Wednesday, September 2, 2009

Fragmen: Terbitkan dokumentari sejarah pembentukan Gagasan Malaysia

SYUKUR alhamdulillah kita dapat meraikan Hari Kebangsaan ke-52 ketika umat Islam berpuasa 10 hari dengan baik dan lancar. Bersesuaian dengan sambutan pada bulan Ramadan, semuanya dilakukan sederhana saja. Kesempatan bercuti pada hujung minggu memberi masa menonton beberapa program dokumentari berkaitan negara kita yang disiarkan oleh hampir semua stesen TV.

Setiap dokumentari ini menampilkan pelbagai tema. Di stesen TV berbayar, temanya banyak berkisar kepada kejayaan dan pencapaian Malaysia selepas merdeka. Manakala stesen TV percuma pula, temanya berlegar-legar kepada sejarah tuntutan kemerdekaan negara ini yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman al-Haj dan pemimpin kanan negara yang lain.

Hasil usaha gigih pemimpin negarawan kita itu, maka Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara ini pada 31 Ogos 1957. Hampir setiap tahun sempena Hari Kebangsaan, itulah yang sering dipaparkan oleh stesen TV. Selain dokumentari, kita sering disogokkan dengan drama, telefilem dan filem yang menceritakan mengenai Malayan Union dan era komunis mengganas serta tragedi 13 Mei 1969.

Kita terlupa atau mungkin terlepas pandang satu lagi tarikh penting negara iaitu Penubuhan Malaysia pada 16 September 1965. Ini kerana selepas merdeka nama negara kita ialah Persekutuan Tanah Melayu, bukan Malaysia seperti sekarang.

Setakat ini, sepanjang pengetahuan kita, belum ada dokumentari atau apa-apa program TV lain yang khusus membawakan cerita mengenai sejarah penubuhan Gagasan Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman.

Dalam buku 50 Tahun Pendakian Ke Puncak Emas terbitan Jabatan Penerangan Malaysia (2007) dalam bab Penubuhan Malaysia (muka surat 66 - 71), menyatakan pada 27 Mei 1961, Tunku dalam ucapannya kepada Persatuan Wartawan Luar Negara di di Singapura membayangkan adalah penting Tanah Melayu mendapatkan kerjasama daripada British, penduduk Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura.

Susulan ucapan itu, beberapa rundingan diadakan antara pegawai kanan Tanah Melayu dengan British dari wilayahnya di Borneo dan Singapura. Pada Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel, cawangan Tanah Melayu dan Borneo diadakan di Singapura. Mesyuarat bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatan kuasa ini bermesyuarat di Sabah pada Ogos 1961, Sarawak (Disember 1961), Kuala Lumpur (Januari 1962) dan Singapura (Februari 1962).

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan dan dipengerusikan Lord Cameron F Cobbold iaitu bekas Gabenor Bank England. Ahli-ahlinya ialah Mohd Ghazali Shafie (Tan Sri) dan Datuk Wong Pow Nee yang mewakili Persekutuan Tanah Melayu, manakala Anthony Abell dan David Watherson wakil kerajaan British. Suruhanjaya ini memulakan tugas pada Februari 1962 hingga April 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini yang dikemukakan pada Jun 1962, kira-kira 60 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju menyokong gagasan Malaysia.

Pada 1 Ogos 1962, mereka menyatakan persetujuan menyertai Malaysia pada 31 Ogos 1962. Berikutan itu, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Lord Lansdowne iaitu Menteri Muda Britain dengan anggota-anggotanya terdiri daripada Tun Abdul Razak, Donald Stephen, Abang Haji Mustapha, Temenggong Jugah, seorang wakil Britain dan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 20 Januari 1963, Menteri Luar Indonesia, Drs Subandrio mengumumkan konfrontasi Indonesia terhadap gagasan Malaysia. Pada tahun 1962, Filipina menuntut daripada Kerajaan British supaya Sabah dikembalikan kepada Filipina sebagai sebahagian daripada Kesultanan Sulu. Malaysia menolak tuntutan itu kerana Malaysia tidak menyalahi apa-apa syarat pun sebagaimana yang terkandung dalam surat perjanjian antara Sultan Sulu dan Baron Von Overbeck pada tahun 1878.

Pada peringkat awal, sebahagian besar penduduk Brunei bersetuju menganggotai Malaysia, tetapi atas sebab-sebab tertentu, Brunei menarik diri dari gagasan Malaysia.

Satu misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketuai Laurence Michaelmore membuat tinjauan pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Anggota misi ini disertai wakil dari Argentina, Brazil, Sri Lanka, Czechoslovakia, Ghana, Pakistan, Jepun dan Jordan. Setiausaha Agung PBB ketika itu, U Thant menjangkakan laporan itu disiapkan pada 14 September 1963. Akhirnya selepas 30 bulan, apabila hasrat penubuhan Gagasan Malaysia diumumkan oleh Tunku, Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Singapura tidak kekal dalam Malaysia. Selepas melalui peristiwa dan konflik antara Singapura dan Tanah Melayu, Tunku berpendapat perpisahan jalan penyelesaian terbaik. Pada 9 Ogos 1965, Tunku umumkan perpisahan Singapura dari Malaysia.

Bantahan penubuhan Malaysia oleh Filipina dan Indonesia diselesaikan menerusi rundingan di Bangkok pada 1 Jun 1969. Peranan ini dimainkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Indonesia, Dr Adam Malik.

Berasaskan persetujuan Bangkok itu, upacara menandatangani Perjanjian Menamatkan Konfrontasi di Istana Merdeka, Jakarta pada 11 Ogos 1966 dilangsungkan.

Semua peristiwa itu bukan setakat kejadian semata-mata, tetapi memberi banyak implikasi dan pengajaran. Ternyata pembentukan Malaysia menempuh banyak cabaran. Kini masyarakat Malaysia bukan saja makmur tetapi juga semakin bersatu.

Sehubungan itu, kita berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui agensi atau jabatan di bawahnya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara Malaysia, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan disertai semua stesen TV, dapat menerbitkan dokumentari, filem atau program TV mengenai penubuhan Malaysia ini selain daripada tarikh keramat 31 Ogos 1957.

Ini juga adalah antara fakta dan sejarah sebahagian daripada sejarah moden Malaysia yang perlu diketahui oleh generasi muda kita. Dalam menuju matlamat gagasan 1 Malaysia, kita jangan lupa bahawa Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada Malaysia sedangkan apa yang sering dipaparkan di kaca TV banyak berkisar di Semenanjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: