Tuesday, September 15, 2009

Dengarnya...: Norzizi selamat bersalin anak kedua


DALAM sibuk umat Islam membuat persiapan menjelang Aidilfitri, Cik Normah dapat tahu Norzizi Zulkifli pula sibuk mengulit orang baru dalam hidupnya iaitu bayi lelaki keduanya. Pelakon teater itu selamat bersalin pada 7 September lalu di Hospital Gleneagles.

Wah, Cik Normah juga diberitahu nama anak lelakinya juga menarik iaitu Tulus Jiwa Ramadan Bayu yang seberat 3.5 kilogram. Berganda cerialah Aidilfitri Norzizi dan ibu bapanya Norzizi Zulkifli serta Normala Omar. Tahniah Cik Normah ucapkan.

Dalam pada itu, Cik Normah juga gembira melihat perkembangan kehidupan Que Haidar dengan isterinya, Linda Jasmine di samping anak tirinya, Qalif. Bulan depan, Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, Que akan bergelar bapa kerana bayi sulung yang dikandung Linda ketika ini dijangka dilahirkan secara pembedahan pada 26 Oktober.

Sepatutnya bayi perempuan itu dilahirkan pada November. Cik Normah difahamkan tidak ada masalah jika bayi dilahirkan awal pada tarikh sepatutnya, itu pun jika keadaan bayi itu matang. Pemilihan tarikh 26 Oktober itu mempunyai signifikan tersendiri kerana Que lahir pada 26 Januari. Iyalah senang nak ingat cuma bulan saja berbeza.

Lucunya, ketika kawan sepejabat Cik Normah usik Qalif sama ada dia nak bayi perempuan atau lelaki, pintasnya dia nak bayi lelaki. Katanya, kalau dapat lelaki boleh jadi temannya bermain. Tapi nampaknya, Qalif kena akur sebab dia akan dapat adik perempuan.

Insya-Allah, Linda akan melahirkan anak di Gleneagles, Ampang. Ketika ini, baik Linda mahupun Que, mereka begitu teruja membeli pakaian anak sampai berlebih-lebihan hingga mendapat ‘amaran’ daripada ibu bapa masing-masing. Biasalah Que pun teruja nak bergelar bapa.

Buat Que, Cik Normah doakan semoga dapat mengekalkan kebahagiaan yang sedang dirasai kini dengan sebaik mungkin. Semoga Que akan terus sukses dan Cik Normah tengok prestasi lakonannya hari demi hari semakin meningkat. Que antara hero pelapis bergelar suami dan Insya-Allah gelaran bapa tak lama lagi yang terus mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah. Syabas!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: