Tuesday, September 15, 2009

Tak perlu jaga hati sesiapa


LAN berjanji akan lebih komited dengan kerjaya seninya selepas ini.

KETEPIKAN seketika soal kontroversi yang sering dipalitkan padanya sebelum ini. Selepas meninggalkan kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dan mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, Lan yang kini mahu dikenali sebagai Azlan & The Typewriter mahu melupakan terus cerita panas yang banyak kali dikaitkan dengannya sebelum ini.

Jika Azlan atau lebih mesra disapa Lan ini sering dikatakan mempunyai masalah disiplin namun sejajar dengan kemunculannya sebagai artis solo, Lan berjanji untuk lebih komited dalam kerjayanya. Justeru, tidak hairanlah jika untuk kesinambungan kariernya kali ini, Lan lebih selesa bergerak secara solo kerana baginya itu lebih memudahkan dirinya.

“Apabila bergerak solo, saya lebih senang membuat keputusan sendiri dan lebih komited dalam kerjaya. Lagipun, apabila bergerak sendiri saya tak perlu nak jaga hati sesiapa. Kalau ada perkara yang tak kena di mana-mana, saya sendiri yang tanggung risiko.Malah, saya juga bebas untuk buat muzik sendiri,”kata Azlan ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya berjudul Kelibat Si Penyair di sebuah hotel terkemuka di Hotel PJ Hilton, di Petaling Jaya baru-baru ini.

Dengan kenyataan itu apakah ini bermakna Lan memang seorang artis yang bermasalah seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini. Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan itu, Lan tidak memberi sebarang jawapan pasti berhubung isu itu.

“Entahlah, susah nak kata. Cuma apa yang penting, selepas ini Lan akan lebih komited pada kerjaya dan single terbaru ini menunjukkan Lan memang serius dalam bidang ini,” katanya yang turut mendendangkan dua buah lagu lain iaitu Mendaki Bumi dan Ada Jiwa.

Pun begitu, walaupun memang ada desas desus yang mengatakan Lan terpaksa menarik diri dari kumpulan MUH kerana tiada persefahaman, namun menurut Lan antara dia ahli kumpulan MUH yang lain masih lagi berhubung antara satu sama lain.

“Malah mereka juga banyak menyokong kerjaya saya dan menggalakkan saya untuk terus aktif dalam bidang ini. Mungkin ada yang mengatakan walaupun saya bergerak sendiri namun agak sukar untuk mengikis imej MUH dalam diri saya.

“Saya akui perkara itu namun bagi mereka yang peka dengan muzik MUH, mereka pasti akan dapat merasakan perbezaannya kerana Azlan & The Typewriter lebih kepada Alternatif Rock. Saya pasti, lambat laun peminat pasti akan dapat menerima muzik kami secara perlahan-lahan,” katanya yang diiringi tiga pemuzik undangan iaitu Din sebagai gitaris, Bakri (drum) dan Pak Ku (bass) sewaktu membuat persembahan pada petang itu.

Melihat kepada nama Azlan & The Typewriter tentu akan ada yang menyangkakan Lan kini sudah mempunyai kumpulan baru. Apatah lagi selepas ini, Lan akan sentiasa diiringi pemuzik yang sama dalam mana-mana undangan.Bagaimanapun, menurut Lan, The Typewriter hanyalah simbolik semata-mata.

“Perkataan Typewriter atau mesin taip itu sendiri menggambarkan sesuatu yang lama dan ini ada kena mengena dengan sentuhan muzik kami yang lebih bersifat old school. Selain itu, ia juga adalah lambang kepada karya yang saya hasilkan sendiri bersama seorang lagi rakan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya lebih senang bergerak sendirian kerana itu lebih mudah. Dan saya harap dengan nama baru itu dapat memberi semangat baru kepada saya,” katanya yang bakal muncul dengan album penuh berjudul Peta Minda penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: