![]() NIZAM (kiri) bersama tenaga kerja Trek Selebriti bekerja keras untuk Aidilfitri ini. |
PROGRAM Trek Selebriti turut menyediakan program khas sempena Aidilfitri ini yang pastinya mempunyai kelainan berbanding siarannya sebelum ini.
Penerbit Eksekutifnya, Nizam Hamid, berkata setiap stesen televisyen pastinya tidak ketinggalan menyediakan program hiburan berbentuk nyanyian yang sudah dianggap sebuah program wajib setiap kali menjelang Aidilfitri.
“Adakalanya kita harus memberi sesuatu yang berbeza daripada program sebelum ini agar penonton daripada pelbagai peringkat usia dan kaum dapat merasai kemeriahannya. Jika stesen televisyen lain menyajikan program berbentuk hiburan, kita pula akan cuba lari daripada konsep asal program ini dengan menumpukan sasaran penonton yang lebih luas.
“Apa yang sangat berbeza sempena Aidilfitri tahun ini, Trek Selebriti akan mengubah konsep siarannya dengan konsep ala Fear Factor atau gameshow.
“Program ini akan menampilkan tiga pasangan selebriti iaitu Liyana Jasmay bersama Juliana Evans, Along dan Johan (Raja Lawak) serta Jimmy Shanley bersama Farish Aziz akan bersaing sesama mereka,” katanya.
Program yang berkonsepkan gameshow ini mempunyai sasaran yang lebih luas baik peringkat usia mahupun bangsa.
“Bagi menyahut saranan kerajaan dengan mewujudkan 1Malaysia, pastinya program Trek Selebriti X-Treme yang akan disiarkan menerusi Astro Ria pada 24 September jam 9 malam memenuhi hasrat itu.
“Sasaran kita untuk program ini bukan saja tertumpu kepada kaum Melayu saja malah semua kaum di negara ini boleh menyaksikannya memandangkan ia berupa program gameshow. Saya juga percaya semua kaum dan peringkat usia akan terhibur dengan program yang yang akan disajikan nanti,” katanya.
Menariknya pada raya kedua, Trek Selebriti Istimewa Aidilfitri kali ini turut menyajikan sebuah kisah yang lebih menyentuh hati penonton.
“Bagi program Trek Selebriti Aidilfitri kali ini, Abby Abadi akan berhari raya bersama Trek Selebriti dan berkongsi kisah sedihnya buat kali pertama berhari raya tanpa suami di sisi dan berkongsi pengalaman lalu.
“Saya percaya ramai ramai peminatnya akan tertunggu-tunggu bagaimanakah sambutan Aidilfitri Abby tahun ini tanpa suami di sisi. Kita juga mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Abby, keluarga dan anaknya untuk menyiapkan program khas ini.
“Segala-galanya akan diceritakan di dalam program istimewa ini pada raya kedua jam lima petang,” katanya lagi.
Sementara itu, majlis berbuka puasa Trek Selebriti bersama dua rumah anak-anak yatim dianggarkan lebih 50 orang iaitu dari Baitul Ummah, Setapak dan Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat, Setapak akan disiarkan menerusi Trek Selebriti episod 33 pada 17 September ini jam 7 malam dan ulangan pada 10 malam.
Antara artis yang hadir seperti Faizal Tahir, Aliff Aziz, Diana Danielle, Imran Ajmain, Nurul, Tomok, Aizat, Along, Zila, Azrul, Qhaud, Aishah dan ramai lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: