
MONZA - Pelumba kereta Formula Satu (F1) dari Britain, Lewis Hamilton, 24, belum lagi bersedia untuk berkahwin dengan penyanyi jelita daripada kumpulan Pussycat Doll, Nicole Scherzinger, 31, lapor sebuah akhbar semalam.
Juara dunia pada tahun lalu itu dilaporkan memberitahu artis dari Amerika Syarikat (AS) itu bahawa dia tidak bersedia untuk melangsungkan perkahwinan dan memiliki anak.
Berita terbaru itu sekali gus menamatkan spekulasi yang tersebar beberapa bulan lalu bahawa pasangan tersebut bakal mengikat pertunangan.
Hamilton yang memulakan perlumbaan pada petak pertama dalam F1 Grand Prix Itali di sini semalam memaklumkan berita mengejut itu kepada Nicole kira-kira 10 hari lalu.
Satu sumber rapat dengan pasangan itu mendedahkan, Hamilton yang mula mengenali Nicole dalam satu majlis anugerah MTV pada November 2007 lalu dikatakan bertegas untuk menamatkan hubungan mereka.
"Hamilton berasa berada di bawah tekanan untuk menjadikan hubungan mereka berada pada peringkat yang seterusnya namun dia belum bersedia untuk menjadi tunang orang, kemudian berkahwin dan memiliki anak kerana dia masih muda.
"Sebagai orang muda, mereka menghabiskan banyak masa tetapi Hamilton memang tidak bersedia untuk meninggalkan zaman muda untuk hidup bersama Nicole. Dia menyifatkan hubungan jangka panjang mereka amat mencabar," kata sumber.
Menurut sumber itu, Nicole terkejut dengan tindakan Hamilton.
Perkembangan itu dijangka memberi kesan terhadap Nicole kerana dia akan menjadi hos konsert pop F1 di Singapura tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: