![]() |
| HALIZA Misbun memegang watak sebagai Nik Melati Sukma atau Nikki dalam filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami. |
AKTRES Haliza Misbun sudah berusia 36 tahun dan masih belum berkahwin. Dalam masyarakat Melayu, apabila anak dara pada usia sedemikian masih belum mendirikan rumah tangga, maka ia lazimnya mengundang pelbagai persepsi kurang manis.
Apa lagi bagi orang popular seperti Haliza, sduah tentu dia tidak akan terlepas daripada ditanya mengenai bila pula masanya untuk dia menamatkan zaman solo.
Keutamaan Haliza ketika ini lebih tertumpu pada kerjayanya sebagai pelakon dan penerbit filem dan drama.
Terbaru, selepas 14 tahun tidak beraksi di layar perak, Haliza kembali membintangi filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami (Andartu Terlampau) yang merupakan filem sulung terbitan syarikat produksinya, Big Productions Sdn. Bhd.
Sebelum ini, Haliza juga mempunyai sebuah lagi syarikat produksi, Halle Pictures Sdn. Bhd. yang hanya menumpukan kepada penerbitan program untuk televisyen sahaja.
Dan jangan terkejut kerana filem Andartu Terlampau merupakan filem yang akan mengupas dilema anak dara yang masih belum bertemu jodoh.
Lantaran keberanian Haliza memilih tema berkenaan, ia mencetus persoalan apakah ilham itu diperolehnya lantaran dia sering disogokkan dengan persoalan cinta dan perkahwinan oleh saudara-maranya?
Ada juga yang tertanya-tanya apakah filem ini cuba memperlekehkan mereka yang bergelar andartu atau anak dara tua?
"Bukan untuk merendahkan martabat mereka tetapi sebaliknya ia berkisar hak asasi manusia. Harus diingat gelaran andartu bukan satu tiket untuk diperlekehkan," tegas pelakon bersemangat waja ini mempertahankan prinsipnya.
Sebetulnya, Haliza berharap masyarakat menerima golongan andartu seadanya selain hasratnya mengangkat darjat mereka ke tempat yang sepatutnya.
"Golongan andartu juga berhak untuk memiliki dan mencari kebahagiaan mereka sendiri tanpa perlu menyusahkan orang lain," kata anak kedua daripada enam adik-beradik ini lagi.
Filem arahan Din C.J ini mengisahkan Nik Melati Sukma atau Nikki diberi tempoh selama 21 hari oleh ibunya, Timah Ram (Maimon Mutalib) untuk mencari bakal suami.
Seandainya dia gagal berkahwin dalam tempoh itu, maka Nikki akan dijodohkan dengan lelaki pilihan ibunya.
Enggan perkara itu terjadi, Nikki berkenalan dengan ramai lelaki dan ternyata dia sukar sekali membuat pilihan.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai insiden yang melucukan terjadi sehinggalah dia bersetuju untuk berkahwin dengan Omar Shariff (Fahrin Ahmad).
Namun, di hari pernikahannya dia dilamar oleh bekas kekasih lama sewaktu di universiti dulu iaitu John Johnny Johnathan.
Keadaan ini membuatkan Nikki berada dalam dilema sama ada untuk meneruskan pernikahannya dengan Omar atau kembali ke pangkuan John.
Apa yang menarikanya, barisan filem Andartu Terlampau sarat dengan pelbagai personaliti yang mempunyai pelbagai karakter.
Mereka ialah bekas pasangan kekasih Awie dan Erra Fazira, aktor Fahrin Ahmad, Fara Fauzana, Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Maimon Mutalib, Datuk Rahim Razali serta aktor dari seberang, Ari Wibowo.
Haliza pilih kasih?
Berdasarkan senarai nama pelakon sudah tentu ada yang bertanya apakah Haliza mengamalkan dasar pilih kasih lantas Ari pernah dikaitkan sebagai kekasih hatinya satu ketika dulu.
Menjawab soalan itu, Haliza ada jawapannya yang tersendiri.
"Pemilihan Ari adalah atas profesionalisme. Dia antara sahabat yang selalu menyokong apa jua perkara yang saya lakukan dan kerana itu, saya menjemputnya berlakon dalam filem ini," jelasnya.
Sementara Awie pula, pernah heboh sebelum ini kononnya mereka berdua pernah 'dingin' kerana Haliza didakwa tidak sebulu selepas rocker ternama itu berkahwin dengan adiknya, Rozana pada tahun 2006.
Sambil ketawa Haliza berkata, perkara itu sudah lama berlalu dan hubungannya dengan Awie sudah lama kembali pulih.
Sehubungan itu, dia menjemput Awie untuk berlakon dalam filem ini dengan membawakan watak Putera Aziz Al-Biruni dan sekali gus membuktikan mereka mempunyai hubungan yang baik.
Malah, Haliza juga menamakan anak saudaranya, Putera Ahmad Merrah dan adiknya, Amanda Misbun sebagai penerbit eksekutif filem ini.
Dengan bajet sebanyak RM1.1 juta, Haliza penuh optimis dan yakin filemnya itu mampu meraih perhatian sekali gus mencatatkan kutipan tiket yang membanggakan.
"Filem ini adalah hasil daripada titik peluh saya selama 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Sudah tentu saya mahu melihat filem ini berjaya di pasaran.
"Saya juga berhasrat menerbitkan filem bercorak komedi kerana mahu penonton terhibur dan tidak berasa tertekan.
"Insya-Allah, satu hari nanti apabila tiba masanya saya akan menerbitkan juga filem serius," kata Haliza yang membawakan watak Nik Melati Sukma atau Nikki dalam filem berkenaan.
Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2004 ini juga sudah membayangkan sekuel yang bakal diterbitkan kelak seandainya filem ini mendapat sambutan.
Serah jodoh pada Tuhan
Tidak sah seandainya Haliza tidak diusik dengan persoalan cinta dan perkahwinan memandangkan usianya sudah cukup matang untuk bergelar seorang isteri.
Dengan nada tegas, dia memberitahu, buat masa ini dia tidak mahu mempercayai kuasa institusi perkahwinan itu sendiri.
"Kalau ditanya kepada saya tentang perkahwinan, minta maaf saya tidak percaya tentang itu buat masa ini.
"Tetapi, saya tidak tahu apa yang berlaku di masa depan kerana kalau Allah tetapkan saya berkahwin dalam masa terdekat ini, maka berkahwinlah saya nanti," demikian luahan Haliza sewaktu diajukan tentang soalan tersebut.
Jelas Haliza, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkahwinan buat masa ini kerana merasakan ada banyak lagi perkara yang lebih penting untuk difikirkannya.
Tambahan pula dengan kes perceraian yang semakin meningkat ketika ini juga membuatkan dia berfikir dua kali sebelum memulakan fasa baru dalam hidupnya.
Haliza juga tidak akan sesekali tunduk kepada janji-janji manis seorang lelaki yang begitu mudah meluahkan rasa cinta.
"Cinta dan perkahwinan bukan satu perkara yang main-main tetapi apa yang saya lihat sekarang, ia sudah menjadi semakin murah dan tidak berharga lagi.
"Saya perlukan seorang lelaki yang benar-benar cintakan saya untuk saya membina sebuah rumah tangga yang berkekalan sehingga ke akhir hayat.
"Bukannya hari ini kata cinta dan esok ditinggalkan begitu sahaja," ujarnya dengan maksud yang mendalam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: