilmu kepada masyarakat?
“Disebabkan kekangan itu, proses kelancaran terganggu, sekali gus mengakibatkan proses penyampaian ilmu menjadi terhad dan hanya untuk golongan tertentu saja,” katanya.
Menurut beliau, meskipun penulisan boleh diselesaikan dengan mengupah penterjemah profesional, hasilnya tidak sama.
“Penulisan bukan sekadar berbentuk akademik, tapi juga proses dakwah kepada masyarakat antarabangsa. Melalui penulisan, misi dakwah boleh dijalankan dengan baik.
“Bukankah lebih baik jika melakukannya sendiri kerana lebih asli, beretika dan profesional. Sudah banyak perbelanjaan diperuntukkan kepada institusi untuk penyelidikan bermutu namun jika dilakukan sambil lewa, apakah hasilnya,” katanya.
Bahasa Inggeris mudah dipelajari di peringkat rendah namun semakin sukar jika umur meningkat selain digunakan dalam penulisan formal kerana memerlukan sokongan penulisan akademik serta keupayaan mem�beri kefahaman dan pendidikan yang baik kepada pembaca.
“Ini antara cabarannya dalam proses peningkatan pembelajaran alaf baru, jika penguasaan tidak baik, impaknya sudah tentu pada hasil penulisan dan penerimaan masyarakat yang menjadikan buku ilmiah sebagai rujukan.
“Perlu segera ditangani kerana negara memerlukan pensyarah yang seimbang meneruskan tradisi kecemerlangan ilmu dalam pelbagai bidang selain meningkatkan lagi sumbangan terhadap bidang penulisan profesional,” katanya.
Beliau menyarankan penekanan terhadap kepentingan bahasa Inggeris dimulakan sejak awal supaya tidak menghadapi kesukaran.
“Generasi masa kini adalah penyambung tradisi ilmu pada masa depan. �Lengkapkan mereka dengan pemantapan bahasa Inggeris tanpa mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai medium utama.
“Tiada istilah terlambat menuntut ilmu. Tanggungjawab ini digalas semua pihak tanpa perlu menyalahkan satu sama lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: