
MENEMPUH alam rumah tangga sejak Mac lalu, bagi pelakon muda, Haryati Hamzah, 29, atau lebih mesra panggilan Yatt, tahun ini adalah tahun rezeki untuknya.
Memulakan kerjaya seni terlebih dahulu dalam bidang pengacaraan, Yatt yang aktif berlakon sejak dua tahun lalu bukan sahaja menerima limpahan tawaran lakonan lewat kebelakangan ini, bahkan rezeki lebih membahagiakan buat pelakon itu tahun ini apabila dia disahkan hamil.
Sudah mencecah empat bulan setengah usia kehamilannya, Yatt yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran majalah Eh! mengakui dia tetap sibuk di lokasi penggambaran termasuk pada bulan Ramadan ini.
"Ini kali pertama Yatt menempuh pengalaman baru untuk bergelar ibu, tetapi Yatt tidak boleh menolak tawaran berlakon kerana inilah punca rezeki Yatt.
"Kalau ikutkan memang penat sangat sebab macam pakej la pula, mana lagi hendak berlakon, berpuasa dan sedang hamil. Ia sememangnya banyak menduga, tetapi hakikatnya nikmat bergelar ibu lebih membahagiakan," luah permaisuri hati kepada jejaka bernama, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29.
Memanjangkan pengalaman kerajayanya semasa mengandung ini, gadis yang petah bercakap seperti bertih jagung itu memberitahu bagaimanapun, dia telah menolak semua tawaran lakonan yang memerlukan dia menjadi wanita jahat atau terlalu tertekan.
"Saya mendapat nasihat doktor bagaimana untuk menjaga kandungan dan doktor nasihatkan agar saya tidak mengambil watak yang terlalu berat kerana bimbang berlaku komplikasi pada kandungan.
"Menurut doktor, walaupun saya hanya berlakon meraung-raung, menangis atau tertekan, tetapi bayi dalam kandungan mungkin tidak boleh membezakan antara lakonan dan realiti," kata Yatt lagi.
Membintangi banyak drama seperti Spa-Q dan Di Pintu Mahligai, Yatt yang mengenakan busana butik Jedan dan disolek cantik oleh Fiza Zainudin sewaktu tampil di majlis yang berlangsung di Hotel Nikko itu memberitahu, terbaru dia terpaksa menolak tawaran watak tomboi.
"Sedih jugalah terpaksa tolak tawaran watak tomboi baru-baru ini, sebab watak seperti itu memang makanan Yatt. Tapi nak buat macam mana, tak mahu ambil risiko," ujar Yatt yang kini sedang sibuk di lokasi drama Yang Terindah di samping pelakon Iqram Dinzly.
Luah graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, biarpun letih bekerja di lokasi penggambaran pada bulan Ramadan ini, tetapi emosinya sangat ceria dan gembira.
![]() |
| |
Akuinya, sebelum ini dia adakalanya akan melenting jika penggambaran dimulakan terlalu lewat atau jadual penggambaran salah diberikan kepadanya, tetapi emosi itu tidak lagi menerpanya sewaktu mengandung.
Bahkan, kerana sentiasa berada dalam mood baik dan gembira, Yatt memberitahu sangat sukar bila diminta melakukan babak sedih.
"Bila pengarah minta Yatt berlakon babak sedih memang ambil masa sikit sebab Yatt sentiasa akan ke set dengan mood gembira sejak kebelakangan ini.
"Mungkin pembawaan bayi," katanya.
Menyentuh mengenai pembawaan bayi, Yatt memang ketawa besar saat ditanya jika dia ada mengidam hidangan pelik sepanjang kehamilan itu.
Ceritanya, sebelum ini dia hanya mendengar cerita mengenai suami mengidam sewaktu isteri sedang mengandung, bagaimanapun situasi itu antara yang berlaku kepada Yatt dan Mutalib.
"Yatt memang tidak mengidam apa-apa langsung setakat ini. Cuma Yatt lebih berselera makan nasi sekarang. Kalau dulu Yatt makan dua atau tiga kali nasi seminggu, sekarang bersahur dan berbuka mesti makan nasi.
"Sebaliknya, Yatt nampak suami yang menunjukkan kecenderungan mengidam kerana tiba-tiba sentiasa mahu menikmati makanan Barat.
Kata orang, kalau bapa yang mengidam, anak bila besar mesti suka makan makanan itu. Kalau betullah cerita tu, nampaknya besarlah bajet kami nanti," ujar Yatt ketawa sambil memberitahu dia dijangka melahirkan bayinya pada 16 Februari depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: