Saturday, September 26, 2009

Bersatu dalam Sehati Berdansa


FAHRIN tidak mahu pemilihan Scha sebagai hos Sehati Berdansa dijadikan isu dan kontroversi.


SEBELUM ini si dara yang dikenali sebagai Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau lebih mesra disapa Scha, 26, mahukan tempoh dua tahun untuk menamatkan zaman solonya.

Si teruna yang merupakan seorang aktor berbakat besar tanah air, Fahrin Ahmad, 30, bagaimanapun menganggap tempoh yang dituturkan oleh wanita yang dicintainya sepenuh jiwa itu sekadar ungkapan di bibir sahaja. Mana mungkin soal jodoh dan mati yang ditakdirkan oleh Yang Maha Kuasa untuk dipinda-pinda oleh kita sebagai manusia.

Selepas mendengar penjelasan daripada mulut Scha sendiri sebelum ini, kepada Fahrin pula ditujukan persoalan sama. Cuma mahu menyaksikan reaksi Fahrin terhadap prinsip Scha yang menetapkan tahun 2011 untuk mereka mendirikan rumah tangga jika tiada sebarang aralnya.

Fahrin yang ditemui pada sidang media memperkenalkan hos program realiti tarian popular, Sehati Berdansa di Restoran Bijan, Kuala Lumpur baru-baru ini sekadar tersenyum sekerat sebelum dia larut dalam emosi kelelakiannya.

"Saya sempat membaca surat khabar yang menyiarkan artikel tentang angan-angan Scha untuk berkahwin dalam waktu dua tahun lagi. Sebenarnya tempoh sebenar hanya saya dan Scha yang tahu.

"Sebelum ini saya sering mendengar usia 30 tahun menjadi umur terbaik untuk mendirikan rumah tangga. Sebelum ini ketika saya mencapai usia 25 tahun, saya mengatakan kepada diri sendiri bahawa saya masih muda lagi untuk berkahwin.

"Waktu berlalu dengan pantas. Sekarang diam tak diam saya sudah mencapai angka 30. Lantas saya terima pesanan ini sebulat-bulatnya. Memanglah saya sudah bersedia untuk berkahwin pada bila-bila masa sekarang.

"Orang selalu bertanya bilakah saya hendak menamatkan zaman bujang. Mudah saja jawapan saya kepada mereka bahawa saya mahu bernikah secepat mungkin.

"Siapa tahu saya lamar dia (Scha) esok dan dia juga menerima pelawaan saya. Mungkin esok juga kami akan kahwin kalau masing-masing sudah bersetuju.

"Hakikatnya Allah Taala yang menetapkan segala-gala perkara yang berkaitan dengan hidup manusia. Siapalah kita untuk menolak kekuasaan-Nya," ungkap Fahrin dengan bait bicara penuh keyakinan menjawab situasi yang belum terjawab dengan sejelas-jelasnya.

Itu kesudahan menggembirakan kalau mereka benar-benar disatukan menjadi pasangan suami isteri suatu hari nanti. Tetapi bagaimana pula jika rencana mereka itu terhalang di pertengahan jalan lalu masing-masing mula membawa haluan sendiri?

Jawab jejaka berbadan tegap itu, dia percaya kepada qada' dan qadar Allah. Sebagai umat manusia, dia hanya mampu merancang apa yang diingini selagi terdaya.

"Macam saya katakan tadi, ini semua kuasa Allah. Tetapi sebagai artis dan dikenali ramai, saya dan Scha tidak mampu lari daripada pihak media dan masyarakat kalau-kalau hubungan kami berdepan dengan masalah.

"Biarpun cerita kami dijaja sana-sini namun saya cukup pasti bahawa di penghujungnya hanya saya, Scha dan Allah saja yang tahu kebenarannya.




"Cukup-cukuplah Scha tertekan sebab jika ada satu-satu perkara yang melibatkan saya, pasti dia yang akan terkena tempiasnya. Mengikut nilai berita, boleh dikatakan hampir setiap minggu ada cerita tentangnya di surat khabar.

"Tetapi persoalannya, sejauh mana orang ramai menilai bakat seninya. Saya percaya inilah harga yang perlu dibayar akibat bergelar artis. Cuma walau setinggi mana harga yang perlu dibayar, janganlah sampai kena korbankan diri," tutur Fahrin sambil memahat ungkapan penuh pengertian tersirat dan tersurat.

Bersatu dalam Sehati Berdansa

Barangkali ada cakap-cakap belakang yang mula menunjukkan perasaan muak ataupun jelek melihat dua sosok, Fahrin dan Scha yang sentiasa bersama.

Suka mahupun tidak, peminat terus-terusan melihat keintiman pasangan merpati dua sejoli itu selepas ini apabila mereka disatukan dalam program Sehati Berdansa untuk musim ketiga nanti.

Sebelum orang ramai berkata yang bukan-bukan kelak, awal-awal lagi Fahrin memohon agar pemilihan Scha untuk digandingkan dengannya dalam Sehati Berdansa tidak lekas disalahertikan.

"Kelainan ini dilihat pada sudut karier, bukannya berkaitan peribadi. Ia menjadi langkah berani Astro untuk menampilkan kelainan.

"Keputusan Scha dipilih sebagai pengacara program ini ditetapkan secara keseluruhan oleh Astro. Ia tidak ada kena-mengena dengan campur tangan saya. Bahkan saya membiarkan saja Scha membuat keputusan sebelum dia mengambil kata dua.

"Saya dengan rendah diri berharap agar perkara ini tidak dijadikan isu, kontroversi, berita, spekulasi atau bahan provokasi," sahut Fahrin spontan minta dimengertikan.

Fahrin memberitahu, awal-awal lagi dia sudah menerima 'arahan' daripada tenaga produksi Sehati Berdansa dan Astro untuk membimbing Scha sekali gus mewujudkan imej keserasian mereka di kaca televisyen.

"Saya sendiri yang membesar dengan program ini sememangnya bersedia membantu Scha yang masih hendak menyesuaikan diri dengan perjalanan Sehati Berdansa.

"Bahkan gandingan kami juga membuktikan sejarah dan rekod bahawa saya boleh bekerja dengan sesiapa saja tanpa menghadapi sebarang masalah," terang Fahrin enggan berselindung.


TIGA hos Sehati Berdansa Scha, Awal dan Fahrin.


Belajar daripada Linda Onn

Dalam pada itu, Scha pula tidak mampu melahirkan perasaan teruja apabila diberikan kesempatan untuk berada di lantai tari Sehati Berdansa bersama Fahrin bertindak selaku pengemudi program.

"Saya sempat menonton siaran ulangan Sehati Berdansa musim terdahulu untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang konsep program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat itu.

"Tidak ketinggalan, saya jadikan Linda yang lebih berpengalaman sebagai contoh mengendalikan Sehati Berdansa. Ini merupakan kali pertama saya terlibat sebagai hos 100 peratus untuk siaran secara langsung.

"Saya sedar orang di luar sana pasti membanding-bandingkan saya dengan Linda. Tetapi saya berfikiran positif serta optimis dengan sebarang persepsi masyarakat selepas ini.

"Paling penting, saya nekad mahu melakukan yang terbaik. Semahunya ingin jadi bagus selagi terdaya," janji Scha kepada khalayak Sehati Berdansa yang akan bertamu di kaca televisyen tidak lama lagi.

Awal kekal di Sehati Berdansa

Dalam pada itu, seorang lagi pengacara Sehati Berdansa, Awal turut menzahirkan perasaan bersyukur kerana empunya diri masih dikekalkan dalam program yang menekankan format pemarkahan 50 peratus juri dan 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

"Tahun ini untuk Sehati Berdansa diadakan, saya masih bertanggungjawab mengacarakan Detik Sehati Berdansa, Di Sebalik Sehati Berdansa dan Kenali Sehati Berdansa.

"Saya ditugaskan untuk melihat mana-mana pasangan yang menyertai program ini sedang membuat latihan tarian sepanjang program ini berlangsung.

"Tidak dinafikan, saya cukup terhibur melibatkan diri dalam produksi Sehati Berdansa sejak beberapa tahun lalu. Kalau diperhatikan secara luarannya, memanglah program ini sama saja macam rancangan realiti televisyen lain di negara ini.

"Cuma Sehati Berdansa menjadi menarik dan sedikit berbeza kerana ia adalah pertandingan tarian. Bayangkan apabila golongan artis yang tidak mempunyai pengalaman menari, tiba-tiba dikehendaki berbuat pelbagai tarian umpama penari profesional," katanya sambil tertawa kecil.

Selain memperkenalkan kombinasi pengacara baru dan lama, Sehati Berdansa musim ketiga dengan bangganya turut membawa masuk pengasas Sayang Academy Of Dancing, Farah Sulaiman.

Farah punya puluhan tahun pengalaman dalam bidang seni dan pernah mewakili negara dalam pelbagai pertandingan tarian bertaraf antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: