Tuesday, September 15, 2009

20 penduduk miskin maut


BEBERAPA anggota sukarelawan mengusung mayat mangsa rempuhan di Karachi semalam.


KARACHI - Sebanyak 20 wanita dan kanak-kanak maut dipijak dalam tragedi rempuhan yang berlaku di sebuah tangga dan lorong apabila petugas-petugas kebajikan mengagihkan tepung percuma di Pakistan semalam, kata beberapa pegawai.

Puluhan wanita dan kanak-kanak daripada keluarga miskin berasak-asak di tingkat pertama pejabat sebuah badan kebajikan di kawasan perumahan Taman Khori di sini menjelang tengah hari.

Tragedi itu berlaku empat hari selepas insiden rempuhan yang membunuh lima kanak-kanak perempuan di sebuah sekolah awam di New Delhi, ibu kota India yang berjiran dengan Pakistan.

"Setakat ini kami menerima jenazah 20 wanita dan budak perempuan manakala lebih 30 yang lain cedera," kata seorang pegawai di Hospital Awam Karachi, Amin Khan.

Ketua Polis Karachi, Wasim Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 18 wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam rempuhan itu.

"Kematian berpunca akibat kelemasan dan rempuhan di kawasan penduduk paling ramai di Taman Khori di mana sebuah badan kebajikan mengagihkan tepung gandum percuma kepada ratusan wanita dan kanak-kanak pada bulan Ramadan," tambahnya.

Polis dan saksi berkata, sekumpulan pengawal keselamatan swasta yang diupah bagi memastikan wanita-wanita itu beratur bertindak memukul mereka dengan cota apabila mereka hilang sabar kerana terpaksa menanti terlalu lama.

"Wanita-wanita itu panik dan cuba menyelamatkan diri tetapi perbuatan tersebut menyebabkan rempuhan itu berlaku," kata seorang pegawai polis tempatan, Haashmat Ali.

Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani mengarahkan insiden itu disiasat segera manakala mereka yang cedera diberikan rawatan di hospital.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: