![]() SHADAN (kanan) bersama keluarga Suraya selepas majlis pertunangan, baru-baru ini. |
Pengarah, Shadan Hashim bertunang dengan anak pengarah kontroversi, dijangka nikah awal tahun depan
GARA-gara panggilan 'uncle', pengarah Shadan Hashim, 34, dan puteri sulung produser kontroversi, Raja Azmi, Puteri Suraya Mohd Jalani, 24, tidak berani meluahkan perasaan yang terpendam dalam jiwa masing-masing berikutan bimbang tidak mendapat restu keluarga Suraya.
Oleh kerana sudah mengenali satu sama lain lebih 13 tahun, apatah lagi Shadan pernah menetap di rumah Raja Azmi selama tujuh tahun iaitu ketika Suraya masih lagi di bangku sekolah, menyebabkan mereka berasakan hubungan yang lebih terarah seperti bapa saudara dan anak saudara itu tidak mungkin berakhir ke jenjang pelamin.
Sebagai ibu pula, Raja Azmi dapat merasakan perubahan antara Shadan dengan Suraya lebih-lebih lagi sejak anak daranya itu bekerja di syarikat miliknya Jas Sdn Bhd. Perbezaan mereka amat ketara sejak awal tahun ini. Jika sebelum ini, Suraya jarang duduk bersama apabila Shadan berkunjung ke rumah mereka tetapi sejak akhir-akhir ini, dia mendapati Suraya rajin menemani Shadan biarpun sehingga lewat malam.
Melihat keintiman mereka, Raja Azmi membuka mulut bertanya kepada Shadan perasaannya kepada anak daranya dan dia turut bertanya soalan sama kepada Suraya mengenai perasaannya terhadap Shadan. Kedua-duanya tersipu malu apabila ditanya dan ia menguatkan telahan Raja Azmi selama ini.
Apabila melihat Raja Azmi bagaikan memberi respon yang baik, barulah Shadan dan Suraya berani meluahkan rasa cinta antara satu sama lain dan lebih berani berterus terang mengenai hubungan mereka.
“Mungkin salah satu sebab kenapa saya tak berani luahkan perasaan kepada Suraya kerana gelaran ‘uncle’ itu. Disebabkan gelaran itu, saya rasakan seperti ada jurang yang menghalang saya untuk menyatakan isi hati kepada Suraya.
“Lagipun sebelum ini saya pernah menetap di rumah keluarga Raja Azmi selama tujuh tahun, jadi saya sudah menganggap mereka sekeluarga seperti keluarga saya sendiri. Perkara itu yang menyebabkan saya menjadi bertambah janggal lagi tapi sejak Suraya bekerja di bawah satu bumbung dengan saya kira-kira dua tahun lalu, hubungan kami jadi bertambah akrab.
“Selama ini memang tak wujud langsung isu cinta tapi saya akui dalam hati menyimpan perasaan pada dia. Saya tertarik dengannya kerana kesederhanaan serta sikapnya yang lemah lembut, jadi apabila Kak Mi memberi lampu hijau barulah saya berani menyatakan perasaan sebenar kepada Suraya,” kata Shadan.
Pasangan yang semakin intim sejak tiga bulan lalu mengikat tali pertunangan selama lima bulan. Mereka dijangka melangsungkan perkahwinan pada 20 Februari mengikut tarikh yang ditetapkan keluarga sebelah pihak perempuan. Majlis selama tiga hari itu nanti akan diadakan di kediaman Suraya di Ukay Perdana yang bakal berkonsepkan ala Inggeris. Pada majlis pertunangan yang berlangsung sebelum majlis berbuka puasa itu, pihak lelaki menyerahkan sebanyak lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Suraya yang bertugas sebagai pengarang komik Anak Anak Sidek pula berkata, jika ibunya tidak memulakan segala-galanya mungkin sehingga ke hari ini dia masih lagi memendam perasaan terhadap Shadan.
“Su mengaku memang suka pada dia tetapi tak yakin hubungan ini boleh pergi jauh kerana Su memanggilnya ‘uncle’. Tapi mama yang memulakan segala-galanya, jika tidak kerana mama hubungan kami tidak berakhir begini.
“Shadan buat Su rasa matang, dia melihat dan hormat pada Su sebagai seorang wanita. Dia sentiasa buat Su selesa apabila berada di sampingnya. Kebetulan juga Su tidak mempunyai teman istimewa sejak tiga tahun lalu dan dengan sikap Shadan yang menyenangkan, Su rasa dia adalah pilihan yang tepat buat Su.
“Su tak rasa hubungan ini terlalu cepat atau terlalu muda untuk tamatkan zaman bujang. Lagipun mama sendiri menamatkan zaman bujangnya pada usia 21 tahun. Bagi Su umur 25 tahun adalah waktu sesuai untuk mendirikan rumah tangga kerana memang dari dulu Su nak tamatkan zaman solo pada usia itu. Jadi nampaknya hasrat itu dimakbulkan,” katanya.
Raja Azmi yang kelihatan cukup teruja menyambut menantu memilih mengadakan majlis pertunangan anaknya pada bulan Ramadan bagi mengambil keberkatan bulan ini. Selain itu, dia juga mahu mengambil keistimewaan tarikh 9.9.09.
Oleh kerana terlalu seronok kerana bakal menyambut menantu tidak lama lagi, semua persediaan majlis pertunangan adalah idea Raja Azmi sendiri termasuk cincin pertunangan dari jenama Boutherone juga dipilih Raja Azmi kerana mengetahui anak sulungnya itu pernah menyatakan minatnya pada rekaan cincin berkenaan tiga tahun lalu.
“Saya sukakan Shadan kerana dia tak kaki perempuan dan dia juga seorang yang beriman. Ramai pelakon yang suka kepadanya tetapi ternyata dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas mereka.
“Disebabkan saya sudah mengenali hati budinya dan melihatkan juga seperti ada sesuatu antara dia dan Suraya, saya sengaja bertanyakan adakah mereka mempunyai perasaan antara satu sama lain. Lagipun saya lihat sudah tiga tahun Suraya tidak mempunyai teman istimewa dan kebetulan Shadan pula budak yang baik, jadi saya rasa tidak salah mereka disatukan,” katanya.
Antara tetamu yang menghadiri majlis pertunangan itu ialah U-Wei, Zaiton Mohamad Jiwa, Kartina Ayob, Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramlie.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: