Wednesday, November 3, 2010

Adaptasi filem Jack Neo


KONFLIK remaja. Satu babak menarik dalam filem Aku Tak Bodoh.


SETELAH memunculkan I Not Stupid pada tahun 2002 dan sekuelnya, I Not Stupid Too (2006) di Singapura dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Inggeris, kini filem Aku Tak Bodoh diterbitkan dalam versi Melayu oleh syarikat penerbitan tempatan pada 2 Disember nanti.

Jika I Not Stupid dan I Not Stupid Too digarap oleh Jack Neo, Aku Tak Bodoh yang membariskan para pelakon popular tanah air itu mendapat suntikan istimewa daripada pengarah baru, Boris Boo manakala jalan ceritanya pula diolah kembali oleh Hassan Muthalib.

Begitupun, khidmat Jack sebagai pemilik sah dua filem berkenaan tetap diperlukan untuk Aku Tak Bodoh. Jack ditawarkan tugas penerbit eksekutif filem berbajet RM1.3 juta itu bergandingan dengan wakil Malaysia - Ahmad Puad Onah dan J.S. Foo.

Biarpun filem jalur komedi dan kekeluargaan berdurasi 98 minit itu diadaptasi daripada dua filem terkenal, Aku Tak Bodoh bagaimanapun bukan meniru bulat-bulat idea asal I Not Stupid dan I Not Stupid Too. Banyak perbezaan nyata dipaparkan dalam filem itu.

Menurut Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB), Ahmad Puad Onah, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada Jack untuk menerbitkan Aku Tak Bodoh dalam versi bahasa Melayu di samping melakukan beberapa perubahan bagi tontonan audiens di negara ini.

“Membabitkan kolaborasi Primeworks Studios Sdn. Bhd., J Team Ptd. Ltd., AMC Sdn. Bhd., RAM Entertainment Sdn. Bhd. dan PMP Entertainment Sdn. Bhd., kami bersepakat untuk mendapatkan khidmat Boris sebagai pengarah dan Hassan mengubah suai sedikit jalan cerita.

“Pengolahan beberapa adegan penting kerana kami mahu ikut kesesuaian budaya, bahasa dan sensitiviti masyarakat Malaysia. Tetapi, konsep asal masih dikekalkan,” katanya usai majlis pratonton filem tersebut di Cathay E@Curve, Petaling Jaya, Selangor minggu lepas.

Pada waktu yang sama, Brando Lee selaku penerbit bersama turut memberitahu, kelainan Aku Tak Bodoh dapat disaksikan menerusi pengubahsuaian aspek persembahan dan isi kandungannya selain ia melibatkan pelakon, tenaga produksi serta dana dari produksi Malaysia.

“Aku Tak Bodoh merupakan filem Malaysia yang mengadaptasi karya Jack Neo. Senario adaptasi karya orang lain dianggap normal dalam cabang penerbitan filem di dunia. Cuma, kita kena pastikan apa yang ingin dihasilkan ini berbeza dan menyelitkan elemen tempatan.


AKU TAK BODOH menampilkan barisan pelakon terdiri daripada (dari kiri) Rohaizat Hassan,Ariel Zafrel. Riezman Khuzaimi dan Amy Mastura,


“Kami yakin filem ini berupaya menarik penonton kerana sesuai untuk semua lapisan umur. Cuma, susah pihak kami hendak menjangka jumlah kutipan kerana pasti ada persaingan sengit dengan filem lain kerana selera penonton berbeza-beza,” terangnya lagi.

Bakal muncul di layar lebar sempena musim cuti sekolah nanti, Aku Tak Bodoh dibintangi barisan pelakon popular tanah air antaranya Riezman Khuzaimi, Amy Mastura, Namron, Adibah Noor dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Filem itu juga turut memperkenalkan tiga pelakon muda dan berbakat besar pertama kali bergelumang dalam dunia filem, Ariel Zafrel, Rohaizat Hassan dan Wan Noor Aizat.

Amy yang menerajui watak ibu kepada Rohaizat dan Wan Noor Aizat menjelaskan, Aku Tak Bodoh punya kelainan tersendiri kerana ia berkisar kehidupan keluarga yang boleh dijadikan panduan kepada penonton.

“Saya meletakkan sepenuh pengalaman bagi menghidupkan watak ini. Saya sendiri ada dua anak, jadi ia tidak memberi kesukaran kepada diri. Terus terang, mesej filem ini sangat baik kerana kita tidak pernah bertanyakan anak-anak tentang kehendak mereka.

“Sebagai ibu atau bapa, kita boleh mengambil pengajaran daripada filem ini untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Lantaran itu, kita kena menurunkan ilmu yang baik kepada keturunan sendiri,” bilang Amy.

Biarpun sudah melibatkan diri dalam himpunan filem, Riezman menganggap filem tersebut memiliki jalan cerita berbeza berbanding ditampilkan sebelum ini. Malah, dia cukup teruja apabila terpilih melakonkan watak bapa yang bermain dengan variasi emosi.

“Hubungan antara ibu bapa dan anak dapat diperjelaskan dengan sebaik mungkin menerusi Aku Tak Bodoh.

“Sejujurnya, saya juga menggunakan pengalaman sebagai ketua keluarga bagi menghidupkan karakter lakonan ini. Sebagai bapa, saya turut berhadapan dengan kerenah anak-anak sendiri,” akuinya.

Aku Tak Bodoh berkisar Roy, 16, menjalani kehidupan yang sentiasa diikat dengan prinsip ibu bapanya. Sikap kedua orang tuanya lebih-lebih lagi gemar mengkritik dan tidak menghargai dirinya, menyebabkan Roy mula berkawan dengan sekumpulan remaja nakal.

Roy berasa cukup dihargai setelah bercampur dengan komuniti baru itu. Pada waktu sama, adik Roy, Jefri, 8, tersepit dalam dunia ciptaan sendiri kerana tiada siapa mempedulikannya.

Keadaan menjadi teruk apabila Roy dan Jefri sudah berani melakukan jenayah.

Ibu bapa mereka yang terlalu marah bertindak memukul anak-anaknya tanpa belas kasihan. Ini menjadikan sikap Roy bertambah liar serta sukar dikawal.

Namun, segala-galanya berubah apabila ibu bapa Roy terbaca blog hasil nukilannya mengenai kisah hidupnya.

Tidak ketinggalan, ibu bapa mereka turut tersentak dengan pengakuan anak bongsu mereka, Jefri yang sebenarnya punya motif sendiri ketika bergelut dalam situasi menyalahi undang-undang itu.

Bagi mengetahui kesudahannya, jangan lupa saksikan filem itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: