![]() |
Zed Zaidi tidak mahu berfikir soal cinta tetapi sebaliknya Ainul Aishah sedia untuk bercinta lagi
MEMILIH untuk berada di bawah sesebuah syarikat pengurusan artis ada kalanya menjadi percaturan yang akan menentukan turun naik kerjaya. Silap pertimbangan, ada sesetengah kerjaya artis yang menggunakan khidmat syarikat pengurusan bagaikan terus malap.
Tetapi tidak semua yang memilih untuk diuruskan agensi sebegini berakhir dengan kekecewaan. Lalu tidak hairanlah, Zed Zaidi dan Ainul Aishah turut memilih syarikat pengurusan Aquila Emas seperti rakan artis Zizan Nin, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Airis Yasmin, Lana Nordin, Chelsia Ng dan Isma Hanum.
Bagi Zed Zaidi, 29, dia antara sebilangan pelakon yang memilih untuk menguruskan kerjaya sendiri sejak 1999 ketika mula menerjah arus seni. Ketika itu, dialah pemandu kereta dan dia juga seperti diari bergerak memastikan komitmen seni berjalan lancar.
Katanya, seiring dengan perjalanan masa, dia mula menggunakan khidmat pembantu peribadi. Namun, selepas melebarkan sayap dalam bidang perniagaan yang terus berkembang baik, pelakon drama Sembilu Kasih ini mula memikirkan untuk mencari ‘pengurus’ yang boleh memudahkan urusan kerjayanya.
“Melalui Zizan, saya mula memerhatikan apa yang dilakukan Aquila Emas (AE) terhadap kerjaya seseorang artis. Selama empat tahun saya mengintai AE, namun hanya mulai tahun ini saya nekad memilihnya dan ternyata saya terus berpuas hati.
| ARTIS naungan Aquila Emas sibuk melayan anak yatim dari Kampung Melayu Subang. |
“Apabila bidang perniagaan yang saya ceburi dan lakonan mula menjadi kepentingan, saya mula memikirkan untuk mencari syarikat pengurusan. Aquila Emas menjadi pemudahcara kepada kerjaya saya. Apa yang saya lakukan mula teratur dan saya yakin dengan AE.
“Bidang perniagaan yang saya usahakan ini juga sebagai jaminan masa depan kerana dunia hiburan pun belum tentu menjanjikan kemewahan. Tetapi saya jadikan hiburan sebagai batu loncatan untuk mewujudkan jaringan perniagaan. Kehadiran AE tidak memeningkan saya lagi,” katanya yang bergelar Pengarah Urusan kepada Dzed Resources Sdn Bhd, Drift Event Management, DMB Kembara Sdn Bhd dan Bintang Dahlia Sdn Bhd.
Baru saja selesai penggambaran filem Niyang Rapik The Movie dan Cinta Merah Stilleto, pelakon yang sedang menyudahkan penggambaran drama ADAM musim kelima dan menjalani latihan pementasan teater muzikal Impak Maksima di Singapura Oktober ini juga jarang dilihat muncul di media bercetak.
Katanya, bukan kerana jual mahal menolak publisiti, sebaliknya kesibukannya membataskan kemunculannya di majalah mahupun surat khabar. Dia juga senang bersikap ‘low profile’. Satu lagi tabiat yang sukar dikikisnya ialah cerewet dalam soal mencari teman.
| AINUL yakin kemampuan Aquila Emas menguruskan kerjaya seninya. |
Sambil berseloroh ingin mencari kekasih di laman sosial Facebook, Zed yang pernah digosipkan bercinta dengan beberapa wanita termasuk Hetty Sarlene, masih mengakui dirinya belum bertemu pengganti.
“Saya bukannya memilih cuma nak mencari calon isteri yang serasi bukanlah semudah disangka. Dengan usia saya yang hampir mencecah 30, saya akui memang cukup cerewet dalam soal mencari teman hidup. Saya juga tak meletakkan jangkaan umur untuk menamatkan zaman bujang.
“Saya pun tak kisah kalau bakal kekasih saya nanti orang biasa, artis, wartawan atau anak raja sekalipun. Kadang-kadang bercinta lama pun kalau tak ada jodoh, tak ke mana juga. Paling lama saya bercinta sekali selama 10 tahun. Yang lain itu setakat kawan-kawan, masih dalam peringkat ujian,” katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur saja.
Cari ruang bergelar penyanyi
SEMENTARA itu, Ainul Aishah, 24, juga memilih langkah yang sama seperti Zed Zaidi sejak Mei lalu untuk bersama AE. Baru tiga tahun di dalam arena seni, dia yang mesra disapa Ain pernah berada di bawah naungan Line Clear milik Prof A Razak Mohaideen dan bergerak sendiri.
Bagaimanapun katanya, tindakan menyertai AE dilihat berbaloi. Malahan, selepas menjadi pelakon, dia juga ingin meneruskan cita-citanya sebagai penyanyi. Saat ini, sudah ada lagu yang diciptanya sendiri tetapi memerlukan susunan pemuzik yang profesional.
“Alhamdulillah, sejak bersama AE, Ain mula melihat peningkatan yang positif terhadap tawaran berlakon. Ketika ini, Ain sudah selesai menjalani penggambaran blok pertama, 22 episod drama Cinta Balqis arahan Haikal Hanafiah bagi slot Akasia TV3. Dua puluh dua episod seterusnya akan disambung tak lama lagi.
“AE bijak menjaga penjenamaan seseorang artis. Ain suka bekerjasama dengan AE. Selepas ini, Ain nak buktikan kepada masyarakat mengenai dunia nyanyian pula. Mungkin juga Ain akan muncul dengan lagu single dan bergerak secara indie. Lagu pilihan Ain lebih terarah kepada genre pop dengan moderate rock,” katanya yang akan muncul dengan telefilem Zoey & Joey dan menyambung penggambaran drama 68 episod, Senja Rampai mengisi slot Astro Prima.
Mengalih sisi peribadi, model berkulit hitam manis ini juga tidak terlepas ditanya mengenai perihal cinta. Pernah digosipkan dengan Fizo Omar, Ainul juga dikatakan berpisah dengan Ojoe yang menganggotai band indie, Couple. Tidak seperti Zed, Ainul kini sedang dalam mood ingin bercinta.
“Kami baru kenal, baru sebulan. Ini baru permulaan. Kami mula kenal ketika Ain terbabit penggambaran dalam sebuah drama yang menggunakan pejabat milik bapanya. Kebetulan dia turut bekerja di situ. Dia bukan artis dan biarpun usianya lebih muda daripada Ain, dia sebenarnya sangat matang,” katanya yang akan beraya di Butterworth, Pulau Pinang.
Zed dan Ainul ditemui Hip ketika majlis berbuka puasa anjuran AE dan Celeb Nexus bersama rakan media dan korporat. Malah, majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam baru-baru ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 40 anak yatim dari Kampung Melayu Subang. Selain pemberian duit raya, mereka turut dibelikan baju raya sepasang seorang di SACC Mall.
Artis naungan AE turut membuat persembahan menyanyikan seleksi beberapa buah lagu termasuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang diraikan pada 31 Ogos lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: