Tuesday, September 15, 2009

Tak menang tangan layan pembaca Cosmopolitan


FARA dan Irma sempat mengabadikan kenangan bersama pembaca majalah Cosmopolitan.

RAMAH mulutnya bersembang dengan tetamu yang hadir petang itu. Seperti mana lincahnya dia melayan pemanggil sewaktu bertugas di konti, begitulah juga sifat peribadi penyampai radio, pelakon dan pengacara Melodi, Fara Fauzana sewaktu diundang untuk menjayakan majlis berbuka puasa bersama pembaca setia majalah Cosmopolitan yang diadakan di Restoran Tarbush, Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Tampil mengenakan jubah rekaan Cosry, Fara kelihatan tak menang tangan apabila ramai peminat tak henti-henti ingin merakamkan gambar kenangan bersamanya. Begitulah baiknya Fara melayan peminat. Walau penat macam mana pun, kehendak peminat tidak pernah dia abaikan. Mungkin sikapnya yang mudah mesra itu membuatkan gelaran penyampai radio wanita popular terus menjadi miliknya.

Puas melayan peminat, dia berehat seketika. Kesempatan itu digunakan untuk bersembang dengan personaliti yang diakui cukup laris ketika ini. Dan kedatangan Ramadan kali ini memberikan perasaan yang cukup berbeza buat Fara. Maklum sajalah, filem lakonannya, Jin Notti akan ditayangkan kepada umum, 1 Syawal nanti. Sebagai pelakon yang memegang watak utama, sudah pasti debaran menantikan sambutan penonton itulah yang bermain-main di fikirannya saat ini.

“Memang perasaan ini berdebar sangat sebab inilah kali pertama Fara muncul dalam filem dengan memegang watak utama. Bimbang juga memikirkan bagaimanakah penerimaan peminat terhadap watak Jin yang Fara bawakan ini.

“Masa pratonton tempoh hari, Fara duduk sebaris dengan semua ahli keluarga Fara termasuk sepupu. Macam-macam komen selari yang Fara dengar dari mereka. Malah mereka juga ketawakan Fara atas apa yang berlaku sewaktu rakaman itu. Skrin panggung tu kan besar, jadi setiap pergerakan Fara memang jelas pada pemandangan mereka. Jadi kalau ada apa yang tak kena atau Farah buat silap, memang dia orang akan nampak.

‘Pun begitu, Fara tak kisah kerana kritikan itulah Farah belajar memperbaiki kesilapan yang ada. Cuma apa yang membuat Fara gembira apabila kebanyakan penonton yang hadir pada majlis pratonton filem ini rata-rata mereka begitu menyukai watak Yvonne, watak kekasih kepada ketua kumpulan kongsi gelap yang memerlukannya memakai rambut palsu warna merah.

“Mereka menyukai watak itu kerana mereka lihat watak perwatakan Fara dalam kebanyakan drama atau telefilem sebelum ini, memang lain dari yang lain. Kalau ada yang perasan, dalam drama bersiri Fara dan juga gadis Cuci, watak yang dibawakan Fara tak banyak beza. Semuanya memaparkan Fara agak gila-gila,” ujar Penyampai Radio dan Pengacara TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama dua tahun berturut-turut.

Selepas membintangi Jin Notti, Fara berkata buat masa ini dia ingin menghentikan seketika aktiviti lakonannya. Bukan kerana serik, tetapi selain jadualnya yang semakin padat, dia juga mahu penonton menilai terlebih dulu lakonannya dalam filem yang diterbitkan oleh KRU Studios.

“Saya tak mahulah nanti dikata orang main terima saja tawaran berlakon tapi lakonan entah apa-apa. Biar saya tengok dulu reaksi peminat, kemudian barulah saya fikirkan soal tawaran yang lain. Pun begitu, saya ada juga berlakon dalam filem Andartu Terlampau yang diterbitkan pelakon Haliza Misbun. Tapi watak yang saya pegang tu taklah besar sangat. Saya jadi setiausaha kepada Ari Wibowo. Saya terima pun sebab Kak Liza memang kawan saya,” cerita Fara sambil memberitahu yang dia pernah berlakon di bawah produksi drama terbitan Haliza sedekad lalu.

Beraya di konti

SEPANJANG Ramadan ini, selain terbabit dengan rakaman program raya, Fara juga ada projek khas yang dijalankannya dengan artis lain. Dia menjual biskut di bazar Ramadan di Plaza Damas dan biskut yang dijual itu nanti adalah resipi turun-temurun keluarganya.

“Memang sebelum ini keluarga Fara ambil tempahan kuih raya tapi hanya untuk kawan-kawan rapat saja. Jadi apabila pengurus Ziana Zain, Lisa Aryanty bertanyakan sama ada saya ingin mengambil bahagian untuk terbabit dalam aktiviti jualan sempena menjelang hari raya ini, saya pun bersetuju. Untuk bazar itu, saya menjual kuih berjenama Fafau. Sebenarnya nama Fafau itu pun ada cerita tersendiri. Selain diambil sempena nama saya Fara Fauzana, ia juga bermaksud Faridah dan Fauziah, iaitu nama gabungan emak saya dan emak saudara saya.

“Biskut ini dibungkus cantik-cantik. Pada sesiapa yang ingin berjumpa dengan saya, bolehlah datang ke Plaza Damas. Bagaimanapun, jangan risau, kuih ini ada jaminan pulangan wang kalau rasanya tidak menepati cita rasa pembeli. Sebab itu, orang yang hendak beli biskut ini, saya tak bagi sample. Kalau tak sedap, memang wang akan dipulangkan tetapi setakat ini, semua pelanggan kami puas hati,” cerita Fara lagi.

Sementara itu, untuk Syawal kali ini, Fara akan meraikannya di konti, namun gadis berusia 29 tahun ini berkata, situasi itu bagai alah bisa tegal biasa buatnya. Malah, sejak dia bertugas sebagai penyampai radio, peluangnya untuk bersama keluarga agak terhad. Bagaimanapun, perkara itu tidak pernah menjadi satu masalah baginya.

“Keluarga saya tinggal di Shah Alam dan lagipun, saya bertugas pagi saja. Petang saya sudah boleh beraya bersama keluarga saya yang lain. Lagipun semua saudara mara saya sudah biasa dengan situasi ini dan mereka pun kalau hendak datang beraya, mereka akan datang di sebelah petang,” ujar Fara yang akan bertugas keseorangan kerana pasangannya Faizal Ismail, akan bercuti.

Pada majlis berbuka itu, selain Fara yang kebetulan menjadi penghias muka depan untuk edisi Ogos majalah itu, selebriti lain yang turut diundang menyerikan majlis adalah penyanyi dan pelakon Liyana Jasmay dan pelakon Irma Hasmie. Hadir sama, Editor Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim. Selain beramah mesra dengan 40 pembaca terpilih, Cosmpolitan dan selebriti terbabit turut memberi sumbangan kepada penghuni Kem Modal Insan Kewaja yang diwakili Yahya Mohamed Yusof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: