Monday, September 14, 2009

Putus kasih?




Scha Alyahya akui malu dan mula rimas saat ditanya mengenai hubungannya dengan Fahrin Ahmad

MEMILIH laluan hidup sebagai selebriti ada kalanya ditafsirkan seperti mengizinkan segala sisi hidup dibentangkan kepada khalayak. Mahu atau tidak, ia seperti syarat yang harus dilalui tanpa prejudis. Tidak kuat semangat dan salah percaturan, ia seperti menempah 'maut'.

Biar ada selebriti yang tegar berahsia mengenai sesuatu perkara terutama kisah peribadi, pada akhirnya ia dapat juga dihidu dan tidak mampu berselindung lagi. Tak ramai artis yang bertuah mampu menyimpan erat rahsia peribadi dan ada juga yang memilih untuk bersikap jujur mendedahkan perihal sebenar.

Semuanya terpulang kepada empunya badan. Hubungan Fahrin Ahmad dan Scha Alyahya juga antara yang terus menjadi perhatian dan sentiasa menjadi bahan mengisi dada akhbar dan majalah. Bersikap terbuka mengenai status hubungan mereka juga bukan alasan yang mampu menyelamatkan diri sebaliknya ia seperti menjerat diri.

Dalam hal ini, tidak boleh dipersalahkan Scha mahupun Fahrin, cuma ada kalanya faktor keadaan yang menyebabkan sesuatu yang tidak diingini berlaku tanpa disedari. Hampir setiap temu bual yang membabitkan mereka, pastinya soalan ‘cinta’ dan bila hendak kahwin diaju.

Soalan sebegitu menjadi lumrah dan sentiasa menjadi modal untuk ditanya wartawan. Bijak menepis atau mengelak, mungkin sesekali boleh selamat. Tapi jika bersikap seperti Scha yang selamba dan tidak tahu berdiplomasi atau berselindung, niat jujur barangkali memberi natijah sebaliknya.



“Di laman sosial Facebook, peminat saya sudah mula bising apabila soal kahwin menjadi tajuk utama penulisan artikel mengenai saya. Scha faham tugas wartawan mereka hanya melaporkan apa yang ditulis. Cuma sejujurnya saya hairan dalam banyak-banyak isu, soal kahwin juga yang akan terpilih menjadi tajuk utama.

“Komen peminat saya di laman itu, mereka cakap saya tidak perlu memukul canang atau kecohkan soal kahwin. Saya faham niat mereka tapi mahu atau tidak, saya hanya menjawab persoalan yang diajukan wartawan. Peminat tak berkenan sedangkan hal itu di luar bidang kuasa saya,” katanya ketika ditemui dalam sesi fotografi sempena lebaran di butik Bahari Asyek di Plaza Shah Alam minggu lalu.

Kali terakhir Scha dikerumuni wartawan ialah ketika majlis berbuka puasa anjuran Astro dua minggu lalu. Bayangkan selepas itu, hampir kebanyakan surat khabar dan majalah mula bertali arus menyiarkan cerita hubungan mereka.

Difahamkan ketika itu, hubungan mereka sudah mula goyang biarpun Scha masih berlapik memberi jawapan selamat. Mungkin juga, masa itu tidak sesuai untuk menjelaskan apa yang terjadi. Secara baik juga, pelakon kelahiran Sungai Petani itu berharap supaya hubungan mereka tidak lagi digembar-gemburkan.

Biarpun sedikit keletihan kerana sedang rancak melunaskan penggambaran Awan Dania musim kedua, Scha masih bertahan meluangkan masa ke sesi fotografi ini. Dalam keadaan sepantas kilat, empat pasang busana milik butik Zahalina Ab Rahman itu digayakan dengan penuh pesona.

Sejurus selepas berbuka puasa dan sesi temu bual dijalankan, Scha harus kembali ke lokasi penggambaran drama Awan Dania 2. Temu bual santai yang diadakan sedikit sebanyak berjaya mendasari gejolak hati pemilik bernama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu terus-terusan dikaitkan dengan Fahrin lagi. Terus terang saya rimas dan lemas dengan kisah ini apabila terus menjadi tumpuan. Peritnya rasa seperti susah saya nak bernafas. Pergi ke mana-mana saja orang asyik tanyakan dia.

“Bayangkan dalam soal kerja pun ada yang mahu menggandingkan kami dalam drama atau telefilem. Ralat juga rasanya apabila kisah kerjaya ditenggelami soal peribadi. Lihat saja contoh hubungan Nicole Kidman dan Tom Cruise. Ketika mereka bersama, orang hanya nampak Nicole sebagai kekasih Tom bukannya bakat yang ada.

“Selepas mereka berpisah, Nicole melonjak naik. Saya sendiri harus memikirkan langkah ke depan. Apa juga keputusan yang diambil ini harapnya tidak akan menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya sendiri tidak tahu bila saya akan kahwin dan sampai bila sesebuah hubungan itu akan bertahan,” katanya sambil memberitahu mula naik malu apabila ramai yang bertanya soal kahwin.

Bagaimanapun 10 bulan mengenali Fahrin, Scha sedar banyak perkara baik yang dikenang sehingga kini. Kata Scha, lelaki berbadan sasa itu banyak mengajarnya banyak benda yang penting untuk terus dipraktikkan.

“Sebagai contohnya dalam soal bagaimana untuk berdepan dan mempertahankan diri dengan pihak yang bijak memanipulasi dan mencipta spekulasi. Dia turut mengajar Scha untuk sentiasa mempamerkan diri sebagai seorang yang tegas di depan orang. Malah soal menjaga pendapatan dan kemahiran hidup dan rumah tangga turut dikongsinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, petang ini satu sidang media mengumumkan pengacara dan perunding tari Sehati Berdansa musim ketiga akan diadakan. Persoalan sama ada betul atau tidak telahan dan andaian orang bahawa Scha akan bergandingan dengan Fahrin hanya terjawab hari ini.

“Jika diberi mandat, saya kena mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal. Terpilih itu bermaksud saya kena cuba melakukan sehabis baik. Ke depan, atas paksi profesionalisme jika kami digandingkan dalam apa juga medium, saya akan bekerjasama. Saya pun ramai kawan artis yang boleh membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Scha turut ditanya kononnya sudah mula berlagak diva di set penggambaran drama arahan Azizi ‘Chunk’ itu. Malah, yang paling lucu, duta produk Bio Essence dan Silky Shine itu dikatakan menjadi kesayangan pengarah itu.

“Saya tahu gosip ini sudah mula tersebar. Saya tidak melatah. Senang cakap, saya hanya lunaskan kerja yang diamanahkan dan orang lain pun harus melakukan perkara yang sama. Apa yang penting ialah komunikasi. Saya jenis yang akan cakap terus dengan elok apa-apa hal yang tidak puas hati contohnya soal solekan.

“Jika karakter Scha tidak memerlukan solekan tebal kenapa perlu berbuat demikian. Apabila saya mempersoalkan perkara itu, mulalah keluar cerita saya perasan hebat dan berangan diva. Kalau saya dikatakan diva, saya tak pernah lambat ke lokasi. Saya juga tidak mengarah orang buat itu dan ini kerana semuanya dilakukan pembantu peribadi,” katanya yang akan berehat seketika daripada menjalani penggambaran drama Awan Dania 2 untuk bercuti menyambut lebaran.

Insya-Allah, berkemungkinan besar, Scha akan kembali bekerja mulai raya kelima. Tahun ini, Scha beraya di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Sungai Petani kerana kebanyakan sanak saudara akan beraya di Kuala Lumpur.

Sedangkan lidah lagi tergigit

SEMENTARA itu, Fahrin yang dihubungi Hip untuk ditanya lanjut mengenai hubungannya dengan Scha memberitahu apa yang terjadi antaranya dengan pelakon itu sebagai resam hidup. Seperti kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kita sesama manusia.

“Saya rasa situasi yang dihadapi ini boleh diaplikasikan kepada mana-mana pasangan. Lumrah dalam hubungan pasti ada fasa turun naik. Orang yang berkahwin pun boleh ‘bergelora’, inikan pula pasangan bercinta yang tidak mempunyai ikatan yang sah.

“Tipulah kalau saya cakap tiada masalah dalam hubungan kami. Normal perkara itu. Setakat tercuit atau tercubit sikit, semuanya turut dilalui pasangan lain juga. Dalam soal jodoh, saya tidak mampu menjangka sejauh mana hubungan itu akan pergi jauh,” katanya ringkas seperti melindungi sesuatu.

Dalam kenyataan Fahrin sebelum ini pun, jejaka tampan ini pernah berbicara mengenai soal kesediaan untuk bergelar suami apatah lagi usianya kini sudah mencecah 30 tahun. Persoalan di sini, siapa calon paling tepat yang bakal menjadi suri hatinya? Andai Scha yang terpilih bergandingan dengan Fahrin untuk Sehati Berdansa musim ketiga, apakah sejarah yang pernah terjadi pada musim kedua itu akan berulang kembali?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: