Thursday, November 4, 2010

Adaptasi, perbandingan dan renungan


BARISAN pelakon filem Aku Tak Bodoh yang akan ditayangkan pada 2 Disember ini. Filem tersebut merupakan adaptasi daripada filem popular Singapura, I'm Not Stupid.


FILEM tidak pernah ketandusan ruang. Ia mempunyai medium yang sangat luas untuk para pengkaryanya. Sifatnya merentasi sempadan pemikiran dan bangsa. Bubuhlah apa juga dalam filem, ia tetap akan menjadi sebuah filem.

Sama ada ia menjadi sebuah filem yang menarik atau dimaki hamun penonton.

Cuma di sini, yang keringnya adalah idea. Apa yang mahu disogokkan dalam filem? Adakah cerita basi dan setakat memperbodoh-bodohkan para penonton? Atau ia hanya setakat cerita yang 'masuk telinga kiri, keluar telinga kanan'?

Itu antara perkara yang dipersoalkan apabila bercakap fasal filem Malaysia, terutamanya filem Melayu. Terbaru, isu yang harus diperkatakan juga ialah soal adaptasi. Bukannya adaptasi dari cerpen, novel atau buku ke filem.

Sebaliknya, ia adaptasi dari filem ke filem. Gaya olahan ini jarang berlaku dalam industri perfileman di Malaysia. Aku Tak Bodoh misalnya, merupakan filem Melayu yang diadaptasi daripada filem Cina dari Singapura berjudul I'm Not Stupid.

Penerbit bersama filem Aku Tak Bodoh, Grand Brilliance bijak memilih karya itu kerana I'm Not Stupid arahan Jack Neo sebuah filem yang hebat. Bukan sahaja daripada segi garapan tetapi juga mesej di sebaliknya.

Filem itu mengaut kutipan tiket $4.8 juta dolar Singapura (RM11.5 juta) ketika ditayangkan di negara itu. Sebab itu, apabila Aku Tak Bodoh diadaptasi daripada I'm Not Stupid, nilai-nilai kehebatan filem tersebut tidak terhakis.

Filem Aku Tak Bodoh arahan Boris Boo sendat dengan nilai-nilai dan pemikiran masyarakat kontemporari.

Ia menggambarkan kecerdikan karyawannya. Mereka tidak 'berkhutbah' dalam filem tetapi menyampaikannya dalam lapisan bahasa pemikiran dan psikologi moden.

Namun, yang tidak sedapnya ia secara tidak langsung menjadi 'cermin' pula terhadap dunia perfileman di negara ini. Banyak persoalan yang timbul. Antaranya, mana pergi karya-karya tempatan lain yang boleh diadaptasi ke filem?

Para penerbit seolah-olah tidak banyak pilihan mengangkat karya-karya daripada medium-medium lain ke filem. Mungkin kerana tidak banyak pilihan lalu pilihan yang ada ambil sahaja dari negara jiran itu.

Singapura dengan penduduk tidak sampai lima juta berbanding rakyat Malaysia yang berjumlah hampir 27 juta boleh dijadikan perbandingan. Congakan itu daripada segi statistik dan nilai kreativiti kita dengan mereka dalam bidang ini.

Tidak salah buat Grand Brilliance ataupun mana-mana penerbit yang mahu membuat adaptasi dalam produk mereka. Apa yang penting I'm Not Stupid ada nilai komersial, mesej dan kualiti yang menyakinkan golongan terbabit.

Soal karya itu dari negara mana tidak penting. Pada masa sama ia juga menjadi tamparan buat para karyawan filem tanah air bagi mencetuskan idea-idea yang menarik menerusi medium tersebut.

Bukan setakat filem yang menarik, I'm Not Stupid juga unik kerana dengan bilangan penonton dan pawagam yang terhad tetapi ia berjaya mencatat kutipan berlipat kali ganda. Kutipan tiket filem itu sebanyak RM11 juta amat menggagumkan.

Setakat ini filem-filem Malaysia yang ditayangkan di lebih 70 pawagam seluruh negara pun belum mampu mengatasi I'm Not Stupid. Salah satu sebab filem itu begitu bejaya kerana para penonton di sana menontonnya berulang kali.

I'm Not Stupid seakan-akan menempelak para penerbit dan karyawan filem kita. Modal bikin filem memang besar, mahu untung juga berlipat kali ganda tetapi ramai yang kosong daripada segi idea.

Jika bukan kerana ia sebuah filem yang bermutu dan menyeronokkan tidak mungkin ia ditonton banyak kali. Sebab itu, I'm Not Stupid mengangkat industri perfileman di Singapura selain membuktikan juga bahawa mereka tidak bodoh dalam berkarya.

Jauh sekali memperbodoh-bodohkan para penonton. Perkembangan itu seharusnya menjadi renungan buat para karyawan filem kita supaya mereka semakin kreatif, bijak dan mendidik penonton agar menjadi semakin cerdik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: