Saturday, September 26, 2009

Alexa mahu terus menakluk


DARI kiri: Satrio, Rizti, Fajar, Aqi dan Jmono mempopularkan genre muzik powerpop.


MESKIPUN usia kumpulan Alexa masih hijau di pentas seni muzik, hakikatnya ahli-ahli kumpulan itu punya banyak pengalaman yang terkadang melebihi pemuzik senior di Indonesia.

Alexa yang ditubuhkan pada tahun 2008 itu dianggotai oleh lima anak muda iaitu Aqi (vokal), Jmono (bass), Jar (drum), Rizki (gitar) dan Satrio (gitar).

Bagaimanapun umur mentah kumpulan yang menjunjung jalur powerpop itu bukan menjadi persoalan di sini. Sebaliknya kelima-lima pemuda itu sudah mampu tersenyum lega kerana berhasil mencatat deretan kejayaan dalam profil seni mereka sebelum disenyawakan menjadi Alexa.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Alexa pantas memacu angan-angan tinggi melangit untuk meningkatkan hierarki mereka ke tahap lebih tinggi. Asalkan ada usaha dan semangat juang tinggi maka tidak mustahil kepada demi mereka melestarikan angan-angan tersebut.

Menurut Aqi atau nama berdaftarnya Ananda Riztantio, 28, dia mengerti impian yang dihajati itu ibarat memikul tanggungjawab yang berat. Bahkan tidak mudah untuk direalisasikan dalam waktu singkat.

"Oleh itu kami ingin memecut lebih pantas berbanding daripada kumpulan lain yang ada di negara kelahiran kami untuk melangkahkan kaki ke negara Asia.

"Biarpun baru tiga tahun Alexa ditubuhkan, kami bagaimanapun sudah merencanakan perjalanan untuk menakluk beberapa buah negara selepas ini.

"Alhamdulillah, kami sudah berpeluang ke Malaysia. Sebetulnya kami mahu ke Singapura terlebih dahulu. Oleh kerana jadual yang begitu padat maka kami terpaksa menangguhkan seketika hajat ini.

"Kami merancang untuk menebusi pasaran muzik di Australia dan kemudiannya ke serata negara Asia bagi mencuba nasib," kata Aqi bersungguh-sungguh ketika ditemui di Hotel Novotel, Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Mencatat pencapaian peribadi Alexa, mereka cukup berbangga apabila muzik yang diperjuangkan itu lekas mendapat tempat tersendiri di jiwa seluruh rakyat Indonesia termasuk Malaysia.

"Kami rasa terharu apabila genre muzik berbeza kami mendapat tumpuan daripada peminat di Indonesia bahkan dijadikan lagu tema untuk sinetron.

"Dalam pada itu, sewaktu Alexa menjejakkan kaki ke Malaysia baru-baru ini, ternyata kami cukup terperanjat dengan sambutan serta penerimaan para peminat di sini.

"Situasi ini menandakan muzik sifatnya universal dan tidak punya batas sempadan. Kami juga yakin bahawa karya yang baik selalunya akan bertebaran di mana saja tanpa ada halangan," kata Aqi dalam nada sepenuh keyakinan.

Sementara itu, Aqi yang dilahirkan pada 9 Jun 1981 itu turut meluahkan perasaan bangga dan bersyukur apabila laluan Alexa sering dipermudahkan menjadi begitu teratur dan kelihatannya indah-indah belaka.

"Selepas melancarkan album pertama, kami menjelajah ke serata Indonesia. Dari situ kami terima reaksi daripada peminat terhadap keupayaan sebenar kami.

"Tiada yang lebih membanggakan Alexa apabila jalur muzik kami yang masih terlalu baru ini disukai oleh peminat. Ini menjadi satu penghargaan yang tidak terbatas kepada Alexa," luah Aqi sambil tersenyum manis.

Jika diselak kembali sejarah mereka, tidak ada siapa menyangka bahawa Alexa adalah gabungan antara beberapa kumpulan daripada pelbagai latar belakang muzik seterusnya membentuk satu kumpulan.

Penyatuan itu seperti memberikan satu kuasa ajaib kepada keseluruhan ahli kumpulan apabila pelbagai idea dan perancangan sudah diatur bagi memahat nama Alexa setinggi yang boleh.

Bersederhana untuk hari raya

Tutup sudah tentang perihal berkaitan kerjaya seni Alexa yang semakin menyerlah, saat diajak berbicara mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Aqi, Jmono, Jar, Rizki dan Satrio masing-masing mengungkapkan perasaan gembira tentang hari kemenangan itu.

Berbicara lebih lanjut tentang definisi hari raya kelima-lima pemuda itu menjelaskan, Hari Lebaran yang jatuh pada 1 Syawal setiap tahun itu punya kelebihan tersendiri kepada mereka.

Aqi berpendapat hari raya sebagai perayaan yang suci, dibersihkan daripada segala dosa sekali gus membolehkan manusia memulakan semula kehidupan baru.

"Seperti biasa saya menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian beraya di rumah saudara-mara. Perayaan saya biasa-biasa saja seperti tahun-tahun sudah, tiada yang istimewanya. Baju Melayu saya sekadar beli sepasang.

"Cuma makanan seperti rendang paru menjadi kewajipan pada hari raya. Selebihnya saya lebih suka menghabiskan waktu bersama keluarga, orang tercinta dan sahabat handai," katanya yang sibuk mempromosikan lagu kerohanian untuk bulan Ramadan lalu berjudul Hingga Saatnya Kan Tiba.


SAMBUTAN Aidilfitri menjadi hari untuk ahli kumpulan Alexa bercuti dan berkumpul bersama keluarga.


Bagi Rizki atau nama sebenarnya Rizki Syarif, 26, hari raya dianggap istimewa kerana seluruh keluarga dan saudara-mara yang datang dari merata tempat berkumpul sekali di sebuah rumah.

"Saya memiliki keluarga yang besar dan sukar untuk kami berkumpul pada satu-satu waktu. Lantaran itu, hari raya ini menjadi waktu terbaik untuk kami bertemu dan mengeratkan silaturrahim.

"Di samping ini, kami dapat menjamu selera dengan menikmati rendang paru dan ketupat sayur bersama-sama pada pagi raya," jelasnya yang memiliki dua pasang baju Melayu untuk hari raya nanti.

Pemilik nama penuh Adhika Prabu Aprianto atau lebih dikenali sebagai JMono, 23, yang membuat rumah terbuka pada hari raya ketiga lalu memberitahu, Aidilfitri adalah kesempatan untuknya meluangkan waktu yang lebih banyak masa dengan keluarga.

"Tahun ini, perayaan saya disambut secara sederhana saja. Saya tidak membeli baju Melayu kerana pakaian lama masih elok dan boleh digunakan lagi. Jadi, saya gunakan saja baju hari raya yang lama.

"Paling penting saya dapat merasai masakan keluarga yang memang sedap iaitu opor ayam dan gulai kambing," katanya yang masih menuntut dalam jurusan Perundangan di Universiti Indonesia.

Menjelaskan sambutan hari rayanya, Jar atau nama penuhnya Fajar Arifan, 27, berkata, persiapan hari rayanya dilakukan seawal mungkin bagi memastikan kemeriahannya.

"Makanan, kuih-muih dan baju telah dibeli sejak awal lagi kerana mahu mengelakkan kelam-kabut pada kemudian hari.

"Saya juga dapat menyambut hari raya dengan keluarga dan anak-anak saudara lebih lama. Tidak ketinggalan, saya juga ada memberi duit raya kepada mereka.

"Ibaratnya saya berbahagi-bahagi rezeki yang ada dengan mereka apatah lagi rezeki saya dimurahkan setelah bergelar artis. Saya juga ada peruntukan tertentu yang diberikan kepada anak-anak saudara dan tetamu kecil lain yang datang beraya.

"Kalau sudah namanya raya, sudah pastilah saya seronok untuk menjamu selera dengan makanan yang lazat seperti rendang ayam dan pulut kuning. Tetapi saya sedikit pelik apabila turut menggemari bubur durian dengan pulut.

"Oleh itu saya tidak sabar untuk datang ke Malaysia lagi disebabkan bubur durian dan pulutnya juga enak," jelasnya sambil tertawa.

Bagi Nur Satriatama atau Satrio, 27, hari raya menjadi hari dia dan keluarga berkumpul sambil mengeratkan silaturrahim sesama sendiri.

"Dalam pada itu, saya beri duit raya kepada saudara-mara dan tetamu kecil yang datang ke rumah.

"Saya juga banyak menghabiskan waktu di rumah bersama keluarga sambil menyambut ketibaan tetamu dan sanak-saudara," katanya yang menggemari gulai kambing dan sambal goreng untuk juadah hari raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: