Saturday, September 19, 2009

1,001 eksotika Myanmar

Menikmati makanan seperti meta kyin dan menaiki bas selama lebih 20 jam menuju ke Chin State memberikan pengalaman baru ketika meneroka keindahan Myanmar.




SETIAP kali menonton berita di televisyen, mendengar radio atau membaca berita di akhbar, perkembangan politik Myanmar sering mencuri perhatian.

Sudah pasti nama Aung San Suu Kyi, tidak terlepas daripada menjadi bahan berita. Wirawati itu terpenjara di bumi sendiri kerana usahanya untuk membentuk sebuah negara demokrasi.

Di sebalik berita-berita sensasi figura wanita yang juga penerima Anugerah Nobel itu, ramai tidak menyedari tentang tarikan dan keindahan negara yang diperintah oleh junta tentera tersebut.

Selain mahu meneroka negara berkeluasan 678,500 kilometer persegi itu, perasaan ingin tahu tentang budaya hidup masyarakatnya mendorong saya berkunjung ke Myanmar baru-baru ini.

Perjalanan menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) hanya mengambil masa kira-kira tiga jam. Langsung tidak terasa penat, keterujaan untuk menyaksikan pelbagai warna kehidupan masyarakat tempatan mengatasi segala-galanya.


SEORANG peniaga menyediakan sireh yang dicampur dengan pinang dan kapur sebelum dijual.


Kenalan dari Malaysia yang telah bermastautin di Yangon selama hampir tujuh tahun menanti ketibaan saya di Lapangan Terbang Yangon.

"Sekarang cuaca di Myanmar amat kering dan panas. Tetapi pada waktu malam, rasa sejuk menggigit tubuh. Kalau hendak makan, jangan sembarangan. Nanti kena cirit-birit pula. Jangan risau, saya akan 'memantau' apa yang awak makan," kata rakan saya, Mohd. Rezal Ayub ketika kami menuju ke hotel.

Saya hanya tersenyum mendengar amarannya. Usai mendaftar di hotel berhampiran, saya segera dibawa ke sebuah restoran halal untuk makan tengah hari.

Hidangan berupa tom yam dan meta kyin iaitu daging lembu rebus yang digoreng nyata amat menyelerakan.

Bogjoke Aung San Market

Menyedari kesungguhan saya untuk menerokai keindahan Myanmar, Rezal telah menyusun jadual lawatan. Destinasi pertama kami adalah Bogyoke (disebut bojok) Aung San Market. Ia merupakan bazar batu permata yang terletak di pusat bandar Pabedan-Yangon.


PENTERNAKAN lembu melatari pemandangan indah di kaki gunung Chin State.


Kami hanya berjalan kaki dari hotel penginapan, Park Royal. Sepanjang perjalanan, warna-warni sebenar Yangon mula menampakkan kemeriahannya. Penjual makanan jalanan di kiri dan kanan jalan begitu sibuk melayan pelanggan masing-masing.

Uniknya, mereka menjual makanan menggunakan dapur bergerak seperti peniaga mamak menjual nasi kandar suatu ketika dahulu di Malaysia. Makanan yang dijual seperti mi sup ayam sememangnya kelihatan enak.

Namun, berhati-hati kerana cara mereka menghidangkan makanan tidak mengutamakan kebersihan. Ditambah pula dengan debu kering yang berterbangan, memungkinkan perut anda meragam jika menikmatinya.

Setibanya di bazar, saya leka melihat pelbagai jenis batu permata seperti jed, batu ambar dan intan yang menghiasi meja-meja jualan. Rezal agak arif mengenai cara memilih batu permata yang berkualiti. Dia menasihatkan saya supaya berhati-hati memilih batu permata yang ingin dibeli.

Batu permata

"Batu permata di sini memang berkualiti tinggi. Tetapi jangan rambang mata dan hanya melihat dengan mata kasar sahaja. Sebabnya, kalau dilihat menggunakan kanta, banyak juga batu permata yang dijual mempunyai kecacatan dari segi potongannya.


SEORANG pemandu teksi memakai longyi iaitu kain sarung yang menjadi pakaian kebangsaan lelaki Myanmar.



PENULIS bergambar di papan tanda perjalanan bas di stesen Tilin di wilayah Wagway, Myanmar.



TOM YAM dan meta kyin iaitu daging lembu rebus yang digoreng.



KEBANYAKAN batu permata yang dijual di Bogjoke Aung San Market berkualiti tinggi.



WAJAH comel kanak-kanak etnik Bamar memakai bedak Thanaka.


"Harganya juga boleh ditawar sehingga 50 peratus daripada harga asal. Ramai rakyat Malaysia yang berkunjung ke sini. Sehinggakan peniaga batu permata boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan agak baik," jelas Rezal. Kebanyakan peniaga yang menjual batu permata di bazar itu berketurunan India Muslim.

Setelah hampir dua jam di bazar tersebut, saya sempat memilih lima butir batu delima sebagai hadiah untuk insan tersayang. Letih membeli belah dan badan terasa seperti dibakar matahari, saya dan Rezal berehat seketika di sebuah kafe berhampiran.

Hidangan wajib sebelum menikmati makanan yang dipesan adalah laphet (disebut lapek). Laphet adalah snek ringan. Ia diperbuat daripada daun teh yang dijeruk, ditumbuk bersama minyak dan dihidangkan bersama bijan, bawang putih serta pelbagai jenis kacang.

Memang sedap walaupun sedikit pelik rasanya apabila lidah Melayu saya menikmati makanan eksotik sebegitu. Puas menikmati laphet, kami menjamah pula roti pratha bersama telur goreng separuh masak dan mohinga, iaitu mi beras yang direbus bersama sup ikan. Mengakhiri menu makan malam kami pada hari pertama di Myanmar ialah teh tarik Myanmar yang dipanggil lepay.

Hamparan bunga matahari, pohon jati

Seawal pukul tujuh pagi, saya dan Rezal bergegas ke Lapangan Terbang Yangon. Kami menaiki pesawat Bagan Air menuju ke Mandalay. Perjalanan hanya mengambil masa dua jam. Setibanya di Mandalay, kami segera menaiki bas menuju ke Chin State. Chin State merupakan negeri paling utara di Myanmar yang bersempadan dengan India dan Bangladesh.

Rezal hanya tersenyum apabila saya bertanya berapa jam perjalanan yang perlu ditempuh untuk sampai ke destinasi tersebut.

"Nanti awak tahu sendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah perjalanan kita sememangnya mencabar dan berbaloi," jelas Rezal.

Kami bertolak pada kira-kira pukul 11 pagi. Sepanjang perjalanan, mata dijamu dengan pemandangan yang sungguh indah. Ladang bunga matahari yang terbentang luas di kaki gunung paling mencuri perhatian.

Warna kuning bunga matahari dan hijau daunnya seolah-olah terjalin begitu kemas seumpama lukisan yang tiada cacat celanya. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk merasai udara nyaman di sekitar pergunungan dan berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

Keletihan semakin terasa. Namun, pohon jati yang tumbuh melata membuatkan mata saya seakan-akan segar supaya terus menikmati eksotika bumi Myanmar. Terdetik di hati saya, kalau di Malaysia, pokok-pokok jati itu mungkin sudah lama ditebang dan dikomersialkan.

Dari matahari menegak sehinggalah matahari tenggelam dan muncul semula keesokan paginya, destinasi yang dituju belum kelihatan. Ini membuatkan saya berasa amat letih.

"Perjalanan kita ke Chin State memakan masa sehari suntuk. Ini kerana kondisi jalan yang teruk dan perlu melalui lorong balak yang curam," kata Rezal. Selepas 20 jam berada di perut bas, kami akhirnya sampai ke Chin State.

Tidur semalaman di sebuah motel, keesokan paginya kami mula meneroka keindahan kawasan pergunungan Chin State yang dingin dan nyaman. Suhu sekitar 14 darjah celcius, pemandangan yang begitu indah dan mulut sibuk mengunyah strawberi menyebabkan saya terlupa seketika bahawa Myanmar masih jauh ketinggalan daripada magis pembangunan.

Selama hampir tiga jam berada di situ, kami sempat melawat perkampungan Orang Asli dan ladang menternak lembu Mythun. Lembu Mythun yang dikategorikan seperti Seladang di Malaysia, merupakan baka semi-domestik yang dipatenkan sebagai baka asli Myanmar.

Sepanjang berada di Myanmar, eksotika budaya tempatan yang masih terpelihara menjadi hidangan unik kepada sesiapa sahaja. Majoriti rakyatnya kekal dihimpit kemiskinan. Tetapi senyuman manis dan ungkapan 'mingala bar' yang bermaksud selamat sejahtera pasti menyapa sesiapa sahaja yang berkunjung ke negara yang terkenal dengan jolokan Bumi Keemasan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: