Monday, September 14, 2009

Karier suam-suam kuku



Ketika hadir pada majlis sambutan berbuka puasa di Serambi Pak Engku di Shah Alam Selangor baru-baru ini kelibat gadis manis ini menjadi perhatian tetamu.

Nas Adila punya pakej yang menarik sebagai artis, rupa paras yang menawan, punya bakat nyanyian sehingga dinobatkan sebagai Naib Juara Bintang Asli 2001 tetapi sehingga kini kehadirannya ibarat suam-suam kuku.

Malah albumnya juga tidak ke mana dan tidak ada satu lagu pun nyanyiannya boleh menjadi siulan mahupun kerap diputarkan di corong-corong radio.

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan Nas Adila yang tersingkir awal di Akademi Fantasia 7 adalah disebabkan sikapnya yang mengada-ngada ataupun ‘gedik’ dan tidak serius bertanding.

Adakah semua perkara yang tidak menjadi ini memang berpunca dari kesilapan dirinya? Ataupun ada pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab bagi membantunya membina nama sebagai artis disegani?

Malah secara peribadi pada pandangan penulis tidak adil menghakimi Nas Adila tanpa dirinya diberi ruang membela diri, jika benar beliau gedik perkara itu atas dasar Nas Adila menjadi artis yang bertemu ramai orang, pelbagai karenah manusia perlu ditangani.

Muka perlu ditebalkan, senyum perlu sentiasa dilontarkan dan semua orang perlu dilayan mesra baik rakan wartawan, artis sehinggalah peminat.

Jika tidak manis muka dan mesra, artis pula dituduh sombong serta susah pula mendapat undangan persembahan.

Pengurus Nas Adila, Reez berkata, disebabkan kegagalan syarikat rakaman terdahulu mempromosi dan memasarkan album, kehadiran Nas Adila tenggelam timbul.

Untuk mengangkat nama baru memerlukan bukan sahaja usaha daripada artis tetapi syarikat rakaman memainkan peranan besar menentukan kejayaan masa depan artisnya.

“Tetapi apa yang berlaku syarikat terdahulu gulung tikar, pengurus yang menguruskan Nas pula gagal melaksanakan tanggungngjawabnya sebab itu Nas seperti tenggelam,” katanya yang kini sedang sibuk merencanakan kerjaya Nas Adila.



Tidak buru VVIP

Saat ditebak persoalan sebenarnya Nas Adila sama sahaja seperti segelintir artis yang terjun ke dalam industri sekadar memburu glamor dan golongan VIP untuk dijadikan suami, Nas menyifatkan tuduhan itu tidak adil.

“Ada segelintir artis yang memburu VIP tetapi itu hak mereka untuk meneruskan kehidupan kerana kita tidak tahu mungkin mereka ada masalah sendiri, keluarga mereka yang susah hakikatnya ia juga berlaku kepada orang biasa.

“Saya bertemu dengan bekas tunang dan bercinta bukan kerana dia kerabat tetapi sudah ditakdirkan jadi tidak adil melemparkan tuduhan seperti itu,” katanya yang bersyukur masih belum menjadi mangsa serangan mak-mak datin.



Raya bersendirian


Walaupun hubungan bersama bekas tunang sudah berakhir dan tidak berhubung lagi Nas Adila tidak menyimpan dendam sebaliknya amat berterima kasih kepada bekas tunangnya itu. Malah tidak melupakan kenangan silam menyambut syawal bersama bekas tunang, Nas kali ini tegar beraya bersendirian dan hanya bertemankan ahli keluarga di sisi.

“Tahun lepas kami memilih baju raya yang sama, masa itu saya memilih beraya di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke kampung namun kali ini saya sendirian dan beraya bersama keluarga,” katanya yang bakal menganjurkan majlis rumah terbuka khusus bagi peminatnya.

Enggan terus diburu resah perasaan Nas Adila kini lebih senang berkawan dengan sesiapa sahaja walaupun diasak berulang kali adakah hatinya kini dimiliki Nas lebih senang mengatakan tidak ada ikatan lebih dari sekadar persahabatan.

“Saya lebih senang tumpukan kerjaya dahulu saya telah keluar single pertama bertajuk Salah Siapa dan kini saya dalam proses mengeluarkan album mini selewatnya Februari depan. Konsepnya rahsia dan bagi para peminat ini adalah hadiah di atas kesetiaan mereka,” katanya yang hadir di majlis berbuka puasa bersama lebih 30 ahli kelab penyokongnya.

Sering menerima undangan persembahan pentas, Nas Adila bagaimanapun tetap mencuri masa terluang untuk memenuhi undangan dari badan-badan amal seperti anak yatim, kebajikan mahupun OKU.

“Walaupun sibuk saya masih memenuhi undangan daripada badan kebajikan kerana saya rasa walau sesibuk mana pun kita, kita harus prihatin dengan keadaan sekeliling,” katanya yang telah memenuhi lebih 10 undangan berbuka puasa daripada badan kebajikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: