![]() |
| SHEILA Majid (tengah) ketika melancarkan produk kecantikannya, Jerneh di gerai Tanamera, Parkson Sunway Pyramid, baru-baru ini sambil diperhatikan oleh rakan kongsinya, Faisal (kanan). |
APABILA bercerita perihal penghibur kecil molek, Datuk Sheila Majid sudah pasti yang terlintas di fikiran ialah sifat ramah serta kepetahannya dalam melantunkan butir bicara.
Maka, tidak hairanlah jika dia sendiri memilih untuk turun padang pada setiap kali mempromosikan produk kecantikannya, Jerneh yang diusahakan bersama dua rakan karibnya, Faridah dan Faisal Ahmad Fadhil yang juga pengusaha F.A Herb Sdn. Bhd.
Bukan tidak mahu melantik jurucakap mengenai produknya, tetapi Sheila lebih suka bercakap dan menerangkan sendiri kepada pelanggannya agar mereka lebih faham.
Jika sedekad lalu, wanita jelita beranak empat ini memasang angan-angan untuk menceburkan diri dalam perniagaan produk kecantikan, kini ternyata angan-angan itu menjadi kenyataan.
Terlahirnya produk Jerneh yang telah mula di lancarkan sekitar Januari lalu membuka satu lembaran baru dalam hidupnya.
Biarpun telah mempunyai perniagaan, Jentayu Spa yang terletak di Damansara Height serta studio Akarkarya yang diusahakan bersama suaminya, Acis di Damansara Utama, namun ternyata Jerneh memberi cabaran berbeza buatnya.
Apa tidaknya, daripada peringkat awal jualan dibuat menerusi internet, kini Sheila sudah mampu menarik nafas lega apabila diberi kepercayaan oleh pihak gedung jualan Parkson, untuk mempromosi dan menjual produknya itu di mana-mana kaunter Tanamera.
Produk yang sesuai digunakan untuk semua golongan dalam lingkungan usia 25 tahun ke atas itu telah pun di lancarkan di Parkson cawangan Kota Bharu, Kelantan sebulan lalu.
Dan pada pelancaran Jerneh di Parkson, Sunway Pyramid baru-baru ini kegembiraan jelas terpancar di wajahnya apabila diajak berbicara tentang produk tersebut.
"Jerneh ialah 'bayi' saya," ringkas kata-kata Sheila memulakan bicara tentang produknya itu.
Selain halal, kata Sheila, produk yang terbahagi kepada dua jenis iaitu siri kekal muda (anti aging series) dan siri penjernihan kulit (clarifying series) itu juga mudah digunakan, selamat dan efektif.
"Mendapat kepercayaan Parkson untuk menjual produk Jerneh di kaunter Tanamera dan ditempatkan bersama-sama produk ternama antarabangsa yang lain sesuatu yang membanggakan saya.
"Saya menanti sejak 10 tahun lalu dan hari ini saya cukup bangga apabila produk tempatan dijual dan diletakkan bersama-sama produk antarabangsa lain di Parkson.
"Inilah impian saya, mempunyai satu produk yang boleh diyakini oleh orang ramai. Harapan saya suatu hari nanti apabila orang bercakap tentang produk tempatan, orang akan ingat pada Jerneh," katanya.
Siri kekal muda dan siri penjernihan kulit merangkumi pembersih mekap dan pencuci muka, krim siang, krim malam dan serum setiap satu set yang dijual pada harga RM450.
Mencari kandungan produk kecantikan yang halal dan selamat bagi Sheila tidaklah semudah yang disangka.
Apatah lagi, katanya, ia menyukarkan pengguna yang beragama Islam. Terdorong atas alasan itu, naluri Sheila kuat untuk menghasilkan produk tersebut.
"Ketika saya ingin ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji hujung tahun lalu, ternyata sukar untuk saya mencari produk yang sesuai dan halal digunakan.
"Sebelum ini, saya telah menggunakan banyak produk antarabangsa.
"Memang tidak dinafikan produk mereka bagus tetapi apabila hendak sembahyang kita tidak tahu bahan apa yang digunakan sebagai kandungan produk tersebut," kata Sheila lagi.
Ke Indonesia selepas raya.
Beralih ke topik Ramadan, seperti kebanyakan artis, Sheila juga membataskan aktiviti seninya sepanjang Ramadan.
Mengakui enggan menjalani pelbagai aktiviti sepanjang puasa, bagi penghibur terkemuka ini Ramadan merupakan bulan untuknya berehat bersama keluarga dan fokus kepada ibadat.
Tidak gemar membazir waktu, ujar Sheila, dia telah menyediakan kelengkapan berhari raya termasuk pakaian untuk anak-anaknya sebelum bulan Ramadan lagi.
Empat anak Sheila ialah Wan Nur Khaleeda,18; Megat Abdul Majid, 15; Khadeja Zaireen Murshim, 5; dan yang bongsu ialah Khalefa Laila Murshim, 2.
Bercerita tentang perkembangan seninya, menurut Sheila, dia bakal mengadakan persembahan di dua lokasi di Indonesia iaitu Jakarta dan Bali selepas hari raya nanti.
Selain itu, Sheila juga bakal muncul dengan sebuah single baru, duet bersama seorang artis wanita. Tambahnya, ini merupakan projek antara dua negara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: