DALAM bidang seni, kelebihan negara kita kerana mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Daripada Melayu, Cina dan India sampailah kepada etnik-etnik minoriti yang terdapat di Sabah dan Sarawak.
Setiap kaum mempunyai pelbagai budaya dan corak kesenian tersendiri termasuklah muzik tradisional masing-masing. Ada negara lain yang lebih maju tetapi budaya dan muzik tradisional mereka pula hampir pupus.
Kita memang ada kelebihan daripada sudut itu. Namun, kekurangan kita pula kita tidak bijak mengeksploitasi kelebihan yang ada. Bidang muzik mula berakar umbi di negara kita pada penghujung tahun 1940-an hingga kini.
Apa yang dapat kita banggakan? Industri muzik kita cuma sekadar bersifat tempatan sahaja. Sebutlah siapa penyanyi nombor satu kita ketika ini, mungkin Datuk Siti Nurhaliza?
Perlu ditanya, ke mana kita telah mengangkat muzik dan para penyanyi kita sehingga kini? Selepas lebih 60 tahun mempunyai bidang rakaman sendiri, kita sepatutnya mempunyai penyanyi yang mampu mewakili negara di peringkat dunia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad merupakan penyanyi kita yang terakhir mencatat pencapaian terbesar di peringkat antarabangsa.
Allahyarham meraih anugerah Penyanyi Nombor Satu Asia pada suatu pertandingan di Royal Albert Hall, London, United Kingdom, pada 1989.
Beliau menewaskan ramai penyanyi hebat dari Asia ketika itu, contohnya Anita Sarawak yang mewakili Singapura dan Leslie Cheung dari Hong Kong. Walaupun pencapaian itu baru di peringkat Asia dan bukannya dunia, tetapi kita tetap berbangga. Tetapi harus diingat, itu cerita 20 tahun dulu.
Sepatutnya, dengan kelebihan rakyat berbilang bangsa, budaya dan muzik tradisional yang kita miliki, kita mempunyai ramai penyanyi serta pemuzik yang kini bertaraf dunia.
Ini kerana, muzik dan budaya kita tersendiri. Ia tidak terdapat di negara lain termasuklah di negara maju seperti Amerika Syarikat sekalipun.
Sayangnya, sampai sekarang kita belum buka mata, minda atau belajar daripada industri muzik dan karyawan seni dari negara-negara lain.
Mungkin kita tidak melihat bagaimana pemuzik seperti Kitaro dari Jepun yang bijak mengeksploitasi muzik tradisional bangsanya dalam lagu-lagu instrumental yang dihasilkannya.
Lagu-lagu Kitaro diminati dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membawa imej negara dan bangsanya.
Kitaro tidak mungkin dikagumi sedemikian rupa jika hanya bersandarkan kepada muzik pop dan sebagainya yang sudah terlalu banyak didominasi oleh dunia Barat.
Begitu juga dengan kumpulan Sepultura dari Brazil yang meminjam banyak elemen muzik suku kaum etnik di negaranya dalam lagu-lagu ciptaan mereka.
Mereka tidak malu, malah bangga kerana mengetengahkan muzik-muzik tradisi bangsa mereka walaupun ia diambil dari ceruk kampung yang terputus jauh daripada dunia luar.
Namun, keunikan itulah yang mengangkat serta menghubungkan muzik-muzik negara mereka untuk dinikmati di peringkat dunia dalam perspektif yang lebih luas.
Persoalannya, apa langkah kita untuk mengangkat muzik tradisional atau pun karyawan kita hingga ke peringkat dunia? Kita sebenarnya ada banyak simposium, seminar, festival ataupun konsert-konsert yang mengangkat karya-karya muzik tempatan yang unik.
Sayangnya, ia habis setakat itu sahaja. Tidak banyak teladan yang diambil. Tiada juga usaha atau anjakan yang serius dilakukan untuk mencapai matlamat bagi mengangkat muzik Malaysia hingga ke persada dunia.
Mungkin Konsert 1Malaysia Bersama Orkestra Tradisional Malaysia yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 27 hingga 29 September ini merupakan salah satu acara yang berkaitan dalam senario itu.
Persembahan yang akan dipimpin oleh konduktor Orkestra Tradisional Malaysia, Mohd. Yazid Zakaria itu patut diberi perhatian selepas ini.
Konsert itu unik kerana ia merupakan satu-satunya kumpulan pemuzik orkestra tempatan yang menggunakan elemen-elemen muzik serta instrumens tradisional dalam latar persembahannya.
Paling menarik apabila Orkestra Tradisional Malaysia itu bukan setakat menggabungkan muzik dan instrumens Melayu. Malah, ia turut menggabungkan pelbagai muzik dan instrumens yang juga mewakili kaum-kaum lain di negara ini.
Bayangkan adunan muzik bagaimanakah yang akan dihasilkan atas gabungan tersebut? Muzik Malaysia? World music atau apa-apa jugalah muzik yang akan dihasilkan kelak.
Para komposer, pemuzik, penulis lirik, penyanyi dan syarikat rakaman kita seharusnya memberi perhatian terhadap konsert dan cetusan idea-idea seperti itu.
Janganlah beranggapan persembahan seperti itu cuma sekadar mengisi acara bulan kemerdekaan atau slogan 1Malaysia semata-mata.
Sebaliknya, banyak idea dan kreativiti dalam muzik yang boleh dikembangluaskan daripada persembahan seperti itu.
Dalam senario ini, antara perkara yang kita boleh pelajari ialah kita tidak akan pergi ke mana-mana sampai bila-bila dengan meminjam karya-karya dari luar.
Kita tidak perlu meminjam atau meniru muzik dari luar sedangkan banyak lagi khazanah kita yang belum dieksploitasi dan diperkembangkan dalam konsep yang lebih luas.
Khazanah seni seperti itulah yang ingin didengar, dikongsi dan dihayati oleh para peminat muzik di luar sana.
Justeru, selepas ini tiada alasan lagi untuk kita berkata tidak mampu mengangkat pemuzik atau penyanyi kita hingga ke peringkat antarabangsa.
Kurang bijak atau tidak nampak apa yang telah orang lain lakukan juga tidak boleh dijadikan alasan lagi.
Cuma soal bakat dan kreativiti sahaja yang perlu dipertajamkan. Pokok pangkalnya, komitmen dan pengamatan yang tinggi amat diperlukan.
Selain itu, kita juga haruslah lebih banyak belajar, membuat perbandingan dan sentiasa berfikir serta bekerja keras bagi mencetuskan sesuatu yang baru dalam industri muzik di negara ini.
Budaya meniru dan berbangga dengan pencapaian orang lain sepatutnya tidak ada lagi dalam industri muzik kita selepas 52 tahun negara merdeka.
Jika tidak, muzik kita bukan sahaja tidak mampu menerjah hingga ke persada dunia, malah ia juga hanya sesuai dan layak dinikmati oleh para pendengar di negara ini sahaja!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: