Gothic Records terbit album kerohanian sempena Ramadan
SUDAH menjadi kebiasaan sebaik tibanya bulan yang penuh rahmat iaitu bulan Ramadan, banyak syarikat rakaman berlumba-lumba menghasilkan album yang menghimpunkan lagu raya artis popular tanah air. Namun usaha menerbitkan album kerohanian amat kurang.
Justeru Gothic Records Sdn Bhd menghasilkan album kerohanian sempena Ramadan berjudul Gema Ramadan bersama empat artis kumpulan di bawah naungannya seperti Gelap, Maximus, JadiBand dan X adalah diharapkan menjadi pelopor kepada band tanah air sedia ada.
Pengarah A&R Gothic Records Sdn Bhd, Shamril Mohd Salleh, 33 atau lebih popular Sham Kamikaze berkata, idea untuk menghasilkan album kerohanian sudah diimpikan sejak sekian lama selepas melihat sendiri senario industri muzik di negara jiran.
“Idea ini sudah lama saya rancangkan selepas melihat senario perkembangan industri muzik di negara jiran, Indonesia. Memang tidak dinafikan industri muzik di sana terlalu cepat dan jauh meninggalkan kita.
“Suatu masa lalu pada bulan Ramadan saya pernah ke Jakarta kerana diundang untuk menghadiri pelancaran album Gigi. Agak terkejut juga apabila mengetahui kumpulan Rock seperti Gigi ingin melancarkan album pada bulan Ramadan. Sebenarnya bukannya mereka melancarkan album rock tetapi album kerohanian yang mereka hasilkan khas untuk bulan Ramadan.
“Rupanya di bulan puasa seperti ini mereka masih meneruskan aktiviti seni dengan cara berdakwah,” katanya.
Menurut Sham, segala keberkatan di bulan Ramadan ini harus diambil sebaik mungkin tanpa meninggalkan kerjaya utama sebagai anak seni.
“Jika boleh kita jangan jadikan alasan untuk tidak melakukan apa-apa pekerjaan semasa bulan puasa ini. Jika bulan sebelum ini kita aktif dengan muzik yang ganas, tetapi apabila tibanya bulan Ramadan ini kita ubah cuba menghasilkan lagu kerohanian yang dapat menyucikan jiwa kita sebagai umat Islam. Bulan ini seharusnya dihormati dan keberkatan bulan ini harus diambil untuk berdakwah,” katanya.
Album Gemanya Ramadan mengandungi lima lagu yang dinyanyikan dan dihasilkan sendiri kesemua artis naungan Gothic Record. Album ini bukan saja mengandungi lagu kerohanian malah turut dimuatkan video klip karaoke.
“Antara lagunya seperti Sepinya Ramadan (Gelap), Sucinya Ramadan (Kumpulan X), Bersahurlah (Maximus), Jangan Buat Lupa (JadiBand), As Saum dan Selawat (semua artis).
“Kita merancang untuk mengedar album ini selepas Aidilfitri ini dan album ini adalah album amal Gothic Records yang mana setiap peratus hasil jualan akan disumbang kepada rumah kebajikan.
“Namun lagunya kini sudah boleh didengar menerusi beberapa stesen radio yang sudah mula memainkan seperti radio EraFM, HotFM dan SuriaFM,” katanya.
Bebas pilih hala tuju konsep muzik
GOTHIC Records Sdn Bhd kini mempunyai empat artis berkumpulan di bawah naungannya iaitu kumpulan Gelap, Maximus, JadiBand dan X. Mereka adalah bakat baru yang belum pernah muncul dalam industri ini.
Menurut Sham, keempat-empat kumpulan ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari segi pemilihan konsep kumpulan dan mereka diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju konsep dan karya kumpulan.
“Bagi kumpulan Gelap, mereka memilih konsep rock yang memperjuangkan muzik spiritual dan mengajak orang ramai melakukan kebaikan. Kumpulan ini dianggap unik disebabkan penampilannya yang sentiasa berselubung tanpa memperlihatkan identitinya ketika membuat persembahan.
“Tetapi sekiranya ada yang ingin melihat wajah kumpulan ini, mereka tidak menghalang malah sanggup memberi kerjasama. Namun objektif mereka bukan untuk menjual rupa tetapi muzik yang diperjuangkan.
“Kumpulan Maximus pula memilih konsep indie seperti mana kumpulan indie yang ada dalam industri hari ini seperti Meet Uncle Hussain, Hujan dan banyak lagi.
“Kumpulan X pula adalah salah satu kumpulan yang mempunyai vokalis wanita dan ahli lainnya lelaki. Mereka memilih konsep gotik rock yang bersih. Menurut mereka X tidak memberi apa-apa makna yang tepat. Ia boleh dianggap apa saja mengikut persepsi masyarakat.
“Saya tidak berminat untuk menyatakan muzik yang dimainkan kumpulan JadiBand ini menyamai muzik Indonesia, tetapi muzik mereka sudah lama dipraktikkan dalam kumpulan ini,” katanya yang merancang akan bergerak aktif mempromosi empat kumpulan ini bermula tahun depan.
Sementara itu, pada majlis itu juga, Sham yang mewakili Gothic Records Sdn Bhd turut menghulurkan sumbangan berupa duit raya kepada lima keluarga Program Bersamamu di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: