Saturday, September 12, 2009

Warna air jadi tarikan


AIR minuman yang berwarna-warni dan dicampur dengan ais mencuri tumpuan pengunjung di bazar Ramadan.


BUKAN hanya kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, malah sesiapa sahaja yang berpuasa pasti akan teringin menikmatinya sebaik melihat aneka minuman pelbagai warna di bazar Ramadan.

Penulis yang sudah berusia lebih dua dekad ini pun menelan air liur tatkala melihat kepelbagaian air yang dijual ketika menyusuri gerai-gerai di bazar Ramadan dekat Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa tidaknya, bekas air minuman yang dijual itu diperbuat daripada plastik jernih sekali gus menampakkan ketulan ais yang menyegarkan. Selain itu, air minuman yang telah dibungkus di dalam plastik kecil pula disusun dan dibiar melambak di atas meja. Macam-macam warna ada. Ada air berwarna merah, hijau, oren, kuning, putih susu dan hitam berisi cincau.

Dalam pada mata meliar melihat kerancakan aktiviti jual beli pada kira-kira pukul 5.30 petang, penulis ternampak sebuah gerai menjual air jagung yang kelihatan agak hebat 'persembahannya'.

Pemiliknya, Aznorrizan Ismail, 29, dari Kuala Lumpur sibuk membungkus air untuk pelanggan yang tidak putus-putus singgah di gerainya.

Menamakan gerainya, Budak Bujang, beliau sudah lebih 10 tahun menjual air sepanjang bulan Ramadan. Antara minuman yang dijualnya ialah air jagung, air sirap tembikai, air buah asam, air kelapa, air tebu, air cincau dan air limau.

Menurutnya, minuman paling istimewa di gerainya adalah air jagung yang sering menjadi pilihan pelanggan, selain air tebu dan air kelapa muda.


BERBUKA puasa dengan air minuman panas dan sejuk sudah menjadi kebiasaan dan amalan masyarakat Malaysia. - Gambar hiasan


"Warna air jagung ini yang jadi 'emas' buat saya," kata Aznorrizan berkias.

Tanpa berselindung, beliau berkongsi resipi air jagung tersebut.

Diwarisi daripada seorang rakan, katanya, air jagung yang dijual itu diadun bersama santan, kuning telur, jagung di dalam tin, susu cair dan garam.

Menurutnya, kalau guna pewarna semata-mata, air jagung akan hilang keaslian rasanya.

"Kalau nak lagi cantik warna, tambah lebih santan. Kalau nak rasa lagi sedap, tambah jagung," ujarnya sambil menunjukkan tin berisi jagung kepada penulis.

Sementara Aznorrizan bercerita mengenai keistimewaan air jagung, saya sempat menoleh ke arah pembantunya yang ketika itu sedang melayan seorang pelanggan yang mahu membeli air jagung.

Kelihatan, pembantu tadi mengacau air di dalam bekas besar itu sebelum mencedok untuk dibungkus.

Ketika dia mengacau air bersama ais di dalam bekas itu, kepekatan warna kuning air jagung jelas kelihatan. Sedikitpun, tidak menunjukkan air itu menggunakan campuran pewarna semata-mata.

"Biasanya, pelanggan menentukan sendiri kuantiti gula. Ada yang nak lebih dan sebaliknya. Sukatan kami adalah dua cedok kecil air gula untuk satu cawan air.

"Bagi pelanggan yang nak bungkus, kami bagi satu bungkus kecil minuman, selain air gula," katanya.

Memulakan jualan seawal pukul 3 petang, Aznorrizan sentiasa memastikan setiap pelanggan berpuas hati apabila memilih air minuman di gerainya untuk berbuka puasa.

"Saya tak suka menipu. Ada orang jual air...,warna sahaja nampak gempak, tetapi rasa tak ada. Saya akan buat sampai saya sendiri rasa sedap, baru saya jual," ujarnya.


SUASANA di sebuah bazar Ramadan yang dipenuhi pengunjung pelbagai ragam dalam memilih juadah berbuka. - Gambar hiasan


Bagi seorang pelanggan, Nasir Munidan, 20, membeli air minuman istimewa yang mempunyai warna yang menarik pada bulan puasa seperti menjadi satu 'kewajipan' kepada kebanyakan orang.

Ini kerana, katanya, jika pada bulan-bulan lain, keinginan untuk menikmati air minuman berwarna tidak seperti pada bulan puasa.

"Saya selalu beli minuman di bazar Ramadan untuk buka puasa. Macam-macam jenis air ada dijual. Biasanya, air yang menjadi pilihan saya adalah yang manis dan berwarna," katanya.

Beliau menambah: "Tengok warna sahaja...,dah buka selera. Lapar, boleh tahan lagi, tetapi kalau air..., memang kecundang," katanya di gerai Aznorrizan.

Sementara itu, seorang lagi penjual air minuman berperisa di Jalan Masjid India, Khairul Megat, 15, pula memilih tema minuman berwarna dan mempunyai susu untuk dijual pada bulan Ramadan ini.

Berbeza dengan sambutan jualan air pada bukan musim Ramadan, dia memberitahu, kebanyakan pelanggan cenderung memilih air yang manis untuk berbuka puasa.

"Perniagaan air pada bulan puasa lebih baik daripada hari-hari lain. Saya jual air dalam cawan pada harga RM1 satu. Semua ada perisa dan pewarna yang boleh menarik pelanggan," katanya.

Sementara itu, pelanggannya, Nur Aqilah Hamzah, 19, memilih minuman yang manis sebagai minuman kedua selepas menikmati air masak ketika berbuka puasa.

"Biasanya, saya beli air yang ada warna, sejuk dan manis di bazar Ramadan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: