
WASHINGTON - Puluhan ribu penduduk Amerika Syarikat (AS) menyertai tunjuk perasaan di Washington kelmarin bagi memprotes perbelanjaan besar pentadbiran Presiden Barack Obama (gambar).
Penunjuk perasaan itu menuduh pentadbiran Obama cuba membawa AS ke arah pendekatan sosialisme.
Mereka membawa poster yang menentang cadangan pembaharuan penjagaan kesihatan.
Satu poster menyatakan pengguguran bukannya satu bentuk penjagaan kesihatan.
Seorang penunjuk perasaan yang merupakan imigran dari Ukraine menyatakan dia datang ke Washington dari Baltimore kerana dia masih mengingati dasar-dasar yang pernah dilakukan di negara-negara komunis.
"Komunis tidak berjaya di sana (Ukraine) dan tidak akan berjaya di sini (AS)," katanya yang enggan namanya disiarkan.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh pergerakan Freedomworks yang mendesak cukai direndahkan dan penduduk diberikan lebih banyak kebebasan eknomoni.
Polis gagal memberikan jumlah sebenar bilangan penunjuk perasaan itu.
Seorang penunjuk perasaan dari Maryland, Lois Calzone membawa poster yang menunjukkan Obama digambarkan sebagai watak Joker dalam filem Batman.
"Dia seorang yang penipu. Dia seorang pengamal Marxis atau komunis manakala kami tidak sepertinya. Obama bukan penduduk Amerika yang sepenuhnya," kata Calzone.
"Saya berpendapat Arab Saudi berada di belakangnya. Di manakah dia mendapat wang bagi membiayai kempennya? soal wanita itu.
Seorang anak perempuannya yang enggan namanya didedahkan berkata: "Punca kenapa dia tidak memilih seorang beragama Kristian di Washington (dalam pentadbiran Obama) ialah kerana Obama bukan seorang yang beragama Kristian. Dia seorang Muslim."
Sebelum ini pemimpin parti Republikan bersetuju dengan Obama bahawa sistem insurans kesihatan memerlukan perubahan tetapi berhujah pelan Obama itu melibatkan kos tinggi dan tidak akan berkesan.
Obama kini mendesak supaya satu pelan baru kesihatan diwujudkan bagi menyaingi insurans swasta.
Setakat ini, AS merupakan satu-satunya negara maju yang tidak mempunyai satu program menyeluruh berhubung penjagaan kesihatan penduduknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: