Saturday, September 19, 2009

Raya keluarga campuran!


KELUARGA Pierre menyambut lebaran secara sedarhana.


LARI daripada kesibukan kerja, mungkin itulah istilah tepat buat keluarga seni pelakon dan pengarah Pierre Nazrul Andre dan ibunya yang juga seorang pelakon, Khatijah Tan.

Jika orang lain sibuk mahu pulang ke kampung atau melakukan persiapan raya seperti menukar langsir atau membeli baju baru, keluarga mereka hanya meraikan hari raya secara sederhana.

Tiada kemestian untuk menukar baju baru, langsir mahupun perabot seperti kebanyakan orang lain kerana setiap kali tibanya hari raya mereka sekeluarga pasti pergi bercuti selepas menyambutnya dengan keluarga besar sebelah ibu Pierre di Gunung Rapat, Perak.

Menurut ibu kepada dua orang anak lelaki ini, kebiasaannya mereka sekeluarga pasti pulang ke kampung, cuma tahun ini tidak berkesempatan kerana terlalu sibuk dan sekadar meraikannya bersama saudara-mara yang tinggal di Kuala Lumpur sahaja.

"Biasanya memang kami akan balik, cuma tahun ini sibuk sangat dari tahun sebelum ini. Rasanya kami meraikan di rumah kemudian berjalan-jalan ke rumah rakan atau saudara-mara.

"Selepas itu kami akan bercuti bersama di Teluk Kemang, Port Dickson kerana suami saya ada membeli sebuah apartmen percutian di sana," ujarnya.


GAYA Pierre bersama kucingnya.


Terangnya lagi, keputusan untuk tidak pulang ke kampung juga kerana anak bongsunya, Mohd. Mikail Andre yang berusia 17 tahun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Melaysia (SPM) pada Oktober depan.

"Selain berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga, percutian itu juga untuk anak bongsu saya fokus pada ulang-kaji selain tenangkan fikiran sebelum ambil SPM.

"Kalau ikutkan percutian memang tradisi kami setiap tahun. Macam tahun lepas kami bercuti ke Batu Feringgi, Pulau Pinang," katanya.


BERMAAF-MAAFAN pada pagi raya menjadi tradisi keluarga Pierre.


Bercerita tentang sambutan raya, keluarga mereka merupakan keluarga campuran Melayu, Serani dan Cina meraikan banyak perayaan dalam setahun selain hari raya. Mungkin itu antara sebab sambutan raya mereka tidak sebesar orang lain.

"Suami saya, Nazrul Andre Abdullah berketurunan Serani dan Cina, jadi kami sekeluarga raikan Krimas, Tahun Baru Cina dan juga Aidilfitri. Bila sudah terlalu banyak perayaan yang disambut setiap tahun, sudah rasa biasa pula semua perayaan.

"Sebab itulah bila saya tengok orang beria-ria beli baju dan membeli-belah bagai nak rak, saya jadi pelik. Bagi saya cukup untuk kami berkumpul sekeluarga, saling bermaaf-maafan dan bersyukur atas nikmat yang diberikan sudah memadai," tuturnya.

Kenangan raya Pierre

Buat jejaka berusia 24 tahun ini, sejak menginjak dewasa perasaan untuk menyambut raya semakin berkurangan saban tahun.

"Raya tahun ini pun tidak tahu berapa lama boleh cuti sebab sekarang tengah sibuk dengan penggambaran drama Halimah Jongang. Selepas itu saya juga sibuk memikirkan input untuk filem aksi pertama arahan saya yang akan jalani penggambaran pada hujung tahun ini.

"Kalau bab baju raya saya rasa kebanyakan lelaki sama sahaja dengan saya. Kami akan pakai baju Melayu yang berusia dua, tiga tahun atau selagi boleh pakai. Cuma tahun ini sahaja saya ada beli baju Melayu merah itu pun sebab baju itu diperlukan ketika sesi fotografi Hari Kemerdekaan bersama Kosmo! baru-baru ini, kalau tidak memang tidak beli," terangnya jujur.


PIERRE anak kesayangan pelakon Khatijah Tan.


Luah Pierre lagi, sejak dia mula bekerja, setiap tahun pasti RM1,000 disediakan khas untuk duit raya buat anak buah, ibu saudara serta neneknya.

"Itu antara bajet yang memang masuk dalam buku bajet saya setiap tahun. Mungkin sebab itu saya tidak rasa nak raya sangat sebab dulu saya dapat duit raya, sekarang saya pula beri duit raya.

"Bayangkan masa kecil-kecil bukan setakat hari raya, masa Krismas dapat hadiah, sekarang mana ada lagi? Cuma raya Cina masih merasa dapat angpau sebab belum kahwin," katanya dalam tawa.

Bercakap mengenai kenangan raya Pierre ketika kecil terus sahaja suasana rumah yang didiami empat beranak ini bertukar gamat dengan gelak ketawa.


PIERRE sangat rapat dengan adiknya Mohd. Mikail Andre.


Bukan apa, terlalu banyak kenangan raya yang mencuit hati dan mencemaskan, semuanya gara-gara kerana kreativiti Pierre membuat eksperimen dengan mercun ciptaannya sendiri.

"Jalan masuk ke rumah nenek saya di Perak kena lalu kubur Cina dan Islam, jadi malam-malam saya dengan rakan yang lain main meriam paip gegarkan kubur Cina.

"Bukan itu sahaja, saya juga pernah buat mercun ciptaan sendiri menggunakan palam pencucuh motor dan belerangnya menggunakan hujung mancis. Masa itu memang tidak tahu bahaya pun, janji seronok. Bila mercun jatuh ke bumi, macam bom bunyinya.

"Tetapi sekarang kalau tengok budak-budak main mercun saya akan marah mereka sebab bahaya. Nasib baiklah, saya masih ada tangan dan kaki lagi," ujar Pierre sambil berseloroh.

Gemar masakan Portugis!

Kebiasaannya pada pagi raya hampir setiap rumah menghidangkan rendang, ketupat dan lemang tetapi berlainan pula dengan keluarga Pierre kerana mereka lebih menyukai masakan Portugis.

Perkara itu turut diakui bapa Pierre, Nazrul, 51, yang kerap tersenyum saat diajukan soalan. Katanya, mereka sekeluarga amat menggemari masakan Portugis iaitu Devil Kari dan juga Nasi Hijau.

"Itu antara dua makanan kegemaran saya dan juga anak-anak. Makanan biasa itu masih ada, cuma kalau ada dua masakan Portugis itu, kami bertiga tidak akan pandang rendang atau lemang.

"Bagaimanapun, kalau balik kampung isteri, saya masih lagi akan tolong masak rendang tok dan lemang jagung yang popular di Perak," bicaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: