Saturday, September 26, 2009

Taufik dulu orang susah




MESKIPUN sudah mendaki tangga kemasyhuran di Singapura, Malaysia dan Indonesia, namun penyanyi tampan dan berbakat besar, Taufik Batisah tidak pernah menyombong diri dek limpahan populariti.

Apatah lagi sejak awal pembabitan sebagai anak seni bukan kerana mengejar glamor sebaliknya pemilik nama lengkap Muhammad Taufik Batisah itu mahu meringankan beban ibu tercinta, Normainah Bachok, 55, yang selama ini memerah tenaga membesarkannya sebagai ibu tunggal.

Impian Taufik bergelar figura terkenal hanyalah satu. Pemuda berusia 28 tahun itu awal-awal lagi sudah melahirkan nawaitunya untuk membantu keluarga tersayang.

Niat di hati bukanlah mahu memohon secebis simpati daripada orang lain. Sebaliknya perihal itu dikongsi oleh Taufik agar barangkali, ia mampu jadi pedoman kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan mereka.

"Ibu bapa bercerai sewaktu umur saya 15 tahun. Kemudian hidup saya, emak dan dua orang abang (Muhammad Muhiddean, 31 dan Muhammad Mustaffa, 29) menjadi sukar.

"Kami tinggal di rumah flat dengan dua bilik di Dover Road manakala emak saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang cuci di Singapura.

"Dengan keadaan rumah yang agak daif dan tidak selesa, saya tetap teruskan kehidupan seperti biasa walaupun pernah ada perasaan malu dengan kawan-kawan tentang kesusahan yang saya alami ini.

"Kemudian saya menyambung pelajaran di Politeknik Singapura dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Marin dan pernah ada keinginan untuk meninggalkan negara kelahiran sendiri akibat tidak tertahan dihimpit kesusahan.

"Selepas itu, ketika saya berusia 18 tahun, saya menyertai Khidmat Negara selama tiga tahun. Tamat saja latihan ketenteraan itu, saya mencuba nasib menyertai Singapore Idol pada tahun 2004 sekali gus bergelar juara," katanya mengimbas perjalanan hidupnya yang penuh onak dan liku.

Tidak dinafikan, ada riak kedukaan tatkala Taufik berbicara tentang kisah silamnya semasa menjayakan sesi fotografi di Hotel Quality, Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Menyambung perbualan, anak muda yang dilahirkan pada 10 Disember 1981 itu melihat banyak perubahan yang berlaku kepada diri dan keluarganya selepas diumumkan sebagai juara pertama program realiti terkenal itu.

"Ada banyak hikmah selepas saya menang Singapore Idol. Abang sulung saya membawa kami sekeluarga berpindah keluar dari rumah asal ke kediaman yang lebih selesa manakala saya pula memperuntukkan sejumlah wang untuk dibelanjakan emak.

"Saya cukup terhutang budi kepadanya. Selepas saya sudah berjaya sikit, saya tidak lokek berbelanja untuk abang. Kalau abang ada sebarang masalah atau kesulitan, saya cuba menolong selagi boleh dan berkemampuan.

"Lagipun kalau hendak difikirkan kembali, tiada salahnya kalau saya ingin berkongsi rezeki yang dimiliki dengan insan-insan tersayang yang sebelum ini menjalani kehidupan payah bersama.

"Bahkan, hubungan rapat saya dengan bapa (Batisah Ahmad, 55) menjadi lebih akrab walaupun dia sudah berkahwin dengan wanita dari Johor serta punya famili sendiri.

"Jika isteri baru bapa dan anak-anaknya datang ke Singapura, mereka akan tinggal di rumah emak saya. Paling mengejutkan, mereka boleh keluar bersama dan tidak pernah mengambil peduli peristiwa lampau antara emak dan bapa saya.

"Abang saya yang sebelum ini tidak boleh bertentang mata dengan bapa, kini juga sudah ada hubungan yang baik dengan bapa sesudah saya menang Singapore Idol.

"Memang saya akui kehidupan saya dan keluarga banyak berubah lalu menjadi lebih baik selepas saya bergelar seorang karyawan seni," jelas anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu bersungguh-sungguh.

Tanpa mahu berselindung empunya diri merupakan anak emak, Taufik mengaku cukup bertuah apabila dikurniakan Tuhan seorang wanita yang sentiasa bersemangat cekal dan sering memberi perangsang kepada anak-anak.

"Emak selalu menjadi pendorong kepada saya untuk terus bertahan dalam dunia seni. Saya cukup rapat dengan emak dan tidak pernah malu berkongsi apa jua masalah dengannya selama ini," katanya.

Kenangan hari raya Taufik

Taufik yang berdarah kacukan Bugis dan India itu tidak terkecuali berkongsi kisah sedihnya sewaktu Hari Raya Aidilfitri. Mana mungkin untuk dia melontarkan jauh-jauh pengalaman yang masih membasahi fikiran sehingga ke saat ini.

Kalau umat Islam lain tidak sabar untuk kunjung-mengunjungi saudara-mara dan kenalan pada hari raya, Taufik yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa pada waktu itu sebaliknya enggan menerima kehadiran tetamu.

Bukan sengaja atau bersikap individualistik tetapi Taufik berasa malu dengan kesusahan yang dihadapi sehingga dia tidak bersedia menerima kehadiran orang lain meraikan hari raya di terataknya.


SELAIN Singapura, Taufik turut menyambut lebaran di kediaman bapanya di Johor Bahru.


"Dengan keadaan rumah yang sedikit daif, saya rasa tertekan dan murung setiap kali menjelang hari raya. Oleh itu saya tidak benarkan orang lain datang ke rumah pada waktu itu.

"Kalau ada kawan-kawan yang hendak melawat, saya berikan pelbagai alasan kononnya tiada di rumah mahupun ada hal lain yang perlu diselesaikan," jawabnya sedikit beremosi.

Ketika itu Taufik merasakan hari raya sudah tidak bermakna kepada diri.

"Saya sedih dengan perpisahan bapa dan emak. Disebabkan tidak dapat menerima hakikat ini, saya anggap Hari Raya Aidilfitri saya sudah tidak bermakna. Saya malas hendak beraya macam orang lain.

"Alhamdulillah, kini barulah saya dapat merasai nikmat menyambut hari raya dengan meriah setelah kehidupan saya dan keluarga mulai berubah sedikit demi sedikit," luah Taufik yang sedang giat mempromosikan album terbaru, Suria Hatiku.

Beraya di Singapura, Malaysia

Bertuah badan si Taufik kerana dia bukan sahaja menyambut hari raya di tanah kelahirannya, Singapura. Dia juga meraikan hari lebaran di Malaysia di kediaman bapanya yang terletak di Taman Sutera, Johor Bahru.

"Pada pagi raya, saya menjamah sedikit makanan terlebih dahulu sebelum menunaikan sembahyang raya di kawasan berhampiran rumah di Singapura.

"Kemudian saya, emak dan abang paling tua yang sudah berkeluarga sendiri beramai-ramai melawat bapa di Johor sambil membawa masakan yang dimasak oleh emak di rumah.

"Kami berada di Johor seharian suntuk sambil melawat ke rumah saudara-mara lain sebelum kembali ke Singapura pada sebelah malam.

"Bayangkan, Hari Raya Aidilfitri saya terisi dengan pelbagai aktiviti ditambah dapat berkumpul dengan ramai sanak-saudara serta keluarga baru bapa.

"Saya rasa seronok dapat berlepak dengan saudara-mara sambil menjamu hidangan raya. Daripada ketupat, lontong, rendang, lodeh, ayam goreng, serunding dan macam-macam lagi, semuanya ada pada hari raya," tutur Taufik teruja.

Selepas beraya di Johor, kata Taufik, dia bercuti selama beberapa hari sebelum menyambung kerjayanya yang masih menanti di depan sebagai anak seni.

"Dengan hari yang singkat inilah, saya beraya dengan kawan-kawan rapat di Singapura dan berehat sepuas-puasnya di rumah tanpa memikirkan soal kerja," akui Taufik yang menjadikan bahulu sebagai kuih wajib untuk hari raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: