![]() |
| |
WALAUPUN filem lakonan terbarunya, Kaminey mencatat kejayaan membanggakan, namun pelakon tampan, Shahid Kapoor enggan terus berpuas hati dengan pencapaian yang diraih itu.
Apatah lagi masih dalam dunia seni membuatkan Shahid terus menanamkan azam untuk bekerja keras demi memperlihatkan bakat lakonan yang dimiliki.
"Saya gembira disebabkan Kaminey berhasil melonjakkan bakat kerjaya lakonan saya. Saya selalu memastikan diri sentiasa melakukan yang terbaik jika melibatkan diri dalam apa juga projek.
"Tidak ketinggalan, saya meletakkan sasaran tertentu apabila berlakon dalam sebuah filem, kerana ia dapat menjadi motivasi kepada diri.
"Saya kena terus membuktikan diri sebagai pelakon yang hebat dan versatil. Dalam beberapa minggu lagi filem baru saya, Dil Bole Hadippa bakal keluar pula di pawagam.
"Memang menakutkan untuk melihat bagaimana sambutannya nanti terutama mendengar kritikan daripada pihak media dan masyarakat," jelas Shahid.
Bercakap tentang dirinya yang disenaraikan sebagai antara pelakon pelapis yang mampu menyaingi Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Hitrik Roshan dan Saif Ali Khan, Shahid bagaimanapun sekadar berterima kasih dengan pujian yang dianggap cukup berat untuk diterima itu.
Shahid menjelaskan: "Semua orang bercakap tentang perkara sama. Kononnya saya sudah berdiri sama tinggi dengan pelakon-pelakon senior lain walaupun masih mentah dalam bidang ini.
"Lantaran itu, saya selalu mengingatkan diri agar tidak pernah bersikap lupa diri lebih-lebih lagi baru enam tahun saya menceburkan diri dalam bidang lakonan.
"Sudah tentu saya teruja apabila dicanangkan sebagai antara pelakon yang bakal menjadi pelapis selepas ini.
"Cuma untuk seseorang yang berusia 28 tahun saya merasakan perkara itu sebagai satu rezeki selain bertuah apabila rezeki lekas menyebelahi diri."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: