Saturday, September 19, 2009

Roniza tabah besarkan lima adik


RONIZA (tengah) bersama lima adiknya Norhidayah (dari kanan), Noramira, Roniza, Mohd. Taufik Izwan, Noramira dan Norshahira mencuba baju baru di Kampung Tedong, Serkam, Melaka semalam.


JASIN - Tujuh tahun lalu, ketika Roniza Noh berusia 15 tahun dia telah menerima dugaan paling besar dalam hidupnya apabila dia bersama kakaknya, Rohani, 23, terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada lima adik mereka selepas kematian ibu.

Nasibnya bertambah malang apabila bapa mereka, Noh Mal pula meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 2007 dan menjadikan mereka tujuh beradik yatim piatu.

Kini, Roniza, 22, terpaksa pula bertindak sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya apabila kakaknya, Rohani mendirikan rumah tangga kira-kira setahun lalu.

Setelah bapanya meninggal dunia, Roniza dan adik-beradiknya terpaksa menumpang kasih dengan ibu saudara, Pauziah Abd. Rahman, 31, di Kampung Tedong, Serkam di sini.

Kisah sedih tujuh beradik itu, Rohani, Roniza, Norazlina, 21, Noramira, 17, Norshahira, 13, Norhidayah, 10, dan Mohd. Taufik Izwan, 8, bermula setelah ibu mereka, Sharifah Abd. Rahman meninggal dunia akibat diserang kanser rahim pada 2002.

Roniza berkata, ketika ibunya meninggal dunia, Norhidayah dan Mohd. Taufik masing-masing hanya berusia dua dan setahun.

Menurutnya, walaupun menetap bersama neneknya ketika itu, tanggungjawab menjaga adik-adik yang masih kecil masih perlu dipikul dia dan kakaknya, Rohani memandangkan usia neneknya yang telah lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: