![]() |
| AKSI Sheila Majid sewaktu menyampaikan lagu Ku Mohon menerusi program 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan. |
LEBIH dua dekad mendamba diri menjadi anak seni, penghibur tersohor ini sememangnya begitu menjaga nilai eksklusifnya sebagai seorang artis. Memang jarang sekali untuk menonton persembahannya di kaca televisyen melainkan ada program khas yang membabitkan dirinya.
Itulah Datuk Sheila Majid, seorang figura unggul yang bijak merencana seninya agar peminat mahupun masyarakat tidak akan cepat berasa bosan melihat kelibatnya.
Begitu juga penampilannya untuk mana-mana program televisyen sempena Syawal yang amat jarang sekali memperlihatkan kelibatnya.
Namun apabila pihak Astro menawarkan peluang untuknya beraksi dalam program 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan, dia terus menyatakan persetujuannya.
Jelas Sheila, dia mempunyai alasan tersendiri apabila melibatkan diri dalam program yang akan disiarkan di Astro Oasis (saluran 106, Astro) pada hari raya pertama pukul 1.30 petang.
Pendekatan serta pengisiannya yang lebih ke arah hiburan Islamik menyebabkan Sheila tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran Astro.
Apatah lagi selepas pulang dari menunaikan haji awal tahun ini, Sheila mengakui, dia banyak mengisi masanya dengan membaca dan menonton program berunsurkan dakwah dan Islamik.
Kata Sheila, agak jarang program hiburan yang berlandaskan dakwah hiburan yang sarat dengan zikir, tazkirah serta lagu-lagu berunsurkan ketuhanan dan kerohanian.
"Tidak salah untuk saya mencuba sesuatu yang baru dan saya memuji pihak Astro kerana berani menampilkan sesuatu yang berbeza sempena bulan Syawal.
"Kalau kita perhatikan, kebanyakan program yang diterbitkan sempena Syawal semuanya lebih kepada hiburan yang sudah acap kali dipertontonkan.
"Untuk itu, saya fikir sesekali apa salahnya kalau stesen televisyen menerbitkan program hiburan seperti ini yang membawa kita merenung dan menghayati maksud sebenar Syawal itu sendiri," kata Sheila panjang lebar.
Penyanyi lagu Legenda dan Pengemis Muda itu ditemui sewaktu rakaman program 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Untuk program tersebut, Sheila menyampaikan lagu Ku Mohon ciptaan Mac Chew manakala lirik merupakan nukilannya sendiri.
Mungkin ramai yang akan mengerutkan dahi apabila memikirkan rasional lagu Ku Mohon dipilih.
"Lagu itu mempunyai maksud yang mendalam dan saya pasti kita semua pernah berdepan dengan kesulitan dan kepayahan dalam meniti kehidupan kita.
"Jadi, hanya kepada-Nya sahaja tempat kita mengadu untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di dalam hati dan pastinya Dia akan membantu hamba-Nya.
"Disebabkan itu, lagu Ku Mohon dipilih dan lagipun, itulah satu-satunya lagu berunsurkan ketuhanan dan kerohanian yang saya ada," katanya tersenyum manis.
Selain Sheila, program tersebut turut menampilkan nama-nama besar industri lain seperti Mawi, Ramli Sarip, kumpulan Rabbani, Akhbar, Akhil Hayy dan bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh, Qhaud.
Bukan itu sahaja, 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan turut menampilkan tokoh agama dan motivasi terkenal seperti Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Ustaz Dini dan Ustaz Dzulkarnanin.
Gabungan artis dan pendakwah ini dilihat sebagai satu kelainan untuk sebuah program sempena Syawal dan seharusnya, ia tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.
Tidak hanya menampilkan nyanyian semata-mata tetapi ia juga turut diselang-seli dengan bacaan zikir, tazkirah dan monolog.
Sementara itu, penerbit eksekutifnya, Norazian Mohd. Zahir menjelaskan, konsep dan perjalanan program tersebut amat sesuai dengan pengisian kandungan Astro Oasis.
Bukan itu sahaja, keseluruhan program berkenaan juga mempunyai jalan ceritanya sendiri menerusi lagu-lagu dan tazkirah yang disampaikan.
Apa yang membanggakan, program ini juga merupakan kali pertama saluran itu menerbitkan program berbentuk hiburan.
"Sebelum ini Astro Oasis banyak menerbitkan program bual bicara tetapi untuk kali ini, kami menampilkan kelainan dengan menerbitkan program hiburan Islamik seperti ini.
"Insya-Allah, seandainya penerimaan terhadap program ini mendapat sambutan yang baik, kami tidak teragak-agak untuk menjadikannya sebagai satu siri," jelasnya.
Malah, dia juga tidak menafikan konsep idea 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan sedikit sebanyak diambil daripada rancangan Kalam Suci yang juga disiarkan di Astro Oasis.
1001 Inspirasi Raikan Kemenangan juga menyaksikan kemunculan terakhir Allahyarham Asri Ibrahim sebelum meninggal dunia pada 13 Ogos lalu.
Pastinya, lagu Subhanallah yang disampaikan pejuang nasyid itu bersama kumpulannya akan menggamit hati dan perasaan penonton kelak.
Lagu-lagu lain yang disampaikan ialah Manusia Lupa oleh Akhbar, Allah Habeebi (Mawi), Sesungguhnya (Akhil Hayy) dan Bahasa Terindah (Ramli Sarip).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: