Tuesday, September 15, 2009

Bahagia bukan dibuat-buat




KISAH pengacara tinggi lampai, Linda Onn tidak pernah habis. Ada sahaja suara-suara tidak senang hati yang akan bercerita mengenainya.

Tambah pula selepas Linda 'menayang' teman barunya, Salleh pada malam Parti Selebriti Kosmo! Jun lalu, ramai yang memberi reaksi yang tersendiri. Ada yang mengutuk, ada juga yang memuji.

Namun, ada juga mulut nakal mengatakan Linda sengaja mahu menunjukkan dirinya bahagia di sisi seseorang, memandangkan bekas kekasihnya, Fahrin Ahmad, juga sudah menemui penggantinya, Scha.

Bagi Linda, tidak pernah terlintas di fikiran mahu pura-pura bahagia di sisi Saleh Nor kepada umum.

"Bahagia saya bukan dibuat-buat. Entah, memang sekarang ini saya sedang gembira. Tak kira bila ada lelaki di sisi atau tidak, saya tetap gembira dan bahagia.

"Tak ada maknanya saya mahu bersedih. Pelik, bila orang kata saya sengaja mahu nampak bahagia. Padahal, macam-macam yang saya perlu fikirkan. Cuma sekarang ini saya memang runsing memikirkan untuk menghias rumah baru saya. Kalau benda lain yang nak dirunsingkan, sumpah tidak," tuturnya berterus-terang.


LINDA mencari lelaki yang baik, beriman dan tidak berpura-pura sebagai raja di hatinya.


Tambah Linda, biarpun bekas kekasihnya sudah menemui cinta baru, ia langsung tidak memberi tekanan kepadanya. Sebaliknya, hanya doa yang diberi agar Fahrin itu kekal bahagia.

Cinta? Pengacara jelita ini masih lagi memberi teka-teki mengenai Saleh. Mengiakan tidak, menafikan pun tidak.

"Setakat ini, perhubungan kami berjalan seperti biasa. Saya takut nak merancang, biarkan keadaan yang menentukan. Manalah tahu, kalau ada lelaki hadir esok dan dialah lelaki yang sesuai, walaupun saya tak berapa kenal, maka dialah orangnya.

"Tak perlu terburu-buru walaupun umur semakin meningkat kerana ia hanyalah angka. Saya paling takut dengan kes-kes yang baru kahwin, dah cerai pula. Nak kata berhati-hati, tidak juga. Cuma saya ni, biarkan lambat asalkan selamat.

"Apa pun, jika ditakdirkan sudah sampai seru untuk berkahwin, mungkin saya akan beritahu semua selepas saya bernikah," ujar Linda yang turut mengatakan keluarganya tidak pernah mmendesaknya dalam soal jodoh.

Dalam pada itu, beritahu Linda, ciri-ciri lelaki idaman yang diinginkan mudah sahaja, baik, beriman dan tidak berpura-pura. Ditanya, adakah Saleh jejaka bertuah itu, kata Linda:

"Ciri-ciri itu memang ada pada Saleh. Susah nak cakap, pihak media selalu tumpu pada dia seorang, walhal, ada lagi beberapa orang yang sedang saya berkawan dan menilai.


LINDA mengakui Saleh kini antara jejaka yang rapat dengannya.


"Kalau orang kata saya pilih bangsa, tidak juga. Tapi saya mahu lelaki itu seorang Islam. Kalau bukan Islam sekalipun, bila masuk agama kita, dia kena amalkan. Senang cerita, amalan Islam kena buat," tegas penyampai radio Sinar itu.

Bukan pengacara Sehati Berdansa

Sejak meninggalkan konti stesen radio Era, Linda dilihat seperti kurang aktif di kaca televisyen. Tidak seperti dahulu, Linda kerap mengacarakan pelbagai program antaranya Tanya Linda dan Sehati Berdansa.

Mengakui keadaannya itu, jauh di sudut hati wanita berusia 31 tahun itu begitu teringin untuk aktif semula dalam pengacaraan.

"Semua rezeki adalah daripada Tuhan dan kita bekerja mengikut tawaran. Kalau orang tak menawarkan apa-apa pada saya, tak boleh nak cakap apa. Ada juga saya bertanya, kot-kot ada ruang untuk saya mengacara sebuah program.

"Saya mahu aktif dalam pengacaraan juga selain daripada menjadi seorang juruhebah. Apa yang saya mampu cuma berdoa sahaja.

"Bagaimanapun, sekarang ini saya sedang membuat proposal untuk sebuah program. Tajuknya, saya tak boleh nak bagi tahu dulu, tapi konsepnya lebih pada program berbentuk ceria," katanya yang pernah memberi idea dalam proposal program Maggie Bersama Bintang.

Katanya, program yang masih lagi dalam perancangan itu akan diacarakannya sendiri. Bukan mahu syok sendiri, tetapi hati Linda begitu senang jika dia menemubual orang berbanding ditemubual.

"Tak tahu mengapa, kebanyakan produksi tidak gemar memberikan saya tawaran yang membabitkan program-program kecil. Mereka mahukan saya berada dalam program yang berskala besar.

"Tapi sebenarnya, saya tak kisah, janji dapat mengacara dan menemubual orang. Kalau nak tunggu program besar, lama lah nak menunggu," katanya.

Sayang sekali, bila Linda yang begitu teruja untuk mengacarakan program TV, ada khabar angin mengatakan Linda sudah tidak lagi mengacarakan program realiti Sehati Berdansa. Kononnya, wanita ini enggan bertemu dengan bekas teman lelakinya, Fahrin.

Tatkala soalan mengenai status pengacara Sehati Berdansa diajukan kepada Linda, dia enggan mengulas panjang. Diam seketika sebelum menjawab, kata Linda ringkas: "Untuk memendekkan cerita, ya, memang betul saya sudah tidak lagi mengacara program tersebut. Tetapi itu kehendak Astro, bukan saya yang tak nak."


LINDA bersama Saleh kini sedang mengenali hati budi masing-masing sebelum memanjangkan lagi hubungan erat mereka ke fasa lain.


Ramadan yang tenang

Dahulu, pertama kali menyertai stesen radio Sinar.FM, wanita ini seperti kekok sedikit. Mungkin belum lagi serasi di tempat baru, Linda menerima pelbagai kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Bagaimanapun, perkataan kekok tiada lagi dalam diari kerjanya. Malah, Linda semakin selesa dan gembira kerana masih ada lagi peminat-peminat setia yang mengikuti perkembangannya.

"Alhamdulillah, makin lama, saya makin selesa di Sinar FM walaupun pada awalnya memang saya buat secara paksa. Ini semua kerana sokongan daripada peminat-peminat yang sanggup menukar ke stesen lain semata-mata mahu mendengar saya berceloteh. Itu yang membuatkan saya terharu dan semangat saya semakin kuat," katanya.

Tambah Linda, perpindahannya ke stesen radio tersebut seperti mempunyai hikmah. Linda terasa dirinya kini lebih mudah menguruskan jadualnya yang kurang padat.

"Sekarang ini, saya tak sibuk sangat dan tahun ini saya memiliki Ramadan yang tenang. Pada masa yang sama, saya dapat meluangkan masa lebih bersama keluarga.

"Selain itu, saya juga lebih mudah menguruskan restoran saya (My Mom's Chicken Rice Shop dan My Asam Pedas) yang kini dibuka bermula dari petang sehingga sahur.

"Cuma pada siang hari, kedua-dua restoran akan ditutup. Sempena bulan yang mulia ini, pihak kami turut menediakan menu istimewa seperti ayam percik dan sate di My Mom's chicken Rice Shop," kata Linda yang akan menemui peminat melalui rancangan Pelangi Kasih (RTM) pada raya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: