Monday, September 14, 2009

Misteri gadis cantik hilang


GAMBAR menunjukkan Le bersama bakal suaminya.


NEW HAVEN - Kehilangan seorang penuntut ijazah doktor falsafah, Annie Le, 24, mencetuskan misteri apabila polis Amerika Syarikat (AS) menemui pakaian berdarah di bangunan dia dilaporkan kali terakhir dilihat, lapor sebuah akhbar semalam.

Le yang merupakan pelajar Universiti Yale dari Placerville, California itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Jonathan Widawsky, penuntut siswazah Universiti Columbia semalam tetapi majlis ditunda selepas dia hilang pada Selasa lalu.

Pihak polis New Haven pada Sabtu lalu menjumpai beberapa pakaian yang dipenuhi darah dan bukti-bukti lain daripada cebisan runtuhan siling di bangunan Amistad Street yang menempatkan makmal sains biologi universiti tersebut.

Bangunan itu kemudian ditutup sebagai tempat kejadian jenayah namun seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kim Mertz menafikan beberapa laporan yang tersebar luas kononnya satu mayat telah ditemui tersembunyi di situ.

"Tiada alasan untuk mempercayai bahawa wanita itu ialah pengantin yang melarikan diri," kata jurucakap universiti tersebut, Linda Lorimer.

Pihak Universiti Yale menawar ganjaran AS$10,000 (RM34,909) kepada sesiapa yang dapat membantu menyelesaikan kes itu.

Lebih 100 pegawai FBI, Jabatan Polis Negeri Connecticut dan polis tempatan New Haven dikerah menggeledah keseluruhan bangunan makmal itu termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan aras bawah iaitu tempat Le bertugas.

Mangsa dilihat menerusi CCTV memasuki bangunan itu awal pagi Selasa lalu tetapi tiada rakaman menunjukkan dia keluar. Tunangnya yang membatalkan perkahwinan itu dianggap pada mulanya sebagai suspek sebelum dia dibebaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: