Wednesday, September 2, 2009

Platform anak muda kembang bakat


ZAINIR AMINULLAH (tiga dari kiri) bersama barisan pemenang NextGen Contentpreneur Awards 2009 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEBAGAI stesen berbayar terulung negara, pelbagai langkah telah diambil oleh Astro untuk terus memartabatkan industri penyiaran tanah air.

Bukan sekadar menghidangkan pelbagai hiburan, tetapi Astro juga mahu menjadi pemangkin kepada anak-anak muda tempatan untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang keusahawanan serta teknologi.

Maka dengan itu, wujudlah Anugerah Usahawan Kandungan Generasi Baru 2009 atau lebih dikenali sebagai NextGen Contentpreneur Awards 2009 (NCA).

Pertama kali diperkenalkan tahun lalu, apa yang membanggakan pihak Astro adalah penyertaan yang diterima semakin meningkat setiap tahun.

Ternyata, perkembangan positif ini cukup menggembirakan Astro yang mahu melihat lebih ramai anak muda menjadi usahawan untuk kandungan generasi baru yang menjadi kegilaan waktu ini.

Ternyata Astro menerusi Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) cukup bertuah kerana NCA 2009 telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Untuk pengetahuan, NCA merupakan platform bagi pelajar yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk menjana idea baru dan kandungan kreatif dalam aplikasi kemahiran multimedia, penyiaran dan komunikasi.

Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah memberitahu objektif utama penganjuran NCA adalah untuk menggalakkan bakat muda generasi baru hari ini untuk sama-sama membangunkan kandungan bagi industri penyiaran, multimedia dan komunikasi.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu menyerlahkan bakat mereka dan menjadi pelopor di dalam industri yang kian berkembang maju ini.

Berbicara tentang kualiti penyertaan tahun ini, ternyata Zainir cukup berpuas hati kerana ia memperlihatkan peningkatan yang positif sebanyak 14 peratus berbanding hanya 5.8 peratus tahun lalu.

"Secara keseluruhan, sambutan yang diberikan untuk tahun ini sungguh menggalakkan apabila kami menerima penyertaan dengan kualiti yang lebih baik," ujar Zainir pada sidang media sejurus berakhirnya NCA 2009 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini.

NCA 2009 mempertaruhkan 11 kategori yang merangkumi penerbitan dokumentari, video muzik, kandungan televisyen singkat, animasi serta reka bentuk web.

Kesemua kategori tersebut telah diadili oleh lima juri profesional dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Mereka yang dimaksudkan adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez; Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Megat Al Imran Yasin dan Pengarah Kreatif Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Muhammad Usamah Zaid Yasin.

Dua lagi juri adalah pengarah filem, drama, animasi dan komposer, Azizi Adnan serta bekas penerbit hiburan TV3, Nik Ramzi Nik Hassan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: