Tuesday, September 15, 2009

Mahu Mufors berterusan



DARI kiri; Imran, Dennis, Engku Emran, Dayang Nurfaizah, Mamat dan Kid Chan pada program ikrar 'Malaysia Unite for Road Safety (Mufors): 090909', baru-baru ini.

Selebriti harap kempen bukan hanya 'hangat-hangat tahi ayam'

PROGRAM ikrar Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya (Mufors) yang boleh dibuat di laman web www.090909.org.my, dilancarkan baru-baru ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abdul Mansor, diharap menjadi satu usaha berterusan demi memupuk kesedaran rakyat mengenai keselamatan lalu lintas.

Beberapa selebriti yang hadir menyaksikan pelancarannya di Restoran Jejantas Sungai Buluh berharap kempen seperti ini dilakukan lebih kerap lagi dan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam supaya dapat memberi kesedaran berterusan kepada pengguna lebuh raya.

Walaupun peranan dimainkan tidak sebesar mana, namun selebriti yang terbabit percaya sedikit sebanyak pembabitan mereka dapat mempengaruhi peminat untuk mengambil tahu mengenai kempen dianjurkan Plus Expressway Berhad.

Antara selebriti yang memeriahkan majlis pelancaran Mufors ialah Mamat Khalid, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Imran Ajmain; pemain biola, Dennis Lau; jurufoto selebriti, Kid Chan dan pelumba kereta, Alex Yoong.

Dayang Nurfaizah berkata, masyarakat sepatutnya sudah tidak perlu lagi diingatkan mengenai keselamatan di jalan raya tetapi sudah menjadi lumrah mereka mudah terlupa hingga perlu diingatkan setiap masa.

“Sepatutnya pengguna lebuh raya sudah boleh berfikir dengan sendiri apa yang sepatutnya mereka lakukan ketika menggunakan lebuh raya. Bukan sekali dua kempen keselamatan jalan raya seperti ini diadakan, sebaliknya sudah acap kali tetapi masyarakat masih lagi alpa. Mereka cepat lupa sehingga terpaksa diingatkan berkali-kali mengenai keselamatan diri, mereka hanya akan sedar setelah diingatkan berkali-kali,” kata Dayang.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran pula, inisiatif Plus menganjurkan kempen seperti ini adalah satu usaha yang cukup baik. Namun, sayangnya banyak kempen serupa yang diadakan ternyata masih gagal mempengaruhi mentaliti pengguna jalan raya. Justeru, Emran berasakan kempen ini wajar dianjurkan lebih kerap tidak hanya pada musim perayaan saja.

“Kita lihat banyak kempen serupa diadakan, inisiatif ini memang bagus tetapi malangnya ia tidak sampai kepada lapisan masyarakat. Kempen sebegini harus diadakan sepanjang masa, tidak hanya pada musim tertentu kerana pengguna jalan raya kita mudah lupa dan sering kali kembali kepada tabiat lama seperti berSMS ketika memandu, tidak memberi isyarat kenderaan serta tidak memakai tali pinggang keledar.

“Pembabitan artis dan selebriti pula di dalam kempen seperti ini hanyalah sekadar memberi sedikit kesedaran kepada pengguna. Bagaimanapun sampai ke satu tahap, artis tidak lagi mempunyai kawalan dan ia bergantung kepada sikap pemandu itu sendiri. Pembabitan artis sering kali hanya sebagai penyeri kepada sesebuah kempen, sementara kesedaran itu pula terletak pada individu itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, pemain biola, Dennis Lau pula mempunyai pendapat sendiri bagaimana untuk menyedarkan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya. Katanya, bagi menyuntik kesedaran mengenai keselamatan lalu lintas, ia harus dimulakan dari bangku sekolah.

Kanak-kanak sekolah kata Dennis lebih muda dipengaruhi, justeru mesej mengenai keselamatan jalan raya lebih mudah sampai kepada mereka dan secara tidak langsung juga mereka boleh memberi peringatan kepada ibu bapa.

“Kempen Mufors ini mudah diingati kerana dilancarkan pada satu tarikh yang istimewa iaitu 9.9.9. Bagi saya, untuk memastikan kempen seperti ini berjaya, ia perlu diterapkan dikalangan pelajar sekolah. Apabila mereka mengetahui sedikit sebanyak mengenai peraturan jalan raya, secara tidak langsung mereka boleh mengingatkan ibu bapa atau pun pemandu bas sekolah jika mereka memandu dengan cuai. Selain di sekolah-sekolah, mungkin kempen lalu lintas juga boleh diadakan di pusat membeli belah kerana tempat seperti ini sering menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Pengarah terkenal, Mamat Khalid pula yakin Mufors akan berjaya menyedarkan pengguna lebuh raya kerana pembabitan dari semua golongan masyarakat iaitu profesional, artis dan juga orang awam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: