|
|
PENYANYI Zaiton Sameon, 53, yang popular menerusi lagu Menaruh Harapan mendakwa dibuang keluarga selepas hidupnya melarat akibat kemalangan ngeri pada tahun 1990 yang turut meragut nyawa anaknya Azirwan Abu Bakar (ketika itu berusia 13 tahun).
Semasa membuat persembahan pada majlis berbuka puasa untuk artis veteran di Saloma Bistro pada 3 September lalu, Zaiton turut meluahkan kesedihan itu.
Kata Eton, hidupnya tak seperti orang lain yang mendapat kasih sayang dan perhatian tetapi dirinya tidak seperti yang diimpikan. Dia sudah dibuang keluarga.
Dek kerana itulah dakwa Eton hidupnya seperti orang merempat sehingga terpaksa mengharapkan belas ehsan orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Dalam ruangan Kring Kring minggu lalu Eton menyuarakan kesedihannya apabila adik-beradiknya sendiri tidak mempedulikan dia sehinggakan dia terpaksa menumpang teduh di rumah kenalannya di Johor Bahru.
Kecewa dengan tuduhan itu, anak saudara Eton iaitu Noor Haizan Zakaria, 29, tampil untuk menjelaskan kisah sebenarnya..
Kata Noor Haizan bapanya Zakaria Sameon,60 (abang sulung Zaiton), amat sedih dengan kenyataan tersebut.
Ia menggambarkan adik beradik Zaiton kejam kerana sanggup membiarkan penyanyi itu hidup melarat.
“Sudah lama saya ingin menjelaskan keadaan sebenar. Keluarga kami tak pernah buang dia (Eton) tapi dia yang keluar dari rumah,” kata Noor Haizan mewakili bapanya yang meminta dia menjelaskan keadaan sebenar.
Ikuti pendedahan Noor Haizan kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH ketika menemuinya Khamis lalu.
Mudah-mudahan ada jalan bagi mengatasi masalah yang melanda di antara Zaiton dan kelaurganya itu.
Apa yang hendak dijelaskan ni?
Sebelum saya buka cerita yang sebenar, saya nak terangkan serba sedikit mengenai keluarga Sameon. Saya ni mewakili bapa saya iaitu Zakaria Sameon, abang kepada Eton yang sulung. Dalam keluarga Sameon semuanya ada enam orang. Eton anak yang kelima. Yang bongsu ialah Sharil. Gara-gara kenyataan Eton minggu lalu, bapa saya diserang sakit jantung. Dia terkejut kenapa tak habis-habis adiknya itu membuat kenyataan yang tak betul? Dia memang sedih. Sebab itu dia minta saya jumpa Niezam untuk terangkan keadaan yang sebenarnya. Bapa saya tinggal di Seremban. Dia nak datang susah sebab kesihatan dia tak mengizinkan.
Yalah... selama ini ramai yang tertanya-tanya kenapa keluarga Eton tak ambil berat terhadap dia?
Bukan tak ambil berat. Kami semua memang nak jaga dia. Tak sanggup tengok dia hidup melarat tapi dalam hal ini siapa sebenarnya yang buat masalah kalau bukan Zaiton sendiri? Saya tahu selama ini ada pihak yang mempengaruhi Zaiton untuk buat perkara yang tak sepatutnya.
Siapa orang tu?
Belum masa untuk saya dedahkan tetapi saya faham Eton sebenarnya tidak sihat sepenuhnya. Jadi kita tak boleh nak percaya apa yang dia kata itu seratus peratus.
Selepas ayah dan ibu Eton meninggal dunia, dia pernah mendakwa dihalau dari rumah pusaka keluarga di Rembau, Negeri Sembilan akibat perebutan harta. Betul begitu?
Siapa cakap? Tak ada siapa yang halau Eton. Tak ada siapa yang suruh dia keluar dari rumah itu. Dia dengan adik bongsunya Sharil yang buat keputusan sendiri untuk keluar dari rumah. Bila dia orang keluar, dia orang buat kenyataan kononnya keluarga halau mereka. Itu semua tak benar.
Eton pernah beritahu saya sebelum ini pakaiannya di dalam almari di Rembau tu sudah dibakar oleh Lily iaitu kakaknya sendiri. Betul?
Kalau dia tak pernah balik rumah, macam mana dia tahu pakaiannya semua dibakar? Itu semua tak betul. Rumah tu pun masih elok dijaga rapi. Saya pun tak faham apa maksud dia membuat kenyataan macam itu?
Bagaimana Eton boleh nak keluar dari rumah kalau tak ada apa-apa masalah dalam keluarga?
Itu saya tak tahu tapi Eton dipengaruhi oleh orang tertentu. Saya pun terkejut tiba-tiba dapat tahu dia tinggal dengan keluarga angkatnya di Beranang, Selangor. Lepas tu tinggal dengan adik angkatnya di Kampung Melayu Subang, Selangor. Kemudian pula berada di Johor Bahru. Saya terfikir juga kenapa dia sanggup jadi macam tu sedangkan dia ada keluarga.
Alasannya keluarga dia sudah tak mahu ambil berat. Yalah... Zaiton Sameon hari ini dah tak macam dulu.
Tak ambil berat? Maaflah... kami semua ambil berat pada dia tapi dia yang tak hargai semua itu. Percaya atau tidak sebelum ini abang Eton yang nombor tiga iaitu Khalid bawa dia tinggal bersama di Putrajaya. Tahu tak apa Eton buat? Dia keluar dari rumah, merayau-rayau di Putrajaya tu. Takkan kita nak kurung dia. Takkan nak kunci pintu rumah? Masalahnya bila dia selalu keluar, dia berhubung dengan orang lain untuk lari dari rumah tu. Siapa yang salah? Dia keluar dari rumah abang dia tu, saya dengar dia duduk pula dengan adik angkatnya di Kampung Melayu Subang. Di kampung tu pun Eton buat kecoh.
Maksudnya kecoh macam mana?
Saya dapat tahu orang kampung tak selesa tengok Eton merayau-rayau di kampung mereka. Takut jadi benda-benda yang tak elok. Masalahnya Eton tu tak waras sepenuhnya. Dia masih lagi sakit. Jadi tak semua orang faham siapa Zaiton Sameon hari ini. Hanya kami dan keluarga saja tahu.
Selepas kekecohan demi kekecohan berlaku, tak ada usaha nak jaga dia?
Kami dah usaha tapi bayangkan dia akan keluar rumah sesuka hati. Itu yang kami kesalkan. Dia pula sanggup buat tuduhan yang bukan-bukan mengenai keluarga. Tak elok macam tu.
Apabila Eton buat kenyataan negatif, apa persepsi keluarga yang lain?
Mereka semua kecil hati terutamanya ayah saya sebagai anak yang sulung. Kawan-kawannya telefon dan bertanyakan perkara itu. Seolah-olah keluarga kami ni buruk sangat. Ayah amat kecewa dengan tindakan adiknya itu. Adik-beradik lain pun tak tahu nak buat macam mana dah. Semuanya amat tertekan dengan sikap Eton sendiri.
Apa tindakan sekarang untuk menjaga Eton?
Kami tak tahu macam mana nak cari dia. Cuma saya harap dia balik kampung. Tak ada siapa yang nak halau dia. Dan kalau boleh dia datang jumpa dengan bapa saya di Seremban untuk menyelesaikan keadaan. Jangan terus mengeruhkan suasana. Eton kena ingat, sekarang ni bukan zaman dia dah (dalam bidang seni). Zaman dia dah berlalu. Janganlah asyik jaja cerita keluarga saja kalau nak dapatkan publisiti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: