Saturday, September 19, 2009

Suka melaram sejak kecil




SUDAH pasti, khalayak umum hanya mengenali anak kedua dan keenam dari keluarga besar Che Wan Md. Arshad dan Zabedah Saad iaitu, Rozita dan Ayu Raudah yang bergelar pelakon popular.

Sebenarnya tiga lagi adik-beradik perempuan mereka turut memiliki kejelitaan yang sama taraf dengan dua selebriti itu.

Cuma ketika sesi fotografi dijalankan hanya empat daripada lima adik-beradik perempuan mereka dapat dikumpulkan iaitu Rozita, 36, Ayu Raudah, 25, kakak sulung, Rahimah 37, dan Rohaiza, 28, yang merupakan anak kelima, daripada tujuh adik-beradik.

Anak ketiga, Rubitah, 32, yang merupakan isteri kepada Lan Senario tidak dapat hadir. Meskipun hanya berempat tetapi Studio Utusan tetap kecoh dan gamat dengan gelak tawa mereka kerana mereka turut ditemani dua adik-beradik lelaki, Roshidi, 30, dan Mohd. Rafiuddin, 21.

Keempat-empat jelitawan Che Wan tergelak besar apabila dikatakan memiliki kejelitaan yang istimewa sehingga sering dikaitkan dan menjadi buruan 'orang berpoket tebal'.

Meskipun itu soalan lazim yang diajukan, tetapi mereka tidak pernah mendabik dada dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki.

"Jelita ke? Kami rasa biasa sahaja. Lahir-lahir memang sudah macam ini, jadi kena berterima kasih kepada ibu kerana melahirkan kami.

"Tidak semestinya cantik mesti kahwin dengan orang kaya, itu persepsi orang lain tetapi bagi kami perkahwinan itu kerana jodoh. Ibu kami juga tidak kisah dengan siapa kami berkahwin asalkan bahagia. Kalau ada yang menganggap kami cantik terima kasih. Ini semua hanya pinjaman daripada Allah. Kalau sudah jodoh dengan orang kaya terima sajalah," ujar Rozita.

Ditebak tentang khabar angin kononnya setiap kali tibanya hari raya, pasti banyak kereta mewah berbaris panjang di hadapan kediaman mereka di Alor Setar, Kedah. Kiranya, ramailah orang kaya raya yang bertandang ke rumah mereka.

Baik Rozita, Ayu, Rohaiza dan Rahimah berpandangan sesama sendiri sebelum tergelak besar dan menyoal semula siapakah yang memberitahu khabar angin itu.

"Kereta mewah berbaris panjang? Mana ada. Kalau ada pun kereta kami adik-beradiklah. Kami tujuh adik-beradik, bila semua balik pastilah penuh halaman rumah. Kadang-kadang jiran sebelah pun tumpang letak kereta depan rumah kami.

"Kalau nak ikutkan setiap tahun orang yang beraya di rumah kami adalah orang yang sama. Kawan-kawan adik-beradik dan saudara-mara. Tidak tahulah pula ada kereta mewah depan rumah kami," ujar Rohaiza sambil tertawa.

Rozita menambah itu semua sekadar gosip sahaja dan mereka sudah biasa menelan segala tohmahan yang diberikan khalayak dan media dengan baik.

Katanya disebabkan hubungan mereka adik-beradik sangat rapat, mereka dapat membezakan gosip yang benar dan rekaan semata-mata.

"Kami semua tinggal satu apartmen, cuma pintu rumah saja lain-lain.Sebab itu kami rapat dan berjumpa setiap hari. Bila ada gosip baru, adik-beradik saya yang tahu dulu, jadi kami tidak ada salah faham. Ibu di kampung pun tidak risau kerana kami masih bersama di Kuala Lumpur," kata Rozita yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki.

Jemput peminat satu Kedah

Bercakap tentang raya, seperti kebiasannya mereka adik-beradik akan berkonvoi pulang ke Alor Setar dan istimewanya tahun ini, buat pertama kali keluarga mereka akan mengadakan rumah terbuka untuk peminat pada hari raya ketiga.


RAHIMAH, Rozita, Rohaiza dan Ayu Raudah akan berkumpul di Alor Setar menyambut lebaran.


Sebelum ini mereka hanya buat rumah terbuka untuk saudara-mara dan rakan-rakan sahaja.

"Ini cara kami berterima kasih pada peminat dan bolehlah kami beramah mesra dengan peminat Kedah. Tahun sebelum ini bukan tidak mahu buat tetapi bimbang kalau buat tidak ada orang datang sebab, popular ke kami?

"Tahun ini, alhamdulillah rezeki ada, cuti pun panjang selama 12 hari, bolehlah buat rumah terbuka. Kami hanya masak laksa Kedah sahaja sebab itu masakan istimewa ibu kami, yang lain katering sahaja," kata Rozita.

Justeru itu, bajet raya mereka sekeluarga juga bertambah tetapi bak kata pepatah ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, mereka adik-beradik sentiasa berkongsi bajet raya setiap tahun.

"Macam tahun ini ada rumah terbuka, saya ketepikan duit raya RM3,000 untuk diberi pada peminat kecil dan orang yang bertandang ke rumah.

"Di kampung kami juga ada letak tabung besar, jadi semua adik-beradik bolehlah letak duit dalam tabung itu sebagai duit raya kepada tetamu," ujar Rozita yang telah membuat persiapan raya dua bulan sebelum Ramadan.

Seperti kebiasaannya, selepas menyambut raya mereka sekeluarga akan bercuti ke Pulau Langkawi untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

"Kami balik kampung setahun sekali, lepas rumah terbuka kami semua akan ke Pulau Langkawi berehat selama tiga atau empat hari sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja," kata Ayu.

Kenangan raya

Beralih cerita tentang kenangan raya, sejak kecil mereka semua sudah pandai melaram sakan apatah lagi kesemua mereka mempunyai kemahiran menjahit.

Kata Rohaiza, sejak zaman sebelum Rozita dan Ayu bergelar artis, mereka adik-beradik memang suka pakaian yang glamor dan penuh manik.

"Biasanya malam raya kami semua akan keluarkan baju raya dan adakan pertandingan jahit manik pada baju masing-masing. Pagi raya macam fesyen show jadinya, iyalah masing-masing nak tunjuk baju siapa yang paling cantik.

"Sekarang sebab sibuk, semua tempah sahaja tetapi ada juga yang buat sendiri," kata Rohaiza.


ROZITA mengharapkan agar hubungan cinta adiknya, Ayu Raudah bersama dengan Zaquan Adha akan berakhir dengan baik.


Selain laksa Kedah mereka sekeluarga juga menggemari ketupat palas yang menjadi menu wajib setiap kali raya.

"Selalunya kami akan membahagikan kerja, macam saya dan kak Ita akan sibuk di dapur menganyam ketupat palas, kak Rahimah mengemas dan kak Rohaiza gantung langsir.

"Riuh rendah jadinya, itu belum masuk bab kami bergosip lagi bila berkumpul. Adik-beradik lelaki pun tumpang sekaki dengan kami," tutur Ayu.

Rozita yang baru balik dari mengerjakan umrah pada 29 Ogos sehingga 11 September lalu bersama ibunya Zabedah Saad, 57, sempat menceritakan pengalamannya pertama kali berpuasa di Mekah.

"Ini kali kedua saya buat umrah tetapi kali pertama merasai pengalaman berpuasa di Mekah. Memang berbeza dari Malaysia sebab saya rasa lebih bermakna.

"Cuaca memang panas jadi saya cepat letih untuk berjalan-jalan. Buka puasa pun berbeza kerana saya hanya makan kurma dan minum air. Menariknya kalau di Malaysia saya hanya makan sebiji dua sahaja tetapi di sana boleh makan sampai 15 biji buah kurma sekali gus.

"Selepas itu bersolat dan makan nasi Arab bersama ayam. Kalau dah orang Melayu itu tetap Melayu, sampai di Mekah pun cari nasi juga. Nasib baiklah ada nasi Arab itu, sedap juga rasanya," kata Rozita yang akan sibuk dengan penggambaran drama Marhabah Dilaila dan Naumi selepas raya.

Doa jodoh Ayu di depan Kaabah

Ayu tersipu-sipu malu saat disoal tentang kebenaran gosip cintanya bersama pasangan kembar Aidil Zafuan iaitu Zaquan Adha, tetapi disebabkan dia dikelilingi kakak-kakaknya yang tidak mampu menyimpan 'rahsia' akhirnya Ayu terpaksa mengalah.

Rozita dengan selamba memberitahu, mereka akan melawat keluarga Zaquan di Seremban pada hari raya ini dan mereka semua merestui hubungan cinta terbaru Ayu itu.

"Saya mengakui kami memang berkawan. Sebenarnya saya tidak mahu heboh tentang perkara ini kerana kita tidak tahu apa yang jadi pada masa akan datang. Semuanya berlaku secara kebetulan, kalau ada jodoh adalah," ujar Ayu yang pernah berazam untuk menamatkan zaman bujang pada usia 21 tahun.


DARI kiri: Ayu Raudah, Rozita, Rohaiza dan Rahimah.


Rozita yang duduk di sebelahnya sempat mencelah: "Saya harap kali ini jadilah, itu yang saya doakan depan Kaabah ketika mengerjakan umrah. Kami semua okey sahaja dengan pilihannya."

Celah Rozita lagi keluarganya memang tidak memilih sangat tentang jodoh asalkan lelaki itu mampu beri kebahagian dan boleh masuk 'kepala' dengan mereka adik-beradik.

"Macam Rohaiza dia baru berkahwin pada bulan dua tahun ini setelah berkenalan dengan suaminya selama tiga bulan sahaja. Itu dinamakan jodoh. Sekarang dia tengah mengandung enam bulan," tutur Rozita tentang adiknya.

Melihat kemesraan keempat-empat wanita ini, pasti banyak hati yang cemburu. Di sebalik sibuk menelek wajah dan baju baru, masih ada ruang untuk mereka bersatu dengan penuh kasih sayang kekeluargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: