Wednesday, September 16, 2009

Aspirasi kerja amal AG, Tini


Tini


SEBAGAI individu yang dikenali bagaimana cara terbaik untuk mempengaruhi masyarakat untuk terus berbakti? AG: Sebagai seorang yang dikenali, saya percaya ini memberikan lebih peluang dan ruang untuk menggunakan kelebihan ini untuk sama-sama menjayakan program-program amal yang dianjurkan. Selebriti merupakan medium atau orang tengah yang paling hamper dengan masyarakat. Dengan promosi dan contoh, bila mana kita sendiri yang turun padang dan menunjukkan contoh kepada masyarakat dan saya percaya ramai yang turut berminat untuk menjayakan sesuatu program tersebut.

Tini: Saya gunakan setiap peluang semasa bertugas untuk membangkitkan isu-isu semasa secara tidak langsung, tidak kiralah perkara amal, berkaitan dengan alam sekitar atau etika kita dalam kehidupan seharian. Malah rancangan TV yang saya kendalikan juga banyak membangkitkan tentang isu isu semasa yang mengajak penonton berfikir dengan cara yang santai dan bersahaja.

Apa yang anda lakukan dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik dan berapa kerap melakukannya?

AG: Seperti yang saya katakan, saya sendiri akan turun padang untuk menjayakan program-program kebajikan tersebut. Saya biasanya akan membawa seisi keluarga untuk bertemu mereka.

Bagi saya yang suka dan cintakan kanak-kanak saya gemar berjumpa dengan anak-anak yang kehilangan kasih sayang.

Tini: Pada pendapat saya tiada kiraan atau kekerapan yang harus diletakkan pada kerja-kerja kebajikan. Kita harus buat sekerap yang mungkin, semampu yang boleh dan seikhlas-ikhlasnya. Jangan lakukan sebab nak jaga air muka atau menunjuk nunjuk.

Setiap tahun sejak 2004, melalui rancangan TV yang saya kendalikan, kami akan mengadakan pertandingan Futsal untuk wanita, bagi mengutip dana untuk organisasi-organisasi (NGO) wanita dan kanak-kanak. Setiap tahun juga saya, Celina dan Rafidah mengadakan bengkel-bengkel di sekolah, kolej dan universiti bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran tentang isu-isu memperkasakan wanita dan HIV/AIDS.

Jika anda mempunyai pilihan untuk bersuara, apakah sumbangan amal yang patut dilakukan masyarakat?

AG: Kalau diberi peluang, saya lebih gemar sebenarnya menghabiskan masa bersama mereka. Memang mereka memerlukan bantuan dari segi kewangan, tapi saya memandang dari segi psikologi dan juga perasaan, serta naluri mereka yang mana mereka sebolehnya tidak mahu dibezakan dengan insan-insan yang lain juga.

Tini: Kebajikan ini banyak cabang dan setiapnya memerlukan perhatian yang berbeza. Sesetengah perlukan wang ringgit, sesetengah perlukan perhatian dan perjuangan kita, contohnya kebajikan alam sekitar dan haiwan terlindung. Wang ringgit tak akan dapat hentikan penjualan telur penyu, atau ancaman kita terhadap orang utan, harimau dan sebagainya semua ini perlukan kesedaran, pendidikan, perjuangan dan perubahan sikap kita.

Sebagai selebriti jadual harian anda pasti ketat. Bagaimana anda mencari jalan atau masa untuk menyumbang kepada kerja amal?

AG: Memang sedia maklum jadual kami agak padat. Namun itu bukan alasan sebenarnya untuk kita melupakan mereka yang benar-benar memerlukan. Kita sedia maklum banyak sebenarnya rumah kebajikan di Malaysia ini. Dan di situlah sebenarnya tempat untuk kita menghulurkan bantuan. Malah di TV juga ada jalan, bagaimana cara untuk kita menghulurkan bantuan seikhlas mungkin.

Tini: Seperti yang saya katakan tadi, kebajikan kita tak boleh nak letakkan kuota . Kita akan cuba buat sekerap mungkin dan semampu mungkin. Saya bertuah kerana berada dalam arena media, di mana media ini merupakan satu medium yang kuat dan berpengaruh.

Saya cuba sumbangkan masa dan tenaga bila ada kelapangan. Saya tak pernah tolak untuk menyertai acara-acara kebajikan dan memberi sumbangan secara percuma seperti mengacara majlis, melangsungkan bengkel kesedaran atau hadir untuk berikan sokongan.

Sepanjang usaha anda membantu golongan kurang bernasib baik apa peristiwa paling menjadi kenangan yang memberi impak positif pada anda?

AG: Biasanya saya akan rasa sedih dan tak sampai hati untuk meninggalkan mereka. Saya akan mudah tersentuh. Apatah lagi melihat setiap seorang daripada mereka.

Mereka juga seolah-olah tidak mahu kita pulang atau pergi dari mereka. Keseronokan yang terpaksa di akhiri dengan perpisahan. Kesedihan jelas terpancar pada raut wajah mereka walaupun mereka tersenyum. Itu yang buat saya sedih.

Tini: Saya berpeluang ke Bangkok bersama UNICEF untuk Unite for Children Convention,

UNITE for AIDS. Banyak yang saya belajar dan konvesyen itu juga banyak berikan kesedaran pada saya tentang AIDS dan bagaimana ia memberi impak pada kanak-kanak dan Wanita.

Sebagai pengacara TV saya berpeluang ke KOBE, JEPUN untuk menyertai ICAAP ( International Congress on AIDS in ASIA PASIFIC) pada tahun 2004. Kami membentangkan kertas kerja, bagaimana pentingnya peranan media dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang HIV/AIDS. Peluang berjumpa dengan sukarelawan dari seluruh dunia membuka mata saya. Pengalaman yang cukup manis.

Namun, perkara yang paling bermakna buat saya ialah, apabila terpaksa membawa pulang anak-anak kucing yang terbiar atau dibuang oleh tuan yang tak bertanggungjawab. Kasih sayang yang diterima daripada kucing-kucing ini pula tak ternilai oleh wang ringgit.

Apa yang mendorong anda membantu golongan kurang bernasib baik? Apakah yang memberi inspirasi anda? Apa yang anda harapkan daripada tindakan anda itu?

AG: Saya pernah pergi ke rumah anak yatim dan berjumpa seorang budak lelaki berusia tiga bulan yang kehilangan kedua orang tuanya. Saya memandang anak-anak saya dan betapa bersyukurnya kerana anak-anak saya masih memiliki saya dan isteri saya sebagai ibu bapa mereka. Apa nasib anak tersebut? Pada siapa dia nak mengadu? Pada siapa dia ingin meminta dibelikan mainan, pakaian mahupun makanan. Saya tersentuh dan amat sedih.

Dari situ saya terfikir betapa beruntung dan bertuahnya mereka yang dilahirkan sempurna keluarganya. Saya hanya mampu berdoa dan berharap anak kecil itu menjadi insan yang sempurna dan tiada perbezaan dengan orang lain. Walaupun hakikatnya itu tidak berlaku.

Tini: Saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Apabila saya lihat keadaan orang lain, negara yang dilanda bencana, kemiskinan dan kesusahan saya sentiasa rasa bersyukur pada Tuhan kerana memberikan saya hidup yang baik dan selesa serta sering mempermudahkan kerja-kerja saya.

Ibu bapa saya juga banyak memberi dorongan untuk sentiasa beramal dan menderma. Dalam kesibukan kita bekerja jangan sekali lupa pada mereka yang kurang bernasib baik.

Apakah cara terbaik bagi membantu golongan kurang bernasib baik? Adakah anda rasa memberi wang cara lebih bernilai berbanding menghabiskan masa bersama mereka?

AG: Kewangan memang penting dalam meneruskan kehidupan. Namun jika berusaha kita mampu memiliki kewangan atau kemewahan tersebut. Berbeza dengan masa yang kita peruntukkan untuk mereka. Kerana masa itu adalah emas, dan saya percaya tiada orang di dunia ini yang tidak menyukai emas.

Tini: Ada yang mengatakan "Kalau mahu menolong orang berikan pancingnya, bukan ikannya". Saya rasa kemahiran penting bagi membantu seseorang itu untuk menaiktaraf kehidupan mereka. Sedikit sebanyak kewangan penting, tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana wang tersebut digunakan.

Sebagai selebriti adakah anda rasa mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat untuk mendorong mereka turut beramal?

AG: Selebriti dan masyarakat biasa tiada bezanya. Yang membezakan kami hanyalah kerjaya. Bila seseorang yang dikenali melakukan kebaikan pasti umum akan tahu, kerana dia dikenali. Berbeza dengan mereka yang bukan selebriti, perlakuan mereka tidak diketahui umum. Cuma apa yang dapat kami lakukan mengajak orang ramai bersama-sama membela nasib mereka yang memerlukan.

Tini: Terpulang pada masyarakat sama ada mereka hendak memberi atau tidak, kebajikan ini bukannya sesuatu yang boleh dipaksa. Untuk saya yang penting keikhlasan. Saya tak buat semua ini untuk mempengaruhi sesiapa, namun sekiranya ada yang tersentuh dan tergerak untuk membantu saya alu-alukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: