Monday, September 14, 2009

Program istimewa sepanjang raya pertama di TV1

Dalam meraikan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini pastinya semua stesen televisyen menjanjikan program-program terbaik mereka dalam usaha menyuntik kepuasan di kalangan penonton setia salurannya. Sambil menikmati juadah istimewa ketupat rendang dan berkumpul seisi keluarga, kesempatan paling bermakna apabila menonton variasi program-program menghiburkan terutama ketika hari pertama menyambut perayaan ini.

Justeru sepanjang hari raya pertama yang disambut pada 20 September 2009 (Ahad) ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan variasi 5 program menarik iaitu Selamat Hari Raya Jiran Tetangga (jam 10.05 pagi), Citarasa Selebriti Bersama Dato’ Siti Nurhaliza (jam 11.05 pagi), Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre (jam 2.05 petang), Syawal Di Hujung Senja (jam 4.05 petang) dan Konsert Anuar Zain (jam 9 malam) di TV1.

Program muzikal komedi, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga, membuka tirai raya dengan menampilkan barisan pelakon komedi dua generasi lama dan baru antaranya Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Satar, Syarifah Shahira, Norlia Ghani,Angah Raja Lawak, Along Cham, Diana Danielle, Imuda dan Accapan. Sitkom selama 1 jam 30 minit juga diselitkan dengan selingan lagu-lagu antaranya, Kopi Dangdut, Milik Siapakah Gadis Itu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Suara Takbir.

Jika sepanjang Ramadan lalu Datuk Siti Nurhaliza menghidangkan menu-menu untuk juadah berbuka puasa, khas lebaran ini disiarkan pula Citarasa Selebriti Bersama Datuk Siti Nurhaliza istimewa Hari Raya dengan menu istimewa hari raya. Kepada anda yang tidak berpeluang menyaksikan Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre, pada Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 yang lalu, RTM turut membawakan konsert ini yang menampilkan Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Syafinaz Selamat, Man Kidal dan Steve Thornton dan Koir Kebangsaan mengiringi persembahannya.

Turut dikongsi sama program Syawal Di Hujung Senja terbitan RTM Sabah yang mengisahkan suka duka seorang warga tua yang bernama Pakcik Yassin berusia lingkungan 80-an. Dia membawa hati yang duka ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut sejak setahun yang lalu dikongsi bersama dengan teman senasib Pak cik Manaf yang telah 20 tahun terputus hubungan dengan anak dan saudara-mara yang jauh di semenanjung tanah air.

Menyusul Konsert Lelaki Ini Anuar Zain yang pernah dipentaskan di Istana Budaya. Konsert selama dua jam ini mempersembahkan lagu-lagu hitsnya seperti Sesuci Cintamu, Mungkin, Kain Pelekat, Bila Resah, Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Kau Bunga Cintaku, Teman Terulung, Permata, Ketulusan Hati, Perpisahan. Jangan lupa saksikan program-program istimewa raya bersama RTM nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: