Wednesday, September 16, 2009

Memey dan Jasmin tidak mengalah diiulit kontroversi


Memey (kiri) dan Jasmin (kanan) tabah dilanda kontroversi pada usia muda.


DUA gadis jelita ini semakin dikenali. Cantik, ramah berbicara dan sentiasa mengukir senyuman memudahkan kedua-dua personaliti ini menjadi tumpuan ramai.

Bezanya Memey Suhaiza Suhaimi atau Memey dikenali di bidang lakonan sementara Jasmin atau nama sebenarnya Sharifah Jasmin Soraya mula dikenali selepas menyertai rancangan Gadis Melayu musim kedua yang kini bersiaran di TV9.

Pada usia yang menjangkau 21 tahun seharusnya, laluan yang terbentang di hadapan mereka penuh warna-warni.

Namun, siapa sangka pada usia sebegini, kedua-duanya tegar berdepan kontroversi yang bukan calang-calang gelombangnya.

Mungkin itulah harga yang perlu dibayar oleh mereka apabila diri mula menjadi perhatian ramai. Segalanya mahu dilihat masyarakat sesempurna mungkin.

Jika Memey tidak pernah putus dikaitkan dengan pelakon Norman Hakim, Jasmin yang masih hijau di dunia glamor berdepan situasi sukar apabila gambar-gambarnya tersebar di internet dan mula mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Ketika di temui pada pelancaran Inspirasi Lebaran TV3 dan Riang Ria Raya TV9 baru-baru ini, kedua-duanya tenang menjawab pertanyaan berhubung kontroversi yang melanda.

Bagi Memey segala yang berlaku membuatkannya lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan sebagai seorang artis.

Biarpun rancak diperkatakan itu dan ini, kalau boleh dia tidak mahu kemeriahan dan detik-detik indah berkumpul bersama keluarga lebaran nanti dirosakkan dengan perasaan sedih yang menyelubungi dirinya.

"Raya adalah raya. Kalau boleh buangkanlah segala kontroversi kerana detik itu adalah detik untuk saya bergembira dan meraikan bersama keluarga.

"Saya tidak mahu letakkan kontroversi sebagai satu aras yang membezakan raya saya dahulu dengan sekarang. Walaupun mood raya saya sama sahaja seperti tahun-tahun lalu tetapi kali ini sedikit berbeza kerana orang lebih mengenali.

"Jika saya terlalu fikirkan sangat tentang kontroversi takut lain pula jadinya nanti," kata Memey yang bakal meraikan lebaran ini bersama keluarganya di Kota Tinggi, Johor selama seminggu.

Memey beraya di rumah Norman

Bertemu si jelita ini, tidak sah rasanya jika tidak menyentuh mengenai hubungannya dengan Norman.

"Saya akui sekarang saya memang rapat dengan Norman tetapi berkaitan kahwin, bukanlah dalam masa terdekat ini. Kerjaya saya baru saja bermula dan kalau boleh saya mahu orang ramai menilai saya kerana bakat bukannya kontroversi.

"Biar saya fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Soal jodoh tolak ke tepi terlebih dahulu memandangkan usia saya masih muda. Saya perempuan, tidak elok rasanya jika saya bercerita lebih-lebih pasal jodoh. Apa yang boleh saya katakan, jika ada jodoh kami saya tidak menolak," katanya.

Sambil tersenyum manis, kata Memey dia turut merancang untuk bertandang kerumah keluarga Norman di Kuantan, Pahang pada minggu kedua Syawal.

Memey bakal muncul dalam drama 44 episod, Cinta Balkish menerusi slot Akasia di TV3 serta muncul dalam tele-filem Dunia Belum Kiamat yang disiarkan di Astro tidak lama lagi.

Gadis Melayu 'ubah' diri Jasmin

Dunia glamor dan kontroversi begitu asing bagi dirinya. Menjadi salah seorang peserta rancangan Gadis Melayu sedikit sebanyak menuntut kesabaran yang bukan kecil daripadanya.

Tersebarnya gambar-gambar yang memaparkan kehidupan sosialnya ketika berusia 18 tahun menjadi tamparan hebat buat dirinya.

Namun, si jelita ini akur andai itu bahagian yang perlu digalasnya sepanjang bergelar peserta rancangan itu.

"Saya bersyukur kerana dalam Gadis Melayu saya mempunyai ramai kawan dan tenaga pengajar. Syukur kerana inilah platform terbaik untuk saya melalui fasa perubahan.

"Apabila timbul kontroversi sebegini kawan-kawan banyak beri saya sokongan dan nasihat. Malah, dalam Gadis Melayu sendiri saya dan kawan-kawan diberi motivasi dan tazkirah setiap hari.

"Yang dah berlalu biarlah berlalu. Sekarang saya hanya ingin pandang ke depan," katanya.

Ingin membuka lembaran baru dalam hidup mohon Jasmin, jangan dirinya diadili hanya kerana gambar yang tersebar.

"Apa yang saya mahukan sekarang ialah buktikan kepada masyarakat bahawa Jasmin sekarang sudah banyak berubah.

Jika sebelum ini saya mungkin seorang yang pentingkan diri tetapi sekarang saya lebih menghargai orang-orang di sekeliling.

"Dahulu memang saya akui jenis yang suka berparti tetapi sekarang saya bukan lagi orang yang sebegitu. Saya juga pernah terfikir, sampai bila saya perlu jadi seperti itu.

"Sebab itulah saya sertai Gadis Melayu untuk mencari perubahan dalam diri," katanya yang bakal pulang berhari raya di Perlis selama seminggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: