KEJAYAAN memenangi program realiti Raja Lawak musim ketiga memberi ruang kepada kumpulan Sepah bertapak dalam dunia seni tanah air. |
Sepah yang dianggotai Shahmira Muhamad atau Shuib, 24; Mohd Noor Murad (Mamat), 23, dan Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), 23, diberi kepercayaan pihak pengurusan stesen radio, Era FM untuk mengendalikan slot Sepah Era setiap Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Tidak cukup dengan itu mereka turut tampil dalam telemovie, Bujang Sepah Silalalitamplom dan Lemang Sepah yang dijadualkan siaran pada hari raya pertama di Astro Prima pada jam 12 tengah hari.
Bukan saja meraih populariti menerusi stesen radio, malah telemovie yang disiarkan menerusi saluran Astro turut mendapat maklum balas baik peminat.
Trio berasal dari Kulai, Johor ini turut diberi peluang mengendalikan Riuh Pagi Era menggantikan Aznil Nawawi dan Din Beramboi ketika bercuti selain bergandingan dengan Dina juga apabila penyampai Era, Rey bercuti, baru-baru ini.
Pengisian sementara itu mencetuskan persoalan penampilan mereka di stesen radio berkenaan ibarat ‘tangkap muat’ apatah lagi apabila sering bertindak sebagai pengganti.
Begitupun, ia tidak menjadi masalah bagi Sepah, malah mereka menilainya pada sudut positif memandangkan mereka masih hijau dalam dunia seni apa lagi sebagai penyampai radio.
Menurut Shuib, biar apapun tanggapan masyarakat namun dia tetap menganggap ia satu kelebihan kerana bukan semua individu berpeluang menjadi penyampai radio.
Secara tidak langsung ia bukan hanya melatih mereka membiasakan diri dengan penggunaan sistem di konti, malah menambah keserasian sesama mereka.
“Bagi saya ia satu kelebihan kepada kami, biarpun sebelum ini kami hanya tampil menerusi program setiap Sabtu. “Sebenarnya ramai yang tidak tahu bukan mudah untuk mengendali panel di konti.
“Ia ternyata berbeza dengan berlakon dan lebih sukar daripada membuat lawak.
Mamat pula turut mempunyai pandangan yang sama, malah menganggap ia permulaan baik buat mereka.
Dia yang meminati bidang penciptaan lagu pernah berangan-angan mengikut jejak langkah komposer M Nasir, bahkan dia sendiri tidak menyangka dapat berada pada tahap sekarang.
“Meraih gelaran Raja Lawak musim ketiga bagaikan satu rahmat. Impian menjadi sebahagian daripada keluarga stesen radio Era bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
“Sejak dulu lagi saya memang minat melihat aksi penyampai radio Hot FM di konti pada setiap pagi di televisyen. Diberi peluang sebagai penyampai radio di Era juga bagaikan satu keajaiban buat saya.
“Setiap strategi yang disusun pihak pengurusan stesen radio itu di lihat dari sudut positif. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan orang.
“Setahu saya hampir semua penyampai radio di sini berpendidikan dan graduan dari universiti. Bukan seperti kami yang hanya tamat sekolah menengah.
“Ini juga salah satu proses pembelajaran dan mendatangkan kebaikan kepada kami,” katanya.
Bagi Jep pula pihaknya cukup berterima kasih kepada Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran kerana menaruh kepercayaan tinggi kepada mereka untuk menggantikan penyampai senior yang bercuti.
Menurut Jep, sebelum ini dia pernah menaruh impian untuk duduk di dalam konti, malah berasa bertuah kerana dipilih pihak pengurusan radio berkenaan tanpa melalui peringkat uji bakat.
Malah, bersiaran pada waktu puncak dan menggantikan tempat penyampai radio berpengalaman dan ikon pengacaraan seperti Pak Nil (Aznil Nawawi) dan Din Beramboi bukan mudah.
“Kebanyakan penyampai radio Era memberi kerjasama dan tunjuk ajar yang baik kepada kami.
“Kami bagaikan satu keluarga. Kami juga menerima respons positif daripada pendengar yang kerap membuat permintaan lagu tema untuk telemovie kami,” kata Jep ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru.
Mereka menanda tangani kontrak enam bulan bersama stesen radio yang bernaung di bawah MMP Radio Network sejak 6 Mac lalu.
Begitupun segala perjalanan seni terpaksa diuruskan mereka sendiri memandangkan tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman atau diselia pembantu peribadi yang membimbing mereka selepas berakhirnya program Raja Lawak.
Ditugaskan menggantikan tempat Rey yang bercuti pada awal bulan Ramadan adalah satu ujian besar buat mereka yang sebelum ini tidak pernah berenggang atau berjauhan daripada keluarga masing-masing ketika berpuasa.
Malah, mengenangkan masa lalu ketika menunaikan ibadat puasa di samping keluarga cukup manis buat mereka.
Masing-masing mengakui mengharungi pengalaman yang berbeza pada Ramadan kali ini.
Namun mereka menganggap pengorbanan berjauhan daripada keluarga satu cabaran buat mereka dalam mengejar impian.
Begitupun, riuh-rendah dibuatnya apabila Sepah bersama naib juara Raja Lawak musim ketiga, Nuur Jihan Musa atau Jihan serta dua penyampai radio Era, Adifashla dan Burn berkumpul untuk berbuka puasa di Kafe Astro. Pelbagai kerenah dapat disaksikan dan memperlihatkan hubungan akrab antara mereka.
Menurut Shuib, mengimbau kenangan berpuasa bersama keluarga cukup menarik kerana semua juadah kegemaran dan enak disediakan ibu.
“Memang kami terasa sangat menjalani puasa kali ini apabila berjauhan daripada keluarga.
“Sebagai orang bujang semua juadah berbuka terpaksa dibeli di kedai.
“Kami teringin juga merasa pelbagai jenis makanan yang cukup terkenal di Johor seperti mi rebus dan nasi ambang.
“Semuanya berbeza di sini walaupun ada sesetengah Bazar Ramadan yang menjual makanan tradisi negeri Johor namun rasanya tidak sama,” katanya.
Sementara itu, Jihan menganggap pertemuan itu ibarat mengimbau detik manis ketika sama menyertai program Raja Lawak dulu, malah mengakui hubungan mereka bagaikan satu keluarga.
“Kami jarang berjumpa berbanding ketika menyertai Raja Lawak dulu.
“Begitupun masih menghubungi antara satu sama lain jika kelapangan.
“Kami bertemu jika ada aktiviti atau sama-sama terbabit dalam lakonan mahupun aktiviti seni.
Kalau bertemu memang riuh-rendah dibuatnya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang sebelum ini menyertai Raja Lawak.
“Pada saya Sepah layak digelar pelawak kerana adunan tiga individu yang kerap tampil dengan idea lawak secara spontan,” kata Jihan dalam proses menyiapkan penggambaran filem, Adik Manja The Return.
Adifashla dan Burn pula mengakui kumpulan berkenaan mempunyai tarikan dan bakat seni yang tersendiri.
Adi dan Burn yang dicungkil bakat menerusi satu lagi program realiti Astro, Akademi Fantasi mengakui suasana tenang menjadi kecoh apabila bertemu kumpulan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: