Tuesday, September 15, 2009

Scha, Fahrin dan Awal Terajui Sehati Berdansa Musim 3

Desas desus siapa yang bakal menggantikan Linda Onn akhirnya terjawab apabila Scha Alyahya diumumkan sebagai pengacara wanita baru yang bakal bergandingan bersama Fahrin Ahmad dan Awal Ashaari dalam program Sehati Berdansa.

Program yang berjaya menjulang nama Vanida Imran dan Rashidi Ishak (musim pertama) dan Lisdawati dan Fauzi Nawawi (musim kedua) selaku juara bagi program realiti ini akan menampilkan kelainan pada musim ketiga dengan persembahan yang cukup mantap dan menghiburkan.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Khairul Mizan, " Pemilihan Scha bersandarkan kepada beberapa faktor. Beliau antara pelakon yang sangat top di Astro dan kami ingin membawakan kelainan dengan membawa Scha ke dunia pengacaraan. Linda telah melakukan tugas yang sangat hebat pada musim lepas namun kami perlukan pembaharuan untuk musim terbaru dan terjadilah kombinasi tiga gandingan hebat ini.

"Kami percaya kehadiran Scha dalam program ini mampu mencetuskan fenomena berikutan bakat cemerlang yang ada dalam diri beliau. Pengalaman Fahrin dan Awal mengacarakan program realiti tarian ini sebanyak dua musim dilihat sebagai pelengkap kepada kombinasi pemilihan pengacara pada musim kali ini. Kesimpulannya keseluruhan program ini berkisar tentang cinta dan gandingan Scha dan Fahrin menjadi pelengkap."

Musim ketiga bakal membawakan Celcom sebagai penaja utama berikutan Fahrin Ahmad adalah Ikon Prabayar Blue.

"Celcom amat berbangga diberi peluang bekerjasama dengan Astro selepas tajaan program Jangan Lupa Lirik musim pertama dan program Raja Lawak musim pertama. Ini membuktikan bahawa kami sentiasa memberi sokongan kepada industri hiburan tanah air.

"Kami sentiasa berusaha memenuhi kehendak pelanggan melalui penajaan program tempatan dan Sehati Berdansa memberikan satu peluang untuk terus menuju ke arah itu," ujar Pengurus Kanan Pemasaran Produk, Puan Umi Haina Abdul Rahman.

Pada pertemuan tersebut, Awal menyatakan rasa syukur dan teruja kerana dikekalkan sebagai barisan pengacara malah beliau diberi tugas yang lebih berat apabila bakal mengemudi segmen Debaran Sehati Berdansa.

"Jika dulu Awal tak terlibat langsung dengan aktiviti di studio, namun sekarang Awal akan dibawa ke studio bersama penonton. Bila dapat offer, tanpa ragu-ragu Awal terus block jadual untuk tiga bulan akan datang untuk memberikan sepenuh perhatian untuk Sehati Berdansa," ujar Awal ketika ditemui di Bijan Bar & Restaurant.

Selain memperkenalkan gandingan pengacara baru, Sehati Berdansa musim ketiga bakal membawa Farah Sulaiman, pengasas Sayang Academy of Dancing selaku perunding tarian dan persembahan mingguan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: