![]() |
| AKRAB... Erra dan Umie bersahabat baik sejak tiga tahun lalu. |
DUA jelitawan ini begitu dikenali dalam bidang lakonan. Kedua-duanya cukup hebat dalam menghayati pelbagai watak yang dilakonkan. Ya, di pentas hiburan mereka adalah teman sesama artis.
Namun, bagi mereka hubungan tersebut tidak seharusnya terbatas hanya sekadar rakan artis semata-mata. Baik Erra Fazira mahupun Umie Aida, masing-masing mengakui, mereka kini begitu akrab sebagai sahabat.
Akrabnya mereka bukan hanya berkongsi rahsia antara satu sama lain tetapi juga saling menasihati jika masing-masing di belenggu sebarang kesukaran.
Melihat telatah kedua-dua bintang kesayangan ramai ini yang hadir memenuhi undangan stesen radio Suria FM di gerai minuman Juz Jumbo di bazar Ramadan, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur membuktikan keakraban mereka.
Rancak membantu jualan pelbagai jus buah-buahan di gerai tersebut deraian tawa dan senyuman tidak lekang dari bibir mereka sementelah melayan pelbagai kerenah peminat.
Hanya selepas lebih sejam dikerumuni peminat, Erra dan Umie 'dilepaskan' dan sedia ditemu bual.
Diajak berbicara tentang hubungan baik mereka, Umie terlebih dahulu memberitahu, hubungan baik mereka berlarutan sejak tiga tahun lalu.
"Kami saling memberi nasihat dan saling berkongsi pendapat," ringkas jawapan yang lahir dari bibir pemilik wajah ayu yang baru dirisik orang itu.
Bagi Erra pula, Umie merupakan seniornya di bidang lakonan yang cukup dihormati olehnya sehingga kini.
"Sebenarnya, kami bukanlah baru kenal. Kami sebenarnya sudah saling mengenali sejak zaman persekolahan lagi.
"Cuma mungkin ketika itu kami tidak berkesempatan untuk saling bertegur sapa," kata Erra yang turut mendedahkan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur bersama Umie.
Erra nasihat Umie kahwin cepat
Berbicara mengenai Umie, berkali-kali bekas ratu cantik negara itu melahirkan rasa tidak percayanya bahawa sahabat baiknya itu bakal menamatkan zaman solo tidak lama lagi.
Malah, kata Umie, tatkala dia menyatakan pada Erra bahawa dia bakal dirisik Jun lalu, berkali-kali sahabatnya itu menganggap ia hanya sebagai gurauan semata-mata.
"Makcik (panggilan sesama mereka), biar betul? Tak percayalah…, ujar Umie mengajuk reaksi Erra kala dimaklumkan dia sudah dirisik seseorang.
Sambil mengurut rambut mengurai milik Umie, spontan kata Erra: "Dah nak kahwin rupanya kawan aku. Seingat saya, dia pernah cakap tidak mahu berkahwin sampai bila-bila. Bagaimanapun, tiba-tiba dia dirisik.
"Saya nasihat dia supaya kahwin cepat, tak elok bercinta lama-lama," kata Erra sambil tersenyum manis memandang sahabatnya itu.
Umie yang tersenyum mendengar usikan Erra mengakui, perkenalan dengan kekasihnya yang bergelar Datuk itu menemui jalan sukar pada peringkat awalnya.
"Sehingga kini kami telah lima bulan saling mengenali. Dua bulan yang pertama saya memang terasa sukar untuk menerima kerana saya jenis yang susah untuk menyukai atau jatuh cinta dengan seseorang.
"Entah bagaimana, makin lama perkenalan itu memperlihatkan keikhlasannya. Sebab itu saya cuba untuk berkawan terlebih dahulu.
"Alhamdulillah, akhirnya timbul juga rasa suka terhadap dirinya dan anak-anak kami kini masing-masing 'kamcing' antara satu sama lain," kata Umie sambil mendedahkan bakal berhari raya di rumah bakal suaminya lebaran nanti.
Erra, Umie seronok jual minuman
Pada sesi jualan di gerai Juz Jumbo Suria FM itu, peminat yang hadir bukan semata-mata untuk membeli minuman tetapi turut mengambil kesempatan merakamkan detik tersebut sebagai kenangan.
Jelas, ketibaan dua jelitawan itu menggamit perhatian ramai untuk berkunjung ke gerai tersebut sambil memerhati dengan lebih dekat wajah-wajah idola kesayangan mereka.
Di samping menjual minuman, Erra dan Umie turut menjual biskut raya yang berharga RM22 setiap satu antaranya Tat Nanas dan Semprit serta pewangi One Drop Perfumes.
Puas dengan apa yang dilakukan, kegembiraan dan keseronokan jelas terpancar di wajah mereka.
Ketika berkongsi pengalaman berniaga, Erra dan Umie meluahkan rasa seronok kerana itulah kali pertama mereka 'berurus niaga' dengan peminat secara lebih dekat.
Umie yang sebelum ini berpengalaman membantu abangnya berniaga bagaimanapun dapat merasakan kelainan dengan menjual minuman di gerai tersebut apatah lagi peluang tersebut baginya tidak selalu datang kepadanya.
"Saya sudah lima tahun berniaga malah, sudah ada kafe sendiri. Bagaimanapun, penglibatan sebegini cukup menyeronokkan.
"Rasa sangat berbeza sebab maklumlah di pasar Ramadan orang yang hadir seperti semut dan berkerumun. Itu yang saya rasa seronok sebab orang mesti beli," katanya.
Bagi Erra pula, keterujaan lebih dirasai apabila dapat berjumpa secara dekat dengan orang ramai.
Juz Jumbo kutip jualan lebih RM10,000
Laku bak pisang goreng panas. Itulah yang boleh diperkatakan terhadap hasil usaha team Suria FM yang berhempas pulas memajukan jualan minuman Juz Jumbo mereka.
Membuka gerai seawal pukul 4 petang, hampir setiap detik gerai tersebut tidak henti dikunjungi pembeli.
Menawarkan pelbagai hadiah percuma termasuk kemeja-T, ternyata misi mereka berjaya apabila Ketua Pegawai Operasinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin mendedahkan memasuki minggu keempat jualan, jumlah kutipan melebihi RM10,000.
"Hari ini, ternyata hari yang paling laku mencecah lebih 350 cawan. Selalunya, hanya setakat 240 atau kurang.
"Ini salah satu aktiviti berbeza yang ingin saya dedahkan kepada kakitangan Suria FM sendiri sebab tahun-tahun yang sebelumnya aktiviti pada bulan Ramadan hanya tertumpu pada gotong-royong mahupun melawat kerumah anak-anak yatim.
"Ini satu pengalaman manis buat team Suria FM sendiri dan mereka akan menerima sagu hati daripada hasil jualan ini sebagai duit raya," katanya.
Hari ini (16 September) gerai Juz Jumbo bakal mengakhiri jualannya dan selebriti yang bakal hadir memeriahkan jualan ialah Ning Baizura.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: