Monday, September 14, 2009

Semurah RM60


BAYARAN sewa yang dikenakan bermula dari harga serendah RM60.


ADAKAH anda seorang peminat fanatik beg tangan? Anda inginkan setiap keluaran beg berjenama tetapi tidak mempunyai kuasa beli atau status kewangan yang stabil? Pernahkah anda menghadapi masalah mengitar semula beg yang bertimbun-timbun di dalam almari kerana ia sudah tidak lagi sesuai dengan trend semasa?

Situasi di atas mungkin dihadapi oleh ramai daripada kita. Kalau setakat beberapa ratus ringgit, anda mungkin masih boleh membelinya selepas mengumpul duit selama beberapa bulan. Tetapi, bayangkan jika harganya mencecah ribuan ringgit seperti beg tangan berjenama Louis Vuitton.

Itulah 'dilema' Azlina Mokhtar, 35, yang merupakan seorang pemuja beg tangan keluaran terbaru. Bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat multinasional, Azlina faham bahawa dia tidak mampu bertukar-tukar beg untuk dibawa ke pejabat atau majlis bak selebriti.


SELAIN disewa, pelanggan boleh membelinya pada harga yang berpatutan.


"Saya terpaksa mengulang koleksi beg lama beberapa kali. Ia agak menjemukan," kata ibu kepada dua orang anak itu.

Dengan pelancaran butik Bags in the City di Kuala Lumpur, senario tersebut pasti berubah. Butik yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu menghimpunkan variasi jenama antarabangsa dengan kadar sewa mingguan yang berpatutan.

Sebenarnya, perkhidmatan sewa beg tangan menjadi fenomena baru dan mendapat sambutan hangat di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Perancis, Denmark, Hong Kong, Jepun dan Singapura. Perkhidmatan sewaan itu turut meliputi aksesori lain.

Tanpa mengira had umur, status dan gaya hidup, sesiapa sahaja boleh menikmati kemudahan itu pada kos yang minimum. "Saya pernah mendengar mengenai perkhidmatan seumpama ini di negara luar. Di Malaysia pula, ia masih baru dan saya mendapat tahu tentang butik Bags in the City di laman sesawang," jelasnya yang gembira dengan limpahan pilihan beg tangan pelbagai jenama di bawah satu bumbung dan tidak memerlukan belanja besar untuk memilikinya.

Beg pertama yang disewanya adalah beg tangan berwarna hijau daripada Marc by Marc Jacobs. Sudah sebulan menggunakannya, Azlina cuma perlu membayar sewa RM60 seminggu. Memandangkan ia sepadan dengan dompet Marc by Marc Jacobs yang dimiliki sebelum ini, dia teringin untuk membeli beg tangan yang disewa itu suatu hari nanti.

"Sama seperti kaedah bayaran ansuran, kita boleh memilikinya selepas selesai membayar harga penuh beg tersebut. Ini secara tidak langsung mengawal perbelanjaan kita," ujar Azlina yang selalu melakukan pembelian kosmetik, pakaian dan buku secara dalam talian.

Sementara itu, Tan Kheng Hua, pengasas dan pemilik bersama butik Bags in the City, berpuas hati dengan sambutan yang diterimanya. Kini, dia sudah menerima lebih daripada 200 pendaftaran di laman sesawang www.bagsinthecity.com.my.

Mereka yang mendaftar terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi sehinggalah wanita berusia 60 tahun. Ada juga golongan lelaki yang mencadangkan supaya perkhidmatan itu diperluaskan kepada mereka.

Kheng Hua melibatkan diri dalam bidang itu kerana menyedari pasaran beg tangan sangat luas. Sentiasa wujud permintaan, walaupun pasarannya cukup kompetitif. Menurutnya, konsep menyewa beg tangan mewah tidak mempunyai saingan di Malaysia.

"Saya ada terjumpa perkhidmatan sama di Internet tetapi nampak ia tidak lagi aktif. Lagipun, beg-beg saya dijaga rapi dan berada dalam keadaan baik berbanding beg terpakai.

"Jika bilangan pelanggan bertambah, saya akan menambah jumlah beg dua kali ganda menjelang hujung tahun ini. Koleksi beg juga akan diperbaharui dari semasa ke semasa," jelasnya yang berusia 27 tahun dan pernah bekerja sebagai pegawai perhubungan awam.

Menjawab kemusykilan di sebalik konsep nama yang digunakan, Kheng Hua yang memiliki 25 beg tangan memberitahu, ia ada pengaruh siri televisyen popular Sex and the City yang sinonim dengan frasa Bag, Borrow or Steal.

Dia juga bersetuju dengan Azlina bahawa dengan bayaran sewa yang rendah, peminat fanatik beg tangan berpeluang mencuba pelbagai jenama beg hampir setiap minggu.


ANTARA jenama dan reka bentuk beg yang boleh disewa di butik ini


Antara jenama yang meraih sambutan baik di butiknya adalah Coach, Gucci, Marc by Marc Jacobs, Louis Vuitton dan Whiting & Davis. Katanya, pemilihan beg tidak dilakukan sebarangan, sebaliknya selepas mendalami permintaan pengguna tempatan.

"Akan datang, nantikan jenama Bvlgari," ujarnya.

Di laman sesawang Bags in the City, Kheng Hua turut menawarkan aksesori beg yang lain seperti pemegang beg atas meja dan produk penjagaan beg. Laman interaktif itu juga menawarkan laluan untuk pengguna memberi cadangan jenama beg yang ingin disewa.

Kebanyakan beg yang ada di butiknya merangkumi stail korporat, kasual, majlis keramaian dan tas tangan pelbagai guna. Pengguna juga diberi jaminan bahawa ia 100 peratus tulen dan lengkap dengan resit asal pembelian.

"Saya membeli beg-beg ini di butik rasmi di dalam atau luar negara seperti di beberapa negara di Eropah, Amerika Syarikat dan Hong Kong," tambahnya.

Anda boleh menghilangkan keraguan dengan singgah ke pejabat Kheng Hua di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Beg termahal yang disewa adalah Whiting & Davis berharga RM4,000.

Bagi memudahkan kedua-dua pihak, transaksi dilakukan melalui kad kredit tanpa sebarang bayaran tambahan atau tersembunyi. Sekiranya, pelanggan jatuh cinta dengan beg yang disewa dan tidak sanggup memulangkannya, mereka diberi pilihan untuk membeli beg itu pada harga yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: