Tuesday, September 8, 2009

Wanita ditawar RM2.93j tinggalkan suami


SAMUELIDES dan Holmokova tiba di sebuah
mahkamah di London semalam.


LONDON - Seorang jutawan, Yann Samuelides menawarkan wang sebanyak £500,000 (RM2.93 juta) kepada seorang wanita Slovakia berusia 28 tahun, Alzbeta Holmokova supaya meninggalkan suaminya yang merupakan seorang pesara warga emas, lapor sebuah akhbar semalam.

Samuelides yang merupakan pengarah urusan bank pelaburan Goldman Sachs didakwa menjanjikan wang itu kepada Holmokova jika dia menceraikan suaminya, Denis Morley yang berumur 67 tahun.

Menurut Morley semasa memberi keterangan di sebuah mahkamah, Samuelides yang berusia 35 tahun itu turut mengancam untuk membunuh diri jika wanita tersebut berhenti daripada menemuinya.

"Dia merasuah isteri saya supaya meninggalkan saya sedangkan isteri saya pernah memberitahu lelaki itu bahawa dia mencintai dan menghormati suaminya.

"Lelaki itu (Samuelides) mengugut membunuh diri jika isteri saya tidak bertemu dengan dia," kata Morley.

Morley berkata, Samuelides turut menawarkan sebentuk cincin berlian bernilai £5,000 (RM29,300), sebuah beg tangan mewah berharga £1,500 (RM8,800) dan wang tunai £3,500 (RM20,500) kepada isterinya.

Menurutnya, Samuelides membuat permintaan supaya Holmokova tinggal bersamanya dan dia akan mendapat wang sebanyak £500,000.

Morley berkata, isterinya menyatakan dia tidak akan mendapat wang sebanyak itu jika tidak berkahwin dengan lelaki tersebut.

Menurutnya, dia pernah mengancam untuk membunuh Samuelides.

Isteri Morley itu memfailkan perceraian kerana kelakuan suaminya yang tidak bertimbang rasa.

Kes itu ditangguhkan sehingga 31 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: