Tuesday, September 15, 2009

'Barang di TAR pun bermutu'


ANTARA sedar atau tidak, kurang seminggu lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri. Ketika inilah kemeriahan hari kemenangan bagi umat Islam kian dirasai apabila hampir keseluruhan pusat beli-belah mengadakan promosi hebat.

Kemeriahan suasana bukan saja tertumpu kepada reaksi penjual malah kerenah pembeli juga menarik lirik mata yang memandang. Apatah lagi, mengunjungi tempat yang menjadi penumpuan orang Melayu membeli-belah sepanjang Ramadan - Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) untuk persiapan raya yang sememangnya menjanjikan pelbagai aneka barang dengan harga berpatutan.

Bagi mereka yang gemar membuat persiapan raya pada saat-saat akhir disebabkan kesibukan kerja, kawasan itulah yang akan dituju kerana sudah pasti barang yang diingini akan didapati dengan mudah. Malah, sudah menjadi tradisi rasanya, apabila baju kurung dan baju Melayu dijual dengan harga murah pada malam raya dan menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin membeli pada harga 'durian runtuh'.

Rasanya tidak salah jika melabelkan dua kawasan itu sebagai syurga membeli-belah kerana ia menjadi tumpuan bukan saja daripada mereka berpendapatan rendah malah turut mencuri perhatian golongan profesional mahupun atasan. Tarikan kawasan ini tidak terhad di situ malah turut menjadi rutin artis tanah air tatkala mempunyai masa terluang apabila tidak terikat dengan kerja.

Rap sempat bersama Pija (Juara Mentor 1), Lufya, Hafiz dan finalis top 12 program realiti One In A Million musim ketiga (OIAM), Han meninjau dan membeli-belah persiapan raya di Jalan Masjid India dan Jalan TAR, baru-baru ini. Bagi pelakon, Hafiz atau nama sebenarnya Hafiz Hanafiah, 25, kedua-dua kawasan itu menawarkan pelbagai kelengkapan raya termasuk kuih, baju Melayu, samping dan bermacam-macam lagi hingga boleh menggugat nafsu berbelanja.

"Seronok datang sini kerana semuanya ada dan tidak perlu terhegeh-hegeh ke tempat lain mencari barang yang diinginkan. Lagipun, saya 'shopping' di sini bukan ketika raya saja malah hari biasa pun ada. Bercakap mengenai persiapan raya, tempat inilah yang akan saya kunjungi apabila sudah 'last minute'.

"Kerja sebagai pelakon kekadang tidak sempat buat persiapan raya kerana sibuk di lokasi penggambaran. Selalunya, saya akan tempah baju Melayu, tetapi kalau tidak sempat, beli di sini pun OK dan tiada masalah. Lagipun, saya lelaki dan inginkan sesuatu yang menyenangkan serta tidak buang banyak masa.

"Raya kali ini, saya akan balik kampung di Ipoh. Persiapan raya, tidaklah banyak memandangkan ekonomi yang agak suram kali ini. Kalau dulu, segala persiapan raya saya serahkan 100 peratus kepada emak dan ayah. Tetapi, kini tanggungjawab itu sudah beralih kepada saya.

"Setakat ini, belum sempat lagi membeli-belah, tetapi saya tidak kisah kerana tahu Masjid India dan Jalan TAR sentiasa terbuka untuk orang seperti saya," katanya.

Lain pula cerita mengenai bintang kelahiran Akademi Fantasia musim keenam (AF6), yang juga pelakon, Lutfyah Sheikh Omar, 24, atau Lufya. Melihat gerak-gerinya pada petang itu, nampak seperti dia kekok atau tidak pernah jejak ke situ. Justeru, timbul persoalan sama ada gadis tinggi lampai ini mempunyai pandangan skeptikal membeli-belah di kawasan yang tidak menawarkan barang berjenama kerana berasakan diri sudah seperti selebriti terkenal tanah air."Saya tidak pernah rasa diri ini terkenal kerana banyak lagi peringkat yang perlu saya lalui dan pelajari. Malah, saya rasa artis terkenal tanah air juga tidak segan membeli-belah di kawasan ini. Saya sebenarnya baru saja sampai dari Johor Bahru. Jadi, agak keletihan dan pening sikit.

"Lagipun, saya tidak berapa 'familiar' dengan kawasan Masjid India dan Jalan TAR kerana jarang berkunjung ke sini. Bukan kerana memilih, tetapi sebab kedua-dua kawasan ini sibuk dan selalu sesak. Disebabkan itu, untuk raya saya gemar membeli-belah di kawasan Damansara, dekat dengan rumah.


"Kalau ada masa, saya tidak kisah membeli-belah di dua kawasan ini. Saya tahu, sebagai artis mereka juga orang biasa dan tidak kisah mengunjungi tempat sebegini.

"Malah, tidak pernah terlintas di hati, tidak mahu pergi ke kawasan ini kerana ingin jaga status sebagai artis.

"Bagi saya, tiada apa yang membezakan kami (artis) dengan yang lain. Memanglah ada masanya artis perlu menjaga 'pride' mereka, tetapi, itu tidak bermaksud kami hanya memilih pakaian jenama saja. Saya lihat barang dan baju di sini pun cantik dan mempunyai kualiti tersendiri. Tidak bermaksud baju yang dijual di butik saja cantik dan bermutu," kata Lufya yang akan beraya di Johor Bahru pada hari raya pertama nanti.

Berbeza pula dengan juara program realiti Mentor musim pertama, Norafizah Mohd Yasin, 21 atau Pija. Baginya, kedua-dua kawasan itu sudah amat sinonim kerana sebelum ini dia pernah berniaga di situ.

"Walaupun sudah bergelar artis, saya tidak malu turun ke sini membeli-belah. Mungkin, akan ada mulut orang mengatakan artis tidak ada duit dan sebab itulah mereka turun membeli-belah di sini.

"Tetapi, untuk pengetahuan semua, ada juga baju di sini lagi mahal daripada butik. Lagipun, saya suka membeli persiapan raya di sini kerana suasananya meriah dan juga terasa seperti esok akan menjelang Aidilfitri. Ada sekali itu, saya borong baju kebaya, kuih raya, permaidani kerana harga yang amat murah," katanya.

Bagi Rehana Mohd Yunus, 22, atau Han finalis top 12 OIAM, menyangkal pendapat sesetengah pihak mempertikaikan kualiti kuih raya yang terjual di situ. Katanya, pengunjung perlu tahu tempat mana yang sedap dan bermutu.

"Ramai orang kata jangan beli kuih raya di sini kerana tidak sedap. Bagi saya, tiada apa yang beza pun jika beli di tangan orang kerana yang penting kita kena pandai cari yang sedap.

"Di sini pelbagai kuih raya ada dan harganya pun murah serta tidak membebankan pengguna ketika ekonomi yang agak suram ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: